Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOE masih boleh ambil lebih 1,000 guru pada 2025, separuh pemohon pekerja pertengahan kerjaya

Pakar: Pemohon pertengahan kerjaya berusia namun fahami keprihatinan ibu bapa
Dec 13, 2025 | 7:03 PM
MOE, new teachers, new hires, mid career switch
Perangkaan terkini menunjukkan terdapat 29,605 guru pada 2024, berbanding 30,396 pada 2023. - Foto fail

Rancangan Singapura untuk mendapatkan lebih 1,000 pendidik baru pada 2025 masih boleh dipenuhi, dengan separuh pemohon merupakan karyawan di pertengahan kerjaya masing-masing.

Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan terdapat peningkatan dalam permohonan untuk menjadi guru sejak tiga tahun lalu. 

Namun, ia tidak memberikan butiran mengenai jumlah guru yang telah diambil bekerja.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee pernah berkata pada Julai bahawa Singapura akan meningkatkan pengambilan guru dalam beberapa tahun akan datang, daripada 700 guru yang direkrut setahun sebelum ini kepada lebih 1,000 setiap tahun.

Terdapat 29,605 guru pada 2024, berbanding 30,396 guru 2023, menurut perangkaan terkini.

Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times (ST), MOE berkata ia mempunyai proses pengambilan kerja yang menyeluruh untuk mengenal pasti calon yang sesuai menjadi guru.

Pemohon yang disenarai pendek untuk program latihan guru – Diploma Possiswazah dalam Pendidikan (PGDE) – biasanya menerima undangan temu duga dalam tempoh tiga hingga empat minggu selepas permohonan ditutup.

Semua pemohon sedemikian yang belum menjalani latihan dikehendaki mengadakan pembentangan pelajaran, iaitu sebahagian daripada proses temu duga berstruktur.

Walaupun separuh daripada calon yang melepasi peringkat temu duga menerima tawaran dalam tempoh dua hingga lima bulan dari tarikh temu duga masing-masing, MOE berkata masa pemprosesan lebih lama mungkin diperlukan bagi mereka yang dikehendaki melengkapkan ujian kecekapan tambahan.

Pada November, Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Encik Kenneth Tiong membangkitkan soalan di Parlimen mengenai garis masa dan proses pengambilan guru. 

Beliau juga bertanya sama ada garis masa yang berpanjangan untuk permohonan PGDE telah menyebabkan calon yang berkelayakan mencari pekerjaan lain.

Memberi respons, MOE akur tempoh menunggu lebih lama selepas temu duga mungkin mencetus keprihatinan dalam kalangan pemohon, dan berkata ia akan terus berhubung dengan calon sepanjang proses tersebut.

Ia menambah di kalangan pemohon PGDE yang memohon pada awal 2025 dan menghadiri temu duga, separuh menerima tawaran dalam tempoh dua hingga lima bulan dari tarikh temu duga.

Sekitar 7 peratus daripada pemohon yang melepasi temu duga menarik balik permohonan mereka sebelum menerima tawaran.

Pemohon berjaya yang belum menjalani latihan akan menjalani latihan di sekolah untuk menilai kesesuaian mereka untuk mengajar sebelum mendaftar dalam program persediaan Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Mereka akan ditempatkan di sekolah selepas menamatkan latihan.

Dua pemohon pertengahan kerjaya, yang bercakap kepada ST tetapi enggan nama mereka disiarkan, berkata mereka masih belum dihubungi MOE berhubung status permohonan masing-masing, meskipun telah menjalani temu duga dan penilaian perubatan pada separuh pertama 2025.

Namun, mereka berkata telah dimaklumkan tarikh mula bekerja mereka akan ditangguhkan kira-kira enam bulan dari Disember 2025 ke Julai 2026, walaupun tiada pengesahan bahawa mereka akan diambil bekerja sebagai guru.

Mereka berkata proses permohonan setakat ini mengecewakan kerana kekurangan komunikasi, dengan tempoh tertentu melebihi empat bulan tanpa sebarang kemas kini. 

Keadaan itu menambah cabaran, terutama bagi calon pertengahan kerjaya yang mengimbangi pekerjaan semasa sambil bersedia untuk pertukaran kerjaya.

Pemohon berkata proses tersebut memberi mereka tekanan tambahan, kerana perlu merancang meletak jawatan tanpa mendapat jaminan tawaran kerja baru.

Meskipun individu pertengahan kerjaya memasuki kerjaya sebagai guru pada usia yang lebih tua daripada graduan baru, mereka menambah nilai kepada komuniti tersebut secara berbeza, kata Profesor Madya (Dasar, kurikulum dan kepimpinan) di NIE, Dr Jason Tan.

Satu cara adalah melalui program applied learning di sekolah, yang katanya bertujuan untuk menghubungkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dengan situasi dunia nyata.

Dengan sekolah memberi tumpuan kepada bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (Stem), bahasa, kemanusiaan, perniagaan, dan media digital, Dr Tan berkata: “Sesetengah individu ini sebenarnya mungkin dapat menggunakan secara langsung pengalaman kerja mereka sebelum ini untuk menawarkan jenis program pembelajaran ini.”

Mereka juga mungkin mempunyai pemahaman lebih baik tentang kebimbangan ibu bapa disebabkan oleh usia dan potensi pengalaman keibubapaan mereka, tambahnya.

“Jika mereka sendiri adalah ibu bapa, mereka mempunyai pengalaman langsung tentang bagaimana rasanya berinteraksi dengan kanak-kanak usia sekolah.

“Mereka mungkin dapat berempati dengan lebih baik dengan ibu bapa pelajar, dan ini boleh membantu komunikasi ibu bapa-guru,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg