Bilangan pendidik bersekutu, yang membimbing pelajar berkeperluan khas, telah bertambah seganda daripada kira-kira 800 kepada 1,600 individu di semua sekolah dalam tempoh sedekad.
Kini, setiap sekolah mempunyai purata 85 guru, manakala bilangan kakitangan pentadbiran meningkat daripada enam kepada sembilan staf.
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, mendedahkan angka tersebut di Parlimen pada 4 November, sebagai jawapan kepada 13 Anggota Parlimen (AP) yang membangkitkan isu kesejahteraan dan beban kerja guru.
Ini selepas tinjauan antarabangsa mendapati guru Singapura bekerja secara purata selama 47.3 jam seminggu.
Tempoh itu meningkat daripada 46 jam pada 2018.
Menurut Kajian Antarabangsa Pengajian dan Pelajaran (Talis) yang dikeluarkan pada 7 Oktober, guru Singapura kini merupakan kumpulan guru ketiga paling bekerja keras di dunia, naik daripada tempat ketujuh pada 2018.
Tinjauan itu juga menunjukkan 40 peratus guru di bawah umur 30 tahun bercadang meninggalkan kerjaya mereka dalam lima tahun akan datang.
Angka itu seganda lebih tinggi daripada purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) iaitu sebanyak 20 peratus, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Encik Lee berkata tugas guru semakin rumit dan Kementerian Pendidikan (MOE) telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurus beban kerja serta menjaga kesejahteraan para guru.
Beliau mengakui dasar dan langkah baru boleh menambah beban guru buat sementara waktu, justeru pengurusan perubahan yang baik amat penting.
Sekolah kini diberi kelonggaran melaksanakan atau menangguhkan langkah baru bagi menyesuaikan kadar kerja.
Ini termasuk perubahan besar seperti Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) dan Pelan Induk Pendidikan Teknologi 2030.
SBB membolehkan pelajar mengambil mata pelajaran mengikut tahap kebolehan mereka, manakala Pelan Induk Pendidikan Teknologi ialah rancangan jangka panjang MOE dalam menggunakan teknologi pendidikan secara lebih meluas dan berkesan di sekolah.
Antara langkah baru yang dilaksanakan termasuk garis panduan pengagihan beban kerja, alat kecerdasan buatan (AI) dalam Portal Pelajar (SLS), dan aplikasi ‘Parents Gateway’ bagi mengurangkan tugas pentadbiran.
Guru juga menikmati cuti yang dilindungi selama enam hingga tujuh minggu untuk berehat, sementara garis panduan komunikasi dengan ibu bapa dikemas kini bagi mengelak gangguan masa peribadi.
Susunan kerja fleksibel turut dibenarkan, seperti pulang awal atau bekerja dari rumah jika tiada kelas.
Namun, beberapa AP berkata guru tetap merasakan beban kerja tidak berkurangan, walaupun pelbagai langkah telah diambil.
Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), yang juga penasihat Kesatuan Guru Singapura (STU), berkata: “Walaupun struktur berubah, beban tugas guru secara keseluruhan tidak berkurangan.”
Beliau mencadangkan audit beban kerja terkini untuk mengurangkan tekanan guru.
Encik Lee menjelaskan kajian, dialog dan maklum balas STU telah membawa kepada perubahan seperti kewujudan aplikasi ‘Parents Gateway’ dan Piagam Penglibatan MOE yang memperjelas peranan guru dan ibu bapa.
Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied) daripada Parti Pekerja (WP), pula bertanya tentang hasil penggunaan AI.
Encik Lee menjawab ia masih dalam peringkat awal.
“Apabila alat AI diperkenalkan, kerja juga bertambah. Guru perlukan masa untuk belajar, membiasakan diri dan meraih manfaat daripadanya,” tambahnya.
Beliau menegaskan pengajaran kini lebih menyeluruh, bukan sahaja di bilik darjah tetapi juga dalam kegiatan kokurikular (CCA) dan Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).
“Guru membentuk pelajar secara menyeluruh, membantu mereka menghadapi dunia yang semakin tidak menentu,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg