Topic followed successfully
Go to BHkuMurid Darjah 4 akan mula guna AI di bawah pengawasan
Murid Darjah 4 akan mula guna AI di bawah pengawasan
Desmond: Punya kemahiran fungsi eksekutif untuk rancang, guna AI secara tanggungjawab
Murid Darjah 4 akan mula guna AI di bawah pengawasan
Murid Darjah 4 mempunyai ‘kemahiran fungsi eksekutif’ yang diperlukan untuk mula menggunakan alat Kecerdasan Buatan (AI) pendidikan dengan pengawasan, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, di Parlimen pada 6 Mei.
Beliau menjelaskan berdasarkan kajian, usia ini membolehkan murid memiliki kebolehan merancang dan menilai diri yang penting untuk mengguna AI secara bertanggungjawab.
“Sekolah juga akan membimbing pelajar bila AI tidak boleh digunakan, agar mereka tidak mengambil jalan mudah mendapat jawapan tanpa melalui proses pembelajaran sebenar,” tegasnya.
Murid juga akan dididik tentang cara teknologi itu berfungsi, pentingnya menghasilkan AI dengan arif dan tanggungjawab terhadap kandungan yang mereka cipta.
Encik Lee menjawab soalan beberapa Anggota Parlimen (AP), termasuk Encik David Hoe (GRC Jurong East-Bukit Batok) dan Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied), yang ingin tahu tentang rasional memperkenalkan AI pada peringkat Darjah 4 dan langkah perlindungan yang disediakan.
Isu lain yang dibangkitkan merangkumi privasi data, peranan guru dan ibu bapa, serta pemantauan kesan jangka panjang terhadap perkembangan murid.
AI akan diperkenalkan secara beransur-ansur mulai Darjah 4 pada awal 2026, dengan “pendedahan dan penyeliaan yang rendah, mengutamakan asas pembelajaran”, kata Encik Lee.
Namun, pelancaran ini disambut dengan kewaspadaan oleh sesetengah ibu bapa.
Walaupun ramai menyambut baik peralatan di Ruang Pembelajaran Pelajar (SLS) Kementerian Pendidikan (MOE) yang dikawal selia, kebimbangan timbul terhadap model sumber terbuka.
Ini termasuk masa berlebihan di skrin, potensi kebergantungan melampau dan hakisan kemahiran berfikir kritis.
“Mulai Darjah 4, pelajar akan membina literasi asas, numerasi dan pengetahuan AI asas dalam kehidupan harian,” tambah Encik Lee.
Manakala, Darjah 1 hingga 3 akan mengutamakan pembelajaran fizikal secara langsung untuk membina asas pengetahuan serta mengembangkan kemahiran kognitif dan sosial.
Dalam tahun-tahun awal peringkat rendah, murid hanya mempelajari asas AI untuk menyedari kehadirannya, namun tiada tugasan yang memerlukan penggunaan AI secara langsung, jelas beliau.
Pendekatan kementerian dalam memperkenalkan AI adalah hasil penyelidikan mendalam tentang perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak, serta sokongan yang sesuai pada setiap fasa pertumbuhan.
“Teknologi, termasuk AI, hanya digunakan apabila ia menyokong objektif pendidikan dan perkembangan pelajar,” ulasnya.
Kementerian turut meneliti laporan antarabangsa dan cara sistem pendidikan lain mengendalikan AI.
Ia juga membiayai Kajian Pembangunan Awal Membujur Singapura oleh A*STAR, yang akan mengumpul data pada 2027, bertujuan memahami kesan penggunaan AI terhadap kesejahteraan dan hasil pembelajaran kanak-kanak.
