Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pancuran meteor di langit S’pura tidak kesampaian

May 7, 2025 | 5:28 PM
meteor, Eta Aquarids, Singapore
Wartawan foto akhbar berbahasa Cina Lianhe Zaobao, Encik Jason Lee, yang ditugaskan di estet perumahan Champions Green dekat Sekolah Sukan Singapura di Woodlands, berkata beliau hanya melihat satu pergerakan meteor sepanjang menunggu tiga jam setengah. - Foto ZAOBAO

Harapan untuk melihat pemandangan cakerawala yang menakjubkan punah kerana terdapat hanya satu pergerakan meteor dikesan semasa puncak pancuran meteor Eta Aquarids pada awal pagi 6 dan 7 Mei, meninggalkan kebanyakan pemerhati langit di seluruh Singapura kecewa.

Pancuran meteor ini berlaku setiap tahun apabila bumi melalui serpihan yang ditinggalkan Komet Halley, boleh dikatakan komet paling terkenal dalam sejarah kerana boleh dilihat dengan mata kasar kira-kira setiap 76 tahun.

Meteor ialah jalur cahaya terang yang muncul dalam masa singkat di langit.

Pemerhati sering menamakannya sebagai tahi bintang atau bintang gugur.

Pancuran meteor biasanya lebih kelihatan di Hemisfera Selatan di mana pemerhati boleh melihat sehingga 50 meteor sejam dalam keadaan ideal.

Bagaimanapun, di Singapura, langit cerah menawarkan sedikit peluang untuk melihatnya.

Pada awal pagi 6 Mei, wartawan foto akhbar berbahasa Cina Lianhe Zaobao, Encik Jason Lee, yang ditugaskan di Champions Green – sebuah estet perumahan berhampiran Sekolah Sukan Singapura di Woodlands – berkata beliau hanya melihat satu pergerakan meteor sahaja sepanjang menunggu kemunculannya selama tiga jam setengah.

“Rasanya tidak berbaloi untuk menunggu,” katanya kepada The Straits Times.

Beliau menambah bahawa meteor itu “kelihatan agak berbeza daripada ciri-ciri yang biasa dijangkakan ada pada meteor”.

Seorang warganet yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Mycandidphotoshot Gates’ di Facebook berkata dalam satu hantarannya, bahawa beliau telah mencuba nasib di salah satu kawasan yang paling kurang pencahayaannya di Singapura, iaitu di Taman Pantai Changi, pada awal pagi 6 Mei.

“Langit agak cerah (ketika itu). Saya melihat satu meteor bercahaya di langit, yang berlangsung kira-kira dua saat, semasa saya sedang menyiapkan kamera saya,” tulisnya.

“Saya terkejut dan fikir lebih banyak lagi akan mengikutinya. Saya terbukti silap.”

Beliau menghabiskan empat jam berikutnya mengimbas langit dengan sia-sia, malah, beliau sempat menyemak semula koordinat.

“Ia sepatutnya lebih aktif di tenggara. Saya benar-benar kecewa,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai kebolehlihatan kosmik dari Singapura, Balai Cerap Pusat Sains Singapura berkata bahawa pencemaran cahaya, cuaca tidak menentu dan litupan awan yang kerap semuanya boleh memberi kesan kepada peluang memerhatikan kejadian tersebut.

“Pancuran meteor agak samar dan langit malam yang gelap dan cerah diperlukan untuk melihatnya,” tambah pusat pemerhati itu, sambil menyatakan bahawa kebolehlihatan juga bergantung kepada sifat kejadian kosmik tertentu.

Sementara itu, peminat luar negara lebih beruntung.

Media sosial dipenuhi dengan foto dan video yang jelas dari sesetengah negara dengan langit yang lebih gelap dan kebolehlihatan yang lebih baik, menunjukkan jaluran terang menerangi langit awal pagi.

Eta Aquarids akan berterusan sehingga akhir Mei tetapi memandangkan kebolehlihatan yang lemah walaupun semasa kemuncaknya, penampakan selanjutnya di Singapura tidak mungkin menjadi kenyataan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg