Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar cemerlang dalam sains ingin perkukuh mutu bahasa Melayu di maktab rendah

Jan 14, 2026 | 7:57 PM
Walaupun Muhammad Amjad Amirul, 16 tahun cemerlang dalam mata pelajaran sains, beliau memutuskan untuk mengambil laluan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) ke Institusi Raffles dalam Program Pilihan Bahasa Melayu (MLEP).
Walaupun Muhammad Amjad Amirul, 16 tahun cemerlang dalam mata pelajaran sains, beliau memutuskan untuk mengambil laluan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) ke Institusi Raffles dalam Program Pilihan Bahasa Melayu (MLEP). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Tatkala Muhammad Amjad Amirul Mohamed Saaid melangkah ke sekolah menengah, dia memasang tekad untuk meningkatkan prestasi mata pelajarannya yang lemah, iaitu Matematik dan Sains.

Dengan kesungguhan yang mendalam, kini kededua mata pelajaran itu menjadi kekuatan pelajar dari Sekolah Menengah Swiss Cottage itu, yang mengambil tiga mata pelajaran sains tulen iaitu fizik, kimia dan biologi.

Malahan, Amjad, 16 tahun, telah ‘bermesra’ dan mendedahkan dirinya kepada topik pelajaran peringkat GCE ‘A’ bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut untuk terus menguasai pelajaran di aras yang lebih tinggi.

Walaupun sudah terbukti cemerlang dalam mata pelajaran sains dan bercita-cita untuk menceburi bidang perubatan, Amjad memutuskan untuk mengambil laluan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) ke Institusi Raffles dalam Program Pilihan Bahasa Melayu (MLEP).

Amjad yang menerima keputusan peperiksaan peringkat GCE ‘O’ pada 14 Januari, bakal melanjutkan pengajiannya ke Institusi Raffles dalam programme MLEP. Dia meraih lima gred A1 dan dua gred A2.

Menjelaskan lebih lanjut tentang keputusan memilih MLEP, Amjad yang pernah meraih perak dalam ujian Olimpiad Biologi Singapura, berkongsi:

“Sebelum ini, saya kurang berinteraksi dengan kawan-kawan dan masyarakat Melayu secara amnya. Jadi, saya rasa saya kurang mendalami bahasa dan budaya Melayu.

“Saat saya menyedari hal itu, saya rasa identiti saya sebagai orang Melayu tidak kukuh.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk mengambil laluan DSA dalam program MLEP untuk menguasai bahasa Melayu dan meningkatkan pemahaman saya tentang budaya Melayu,” tambah Amjad.

Pengalaman Amjad mewakili sekolahnya dalam pertandingan debat Bahas 4PM juga telah meningkatkan kesedarannya tentang kepentingan penguasaan bahasa untuk berhubung dan berinteraksi dengan masyarakat Melayu.

Seiring dengan impiannya untuk menjadi seorang doktor, Amjad berkongsi bahawa dia sedia maklum akan keadaan negara yang sedang berdepan dengan trend penuaan aktif.

Ini mengukuhkan lagi keterpanggilannya untuk menjadi fasih dalam bahasa Melayu agar mampu berkomunikasi dengan efektif bersama generasi yang lebih berusia.

Kegigihan Amjad menuju kecemerlangan akademik itu diiringi dengan beberapa pengorbanan yang terpaksa dia lakukan.

Antaranya ialah terpaksa mengorbankan masanya bersama keluarga yang dianggap berharga apabila menjelang musim peperiksaan peringkat GCE ‘O’.

Namun begitu, dia menghargai keluarganya yang memahami dan menyokong usaha Amjad untuk terus tekun dalam pelajaran.

Amjad turut berkongsi bahawa dedikasinya untuk menguasai pelajaran yang holistik, daripada Matematik dan Sains hinggalah kepada bahasa Melayu turut didukung oleh ibu bapanya.

Amjad berkata: “Ibu bapa saya tidak pernah menyekat kecenderungan saya dalam menekuni apa-apa bidang dan mata pelajaran. Ini memudahkan proses saya dalam menguasai satu demi satu mata pelajaran yang saya anggap penting.”

Waima begitu, beliau kekal tekad untuk terus cemerlang dalam semua mata pelajaran baik Matematik dan Sains mahupun bahasa Melayu tanpa menyampingkan mana-mana mata pelajaran.

Sementara itu, mengulas tentang prestasinya, guru subjek biologi, Encik Jason Seow, 49 tahun, berkongsi bahawa Amjad telah mencapai gred ‘A’ dalam setiap peperiksaannya sewaktu menengah empat.

“Amjad ialah seorang pelajar yang sentiasa mempunyai semangat untuk menimba ilmu. Dia juga mempunyai sikap ingin tahu dan sering cuba untuk meluaskan pengetahuannya,” ujar Encik Seow.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg