Sekembalinya ke sekolah pada Januari 2024, Siti Anisah Rashid berdepan perubahan besar dalam kehidupannya apabila pergerakan harian seperti membuka mata dan berjalan menjadi satu cabaran.

Daripada seorang murid yang dahulunya aktif, kehidupan pelajar Sekolah Rendah Fuchun itu berubah secara mendadak selepas disahkan menghidap myasthenia gravis, sejenis penyakit jarang berlaku yang menyebabkan kelemahan otot.

Selain keupayaan fizikalnya terjejas, gadis berusia 12 tahun itu turut bergelut dengan perasaan murung.

Dia bimbang keadaan kesihatannya akan menyukarkan dia menjalin persahabatan bersama murid lain.

Pelbagai penyesuaian terpaksa dilakukan demi membolehkan dia meneruskan persekolahan dan mempersiapkan diri menghadapi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) baru-baru ini.

“Saya berasa keseorangan kerana takut tidak dapat berkawan. Saya juga rasa kawan-kawan mungkin akan mentertawakan saya kerana keadaan saya.

Siti Anisah Rashid, 12 tahun, disahkan menghidap myasthenia gravis pada Disember 2023 selepas mengalami demam tinggi dan kelemahan otot sehingga menyukarkannya membuka mata dan berjalan.
Siti Anisah Rashid, 12 tahun, disahkan menghidap myasthenia gravis pada Disember 2023 selepas mengalami demam tinggi dan kelemahan otot sehingga menyukarkannya membuka mata dan berjalan. - Foto ihsan RASHID KONSON

“Tetapi saya tidak berputus asa dan tetap mahu meneruskan kehidupan,” katanya, yang juga terpaksa menggunakan kerusi roda selama sekitar lapan bulan.

Hampir tiga tahun sejak berdepan cabaran kesihatan itu, Anisah akhirnya mampu mengukir senyuman apabila menerima keputusan PSLE pada 24 November.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Anisah merupakan antara 40,906 murid yang menduduki PSLE 2026, dengan 98.5 peratus daripada kohort itu dinilai layak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada 24 November, sekitar 64 peratus murid yang layak memasuki Kumpulan Penempatan 1 dan 2 berpeluang mengambil sekurang-kurangnya satu mata pelajaran pada peringkat yang lebih mencabar, setanding dengan kohort tahun sebelumnya.

Kesemua 326 murid Darjah 6 daripada empat madrasah – Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah – juga dinilai layak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

Anisah berjaya meraih skor Tahap Pencapaian (AL) 26 yang melayakkannya memasuki Kumpulan Penempatan 1 di sekolah menengah.

Baginya, kejayaan menamatkan pendidikan sekolah rendah bukan sekadar pencapaian akademik, malah menjadi lambang ketabahannya mengharungi cabaran kesihatan dan emosi.

Mengimbas kembali detik menerima keputusan PSLE, Anisah mengakui dia pada mulanya bimbang tidak akan lulus PSLE setelah gagal dalam beberapa peperiksaan sebelum ini.

“Saya ingat saya akan gagal lagi kerana sebelum ini, saya pernah gagal dalam beberapa peperiksaan.

“Tetapi apabila mendapat keputusan hari ini, saya sangat terkejut dan bersyukur kerana saya lulus dan boleh meneruskan pelajaran ke sekolah menengah,” katanya.

Penyakit yang dihidapinya telah menjejas keupayaannya melakukan kegiatan harian mudah seperti berjalan dan membawa beg sekolah.

Mengimbas kembali, Anisah disahkan menghidap myasthenia gravis pada Disember 2023 selepas mengalami demam dan kelemahan otot sehingga menyukarkannya membuka mata dan berjalan.

Anisah kemudian dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), di mana dia menjalani beberapa pemeriksaan termasuk ujian darah dan imbasan sebelum disahkan menghidap penyakit tersebut.

Keadaannya turut menyebabkan kelopak mata kirinya terkulai.

Keadaan ini telah mendorong Anisah beralih daripada kegiatan kokurikulum sukan kepada Kelab Seni, yang kurang menuntut tenaga fizikal dan membolehkannya meneroka minat baharu dalam bidang seni lukis.

Guru Kanan bagi Keperluan Pendidikan Khas, Cik Rohani Talib, yang juga guru Anisah sejak Darjah 3, berkata pelbagai penyesuaian dilakukan bagi memastikan keadaan kesihatan murid itu tidak menghambat pembelajarannya.

Antaranya, pihak sekolah mengaturkan bantuan rakan sebaya untuk menemani Anisah semasa waktu rehat serta membantunya bergerak di sekitar kawasan sekolah.

Selain memasang pemegang sokongan dan menyediakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya, pihak sekolah turut mengatur sesi bimbingan akademik tambahan di luar waktu kelas pemulihan.

Guru pendidikan jasmani juga menyesuaikan kegiatan agar Anisah dapat terus mengambil bahagian meskipun berdepan keterbatasan fizikal.

“Setiap individu memainkan peranan masing-masing untuk membantu Anisah.

“Dia seorang yang tidak mudah mengalah. Walaupun ada turun naik dalam perjalanan kesihatannya, dia tetap mahu melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan,” kata Cik Rohani.

Pencapaian anak bongsu daripada empat beradik itu turut menjadi detik membanggakan bagi bapanya, Encik Rashid Konson, 56 tahun, setelah menyaksikan sendiri perjuangan anaknya mengharungi cabaran kesihatan dan emosi sepanjang hampir tiga tahun lalu.

“Perjalanan ini bukan mudah bagi kami sekeluarga, tetapi kami menganggapnya sebagai satu ujian dan sentiasa cuba berfikiran positif.

“Alhamdulillah, sekarang kami dapat melihat keadaannya semakin pulih. Dia juga semakin ceria dan tidak lagi perlu mengambil ubat sebanyak dahulu.

“Kami sekeluarga sangat bangga dengan pencapaiannya,” katanya.

Bakal melangkah ke alam sekolah menengah, Anisah melahirkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke ke sekolah menengah yang terletak berdekatan rumahnya.

“Saya akan sentiasa mengingati apa yang dilakukan oleh guru-guru dan rakan-rakan saya. Kadangkala, apabila saya tidak dapat melihat di dalam kelas, mereka membantu saya.

“Saya sentiasa mengenang kebaikan mereka, walaupun sekecil mana sekalipun,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti