Semasa mula melibatkan diri sebagai sukarelawan di sesi bertemu penduduk (MPS) bagi kawasan Tampines Changkat pada Oktober 2022, Cik Arissa Kamaruzaman, ditugaskan menjadi salah seorang penulis kes di mana beliau mendengar pelbagai isu yang dihadapi penduduk di estet kejiranan itu.
“Saya bermula menjadi sukarelawan sewaktu masih di sekolah.
“Saya berpeluang mendekati penduduk di situ setiap minggu dan menulis keprihatinan serta masalah yang dihadapi mereka, termasuk isu kehilangan pekerjaan, perumahan dan kewarganegaraan.
“Pengalaman itu membuka hati saya untuk menceburi perkhidmatan awam dan ingin membantu masyarakat. Saya rasa ia satu peluang yang bermakna,” kongsi Cik Arissa, 19 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Anak sulung dua beradik itu berkata beliau berminat untuk menjadi sukarelawan MPS kerana ingin mengenali penduduk daripada pelbagai latar belakang di estet kejiranannya secara lebih dekat sambil memahami cabaran dan keprihatinan yang dihadapi masyarakat setempat.
“Selain membaca dan membuat kajian mengenai isu masyarakat, saya ingin berinteraksi dengan orang ramai sambil mendengar pengalaman hidup mereka,” tambah Cik Arissa.
Bekas pelajar Institusi Raffles (RI) itu merupakan antara 60 pelajar yang dianugerahkan Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) 2025 pada 25 Julai.
Majlis penyampaian yang diadakan di Hotel InterContinental Singapore itu dihadiri Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, selaku tetamu terhormat.
Semasa berucap di majlis tersebut, Encik Chan, yang juga penerima biasiswa PSC pada 1988, menggalak penerima biasiswa PSC 2025 untuk sentiasa menghargai kepelbagaian dan kerumitan dunia sambil mengumpul perspektif baru semasa melanjutkan pengajian di luar negara.
“Kami berharap anda (penerima biasiswa) dapat memikirkan cabaran yang akan dilalui negara pada masa hadapan dan dapat mencari jawapan itu supaya Singapura dapat terus berkembang dan bertahan untuk 100 tahun akan datang,” katanya.
Biasiswa pemerintah tersebut dianugerahkan berdasarkan merit dan menawarkan pelbagai laluan kerjaya dalam perkhidmatan awam.
Cik Arissa akan memulakan pengajian Sarjana Muda dalam Sejarah dan Politik di London School of Economics (LSE), England, pada September.
Beliau meraih markah penuh, 90RP (rank points) bagi keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’ dan mendapat gred kepujian bagi subjek H3 Geopolitik.
“Saya mempunyai minat dalam bidang sejarah sejak di sekolah menengah dan apabila saya mengambil subjek geopolitik, saya melihat terdapat hubungan rapat antara sejarah dengan politik.
“Justeru, saya mahu mendalami kededua bidang itu. LSE merupakan antara pilihan utama saya dan saya tertarik dengan sukatan pelajaran yang ditawarkan.
“Di sekolah menengah dan maktab rendah, kami sering fokus mempelajari tentang sejarah antarabangsa secara am.
“Kini saya berpeluang mendalami sejarah mengenai rantau lain termasuk Asia, Timur Tengah dan Amerika Selatan,” tambahnya.
Sewaktu di RI, Cik Arissa turut menjadi pengerusi bagi persatuan kewartawanan, Raffles Press, yang melihatnya bekerjasama dengan pelajar perempuan lain untuk memulakan semula satu inisiatif penulisan yang diberi nama Bingkisan Srikandi.
Beliau berharap dapat menyumbang kembali kepada masyarakat selepas pulang ke Singapura daripada pengajiannya dengan bekerjasama bersama belia Melayu/Islam dalam pelbagai inisiatif mulia.
“
“Saya bermula menjadi sukarelawan sewaktu masih di sekolah. ... Pengalaman itu membuka hati saya untuk menceburi perkhidmatan awam dan ingin membantu masyarakat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg