Sejak kecil, Cik Fariah Tiat Safa, kerap menunjukkan rasa ingin tahu tentang bagaimana sesuatu itu berfungsi.
Bapanya, Profesor Kejuruteraan Mekanik di Universiti Nasional Singapura (NUS), cenderung berkongsi pengalamannya semasa dalam industri kejuruteraan.
Lama-kelamaan, perbualan mengenai huraian dan inovasi menjadi perkara biasa di rumah mereka, malah sering memenuhi suasana di meja makan keluarga.
“Saya tertarik melihat bagaimana ayah menggunakan ilmu untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar,” kongsi Cik Fariah, mengenai ayahnya, Dr Md Raisul Islam, 59 tahun.
Butir bicara seperti itulah yang mula memupuk minat Cik Fariah, 19 tahun, yang merupakan antara 200 pelajar yang menerima Biasiswa Program Kejuruteraan dan Teknologi (ETPS) daripada Kementerian Pendidikan (MOE) ketika ia diperkenalkan pada 2023.
Kumpulan perintis itu dijemput kembali semasa Acara Penganugerahan Biasiswa ETPS pada 11 Julai, yang menyaksikan seramai 200 lagi pelajar prauniversiti menerima anugerah tersebut.
Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, berkata biasiswa ETPS memainkan peranan penting dalam melahirkan jurutera masa depan.
“Sejak diperkenalkan pada 2023, biasiswa ETPS bertujuan mengenal pasti serta membimbing bakat muda dalam bidang kejuruteraan melalui pembelajaran praktikal dan pendedahan industri.
“Dalam usaha negara menuju ke arah ekonomi hijau serta digital, program ini memainkan peranan penting dalam melahirkan jurutera masa depan demi merealisasikan aspirasi negara dan meningkatkan mutu hidup rakyat Singapura,” katanya, yang juga Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.
Menurutnya, sekitar 100 penerima biasiswa ETPS telah melanjutkan perjalanan mereka dalam bidang kejuruteraan.
“Ini mencerminkan semangat dan potensi mereka yang tinggi, serta sokongan padu daripada keluarga, guru, mentor dan rakan industri,” kata beliau.
Biasiswa ETPS diberikan kepada pelajar prauniversiti warga Singapura yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Matematik dan Sains, serta mempunyai minat terhadap pembelajaran secara langsung.
Ia meliputi elaun tahunan $1,000 serta yuran sekolah mengikut kadar subsidi, tertakluk pada had tahunan sebanyak $2,400.
Penerima biasiswa itu pula antaranya dikehendaki menyertai bengkel Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matemati (Stem) selama seminggu, serta menjalani penempatan kerja industri selama dua minggu.
Bagi Cik Fariah antara pengalaman bermakna adalah latihan amali selama dua minggu di syarikat, ST Microelectronics.
Malah, ia satu pengalaman yang mengukuhkan lagi minatnya terhadap kejuruteraan.
“Di sana, saya dapat lihat sendiri setiap peranan jurutera. Ia membuka mata saya tentang luasnya skop kerja jurutera dan kepentingan kerjasama bersama anggota pasukan,” kata anak bongsu dua beradik itu.
Menyentuh mengenai isu ketidakseimbangan jantina dalam bidang kejuruteraan, Cik Fariah mengakui pernah berasa gentar untuk menceburi bidang yang lazimnya dikuasai kaum lelaki.
Namun, pengalaman di ST Microelectronics meyakinkan beliau bahawa jurutera wanita juga berpeluang menyerlah dan memegang peranan kepimpinan.
Dengan itu, beliau berkongsi harapan mahu bergelar seorang jurutera elektrik semasa ditemui Berita Harian (BH).
Peranan tersebut memberi asas kepada pelbagai aspek teknologi, termasuk dalam segi bioperubatan, dan membolehkan beliau kekal fleksibel jika ingin meneroka minat lain pada masa depan.
“Saya sedar perjalanan saya dalam bidang kejuruteraan masih panjang.
“Namun, saya ingin terus belajar, berkembang, dan kalau diizinkan, memberi inspirasi kepada orang lain,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg