Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenuntut NUS anggap dwibahasa jadi jambatan dekati identiti, budaya
Penuntut NUS anggap dwibahasa jadi jambatan dekati identiti, budaya
Membesar dalam keluarga berbilang kaum membuat Cik Auni Tan Zaki Tan Abdullah sedar sejak kecil bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam membentuk identitinya.
Bapanya seorang yang berdarah Cina, lantas beliau sentiasa berbicara dalam Bahasa Inggeris dengan bapanya, manakala ibunya seorang yang berdarah Melayu, yang membuatnya fasih dalam bahasa kebangsaan Singapura.
Penguasaan kedua-dua bahasa itu terus diasah di luar rumah di mana Cik Auni mengembangkan kemahirannya menerusi penulisan, pidato dan bahas, di samping mendalami budaya Melayu dan menggunakan bahasa itu dalam bidang media.
Komitmennya terhadap bahasa dan dwibahasa mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Anugerah Buku Perdana Menteri di Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 31 Ogos.
Sejumlah 211 anugerah disampaikan di majlis Anugerah Khas Kementerian Pendidikan (MOE) tahun ini yang dihadiri oleh Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary selaku tetamu terhormat.
Bekas pelajar Institut Raffles (RI) itu merupakan satu-satunya penerima Melayu/Islam di peringkat prauniversiti bagi anugerah tersebut yang bertujuan mengiktiraf usaha cemerlang pelajar dalam menggalak kedwibahasaan pelajar.
“Sebagai satu-satunya penerima Melayu/Islam di peringkat prauniversiti, saya berasa amat bersyukur dan berharap pengalaman saya dapat menjadi dorongan kepada pelajar Melayu yang lain untuk terus menghargai bahasa, budaya dan bidang kemanusiaan.
“Bagi saya, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu amanah untuk terus menyumbang,” katanya yang sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang di NUS.
Mengimbas pengalamannya semasa kecil, Cik Auni berkata beliau tidak pernah merasakan perlu memilih antara dua identiti.
“Saya tidak pernah merasakan bahawa saya perlu memilih antara kedua-duanya. Sebaliknya, saya belajar menghargai keunikan setiap budaya yang membentuk diri saya.
“Bahasa Inggeris menghubungkan saya dengan ayah dan dunia yang lebih luas, manakala bahasa Melayu memberi saya hubungan yang lebih dekat dengan ibu dan akar budaya saya,” katanya.
Perjalanan Cik Auni mendalami bahasa Melayu bukan tanpa cabaran.
Ketika mula mengambil Bahasa Melayu Lanjutan, beliau sukar memahami kehendak soalan dan mencetuskan idea untuk karangan.
Ibunya banyak membantu, termasuk duduk bersamanya untuk mencari idea dan membimbingnya sehingga beliau semakin yakin menulis sendiri.
Sokongan salah seorang guru Bahasa Melayunya turut menjadi dorongan kepadanya.
Beliau digalakkan menyertai pertandingan pidato, bahas dan penulisan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk menggunakan bahasa Melayu di luar bilik darjah.
“Dengan sokongan ibu saya dan juga guru, saya lebih terbiasa dengan cara untuk menjawab soalan peperiksaan.
“Ia membuat saya lebih sayang kepada subjek itu kerana mereka juga menyokong saya untuk mencuba aktiviti-aktiviti tentang budaya dan bahasa Melayu di luar bilik darjah,” katanya.
Bagi Cik Auni, pengalaman tersebut menyedarkannya bahawa budaya tidak hanya dipelajari menerusi buku teks, malah boleh dihayati melalui muzik, persembahan dan seni.
Minatnya terhadap bahasa Melayu kemudian membuka jalan ke bidang media apabila Cik Auni menjalani latihan amali selama tiga bulan di Berita Harian (BH).
Di BH, beliau ditugaskan menterjemah laporan berita ke bahasa Melayu, selain berpeluang turun padang menemu ramah golongan belia dan menghasilkan artikelnya sendiri.
Pengalaman itu bukan sahaja memberinya gambaran tentang kerja di sebalik tabir sebuah bilik berita, malah memperdalam penghargaannya terhadap nuansa bahasa Melayu dan peranannya dalam mengetengahkan kisah masyarakat.
“Pengalaman itu membuat saya lebih menghargai bahasa Melayu kerana saya dapat memahami nuansanya dengan lebih mendalam.
“Saya juga berpeluang menemu ramah golongan belia dan menulis artikel sendiri. Daripada situ, saya dapat melihat kerja di sebalik tabir bidang media dan lebih menghargai bahasa serta budaya kita, selain usaha mereka yang bekerja keras untuk mengetengahkan kisah masyarakat,” katanya.
