Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar Sindrom Down cari keyakinan diri, raih Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew

Bina keyakinan diri selepas diberi pelbagai peluang pegang jawatan kepimpinan di sekolah
Aug 26, 2025 | 7:48 PM
Sindrom Down, Anugerah LKY
Cik Nadya Ahmad Loqman, 18 tahun, yang menghidapi Sindrom Down sejak lahir, adalah antara 27 pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew (LKY- ESA) pada 26 Ogos. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Selama bertahun-tahun, Cik Nadya Ahmad Loqman, 18 tahun, bergantung pada ibu bapanya untuk menjaganya, terutama untuk menghantarnya ke Sekolah MINDS Woodlands Gardens.

Ini berpunca daripada rasa kurang yakin pada diri sendiri akibat Sindrom Down yang dialaminya sejak lahir, yang menyebabkan beliau sering menghadapi kesukaran meluahkan perasaan dan berinteraksi dengan orang lain.

Namun, sinar perubahan mula kelihatan apabila beliau mencecah usia 15 tahun.

Menurut ibunya, Cik Emilia Razali, 51 tahun, salah satu pencapaian yang paling membanggakan ialah apabila Cik Nadya mampu berulang-alik sendiri dari rumahnya di Woodlands ke sekolah.

Sebahagian daripada keyakinan itu disemai melalui pelbagai peluang memegang jawatan kepimpinan di sekolah.

Sebagai pengawas, Cik Nadya, anak bongsu dalam keluarga dua beradik, diberi amanah memimpin murid-murid lebih muda dari bas ke dewan perhimpunan serta membimbing mereka menyimpan barangan di lokar.

Menurut gurunya, Cik Wirda Bahati, peranan itu membantu pelajar dengan keperluan khas seperti Cik Nadya menyerlahkan sifat tanggungjawab dan keprihatinan, meskipun beliau masih berdepan cabaran dalam aspek komunikasi lisan.

Kisah dan perkembangan positif seperti beliau merupakan antara perkara yang diiktiraf dalam ucapan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, semasa Anugerah Khas Kementerian Pendidikan pada 26 Ogos.

Pada majlis tersebut, Cik Nadya ialah antara 27 pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew (LKY- ESA).

Anugerah itu diberikan kepada pelajar pendidikan khas yang bukan sahaja mencapai kemajuan cemerlang dalam bidang akademik, vokasional, sukan atau seni, bahkan menyumbang secara bermakna kepada sekolah dan masyarakat.

“Kisah Nadya adalah peringatan bahawa ketabahan dan perkembangan diri membolehkan kami mempertingkat sokongan kepada orang sekeliling kita,” jelas Encik Lee.

Lantas, beliau menekankan kepentingan menghargai sokongan daripada orang sekeliling, menyemai nilai-nilai dan perwatakan yang kukuh untuk mengharungi dunia yang semakin kompleks, dan melihat kegagalan sebagai peluang untuk berkembang.

Pencapaian itu dianggap di luar jangkaan bagi ibu bapanya yang telah menyaksikan perkembangan Cik Nadya sejak kecil.

Namun, ia mencerminkan usaha gigih anak mereka dalam pelbagai aktiviti sekolah untuk terus memperbaiki diri.

Selain menjalankan tugas sebagai pengawas, Cik Nadya juga terlibat dalam seni persembahan, yang turut menjadi wadah penting untuk beliau meluahkan perasaan.

Bakatnya menghafal gerakan tarian sejak kecil telah membawanya ke pelbagai pentas, termasuk persembahan sekolah dan acara masyarakat seperti sambutan Tahun Baru Cina, Hari Kebangsaan dan acara kebajikan.

Pendedahan sedemikian bukan sahaja membina keyakinan untuk tampil di hadapan khalayak, malah membuka ruang luas bagi beliau menyalurkan emosi dan kreativiti.

Justeru, anugerah itu membawa makna yang mendalam bagi Cik Emilia, kerana ia mengesahkan bahawa segala usaha anaknya dihargai meskipun beliau berdepan cabaran perkembangan.

“Walaupun beliau seorang anak istimewa, anugerah ini menjadi satu pengiktirafan bahawa segala usaha dan sumbangannya tetap dilihat serta dihargai oleh orang di sekelilingnya, tanpa mengira latar belakang atau keadaannya,” kata Cik Emilia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg