Peralihan dari sekolah menengah ke maktab rendah bukanlah sesuatu yang mudah bagi Encik Muhamad Mamfizam Ismail, 25 tahun.
Ini disebabkan kejutan budaya apabila menyedari hanya terdapat segelintir pelajar Melayu/Islam dalam kohortnya, sehingga membuatkan dirinya terasa asing dalam persekitaran baru pada ketika itu.
Namun, daripada pengalaman itulah timbul keinginan beliau untuk berkongsi tentang agama dan budayanya dengan rakan-rakan rapat.
Minat itu terus berkembang semasa di Universiti Nasional Singapura (NUS) ketika mengambil jurusan utama dalam bidang Sejarah dengan pengkhususan kecil dalam Pengajian Asia Tenggara.
“Saya tertarik dengan cara nilai tradisional dalam masyarakat Melayu boleh bergabung dalam budaya moden pada zaman ini,” kata beliau.
Semangat itulah yang mendorong Encik Mamfizam untuk menyertai kumpulan NUSC Salam yang diasaskan oleh rakannya, Encik Salifian Sulaiman, 26 tahun.
Beliau, yang kini sedang melanjutkan pengajian sarjana di Universiti Cambridge, merupakan pengasas NUSC Salam pada 2020 dengan tujuan menyatukan pelajar minoriti, khususnya mereka daripada masyarakat Melayu/Islam.
“Saya mulakan NUSC Salam kerana sedar akan kepentingan keperluan golongan pelajar minoriti di sini.
“Ini termasuk perkara-perkara asas seperti perkakas khas bagi makanan halal, atau menyediakan ruang yang selesa bagi pertukaran idea dan pertanyaan bagi pelajar minoriti di sini,” kata beliau.
Atas usaha itu, mereka diberi penghormatan sebagai penerima Hadiah Izzuddin Taherally 2025 semasa Majlis Konvokesyen NUS pada 18 Julai.
Anugerah tersebut mengiktiraf pelajar tahun akhir Kolej NUS yang menunjukkan komitmen dalam memupuk keharmonian sosial atau terlibat secara aktif dalam dialog antara agama.
Dana bagi hadiah itu disumbang oleh Zamil dan Pensyarah Kanan Adjung di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Mustafa Izzuddin, atas nama bapanya, pemimpin masyarakat mapan, Encik Izzuddin Taherally.
Sejak diperkenalkan pada 2019, sembilan pelajar telah menerima anugerah tersebut.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Dr Mustafa, berkata:
“Anugerah ini diberikan kepada pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah juga aktif dalam usaha memupuk keharmonian sosial dan dialog antara agama.
“Kedua-dua penerima tahun ini (2025) menunjukkan komitmen luar biasa dalam memperjuangkan semangat ini, dan saya amat berbangga kerana mereka juga merupakan bekas pelajar saya.”
Lantas, beliau turut melahirkan harapan agar anugerah itu tidak menjadi penamat kepada perjalanan mereka, namun satu titik tolak yang mendorong mereka agar terus menyumbang kepada masyarakat, walau di mana-mana jua mereka berada.
Dalam pada itu, Encik Salifian menekankan usaha itu tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama serta sokongan rakan-rakan dan keyakinan oleh kakitangan pentadbiran sekolah tersebut.
Ini dapat dilihat semasa program dialog silang agama dan majlis iftar bersama pelajar daripada pelbagai latar belakang, apabila NUSC Salam membuka ruang untuk berkongsi cerita dan pandangan sendiri dari segi agama serta budaya.
“Bagi saya, inilah peluang untuk pelajar mendengar, memahami dan membentuk hubungan yang lebih rapat tanpa batasan,” ujar beliau.
Dengan itu, beliau melahirkan penghargaan atas sokongan yang diterimanya – daripada masyarakat pelajar Melayu/Islam serta kakitangan NUS.
Kejayaan mereka turut diraikan oleh Dekan Kolej NUS, Profesor Simon Chesterman, yang menyifatkan pencapaian tersebut sebagai lambang nilai teras yang ingin dipupuk oleh institusi tersebut.
Menurutnya, anugerah itu bukan sahaja mengiktiraf pencapaian individu, malah turut meraikan nilai yang dibawa oleh penerimanya.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian kedua-dua pelajar yang menerima Hadiah Izzuddin Taherally tahun ini (2025).
“Kecemerlangan akademik mereka, serta komitmen tinggi dalam mempromosikan budaya silang agama melalui aktiviti berkaitan keharmonian sosial, mencerminkan nilai-nilai terbaik yang ingin kami pupuk di Kolej NUS.
“Ini penting dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan bersatu padu, baik di Singapura mahupun di peringkat global,” ujar beliau.
“
Anugerah ini diberikan kepada pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah juga aktif dalam usaha memupuk keharmonian sosial dan dialog antara agama. Kedua-dua penerima tahun ini (2025) menunjukkan komitmen luar biasa dalam memperjuangkan semangat ini, dan saya amat berbangga kerana mereka juga merupakan bekas pelajar saya.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg