Pengalaman Encik Brennan Kau Fang Reng sebagai seorang sukarelawan di dapur masyarakat pelarian di Calais, Perancis, telah menyedarkannya bahawa makanan boleh menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Justeru, ia telah mencetus keinginan beliau melibatkan diri dalam wacana antara budaya sewaktu menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menerusi kelas Felo dan Pensyarah Kanan Adjung di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Mustafa Izzuddin, beliau berpeluang melawat pelbagai tempat ibadah dan diberi peluang menikmati pelbagai juadah yang dihidangkan.
Antaranya adalah menikmati juadah nasi beriani bersama penganut lain di Masjid Burhani dan nasi dhal di dapur masyarakat Central Sikh Temple.
Encik Kau, 25 tahun, yang meraih ijazah sarjana muda Sastera/Sains Kemasyarakatan (Kepujian) NUS dan ijazah sarjana muda Sastera Sains Po Paris, adalah antara dua penerima Hadiah Izzuddin Taherally.
Hadiah itu mengiktiraf pelajar yang bukan sahaja menunjukkan prestasi akademik cemerlang, malah aktif dalam usaha kemasyarakatan dan memupuk keharmonian kaum.
Dana bagi hadiah itu disumbang Dr Mustafa Izzuddin, atas nama bapanya, pemimpin masyarakat mapan, Encik Izzuddin Taherally.
Sejak ia diperkenalkan pada 2019, seramai lima pelajar Kolej NUS telah menerima hadiah tersebut.
Berkongsi pengalamannya, Encik Kau berkata semasa menanti tahun keduanya menuntut di Universiti Sains Po di Paris, beliau aktif menyumbang tenaga bersama pertubuhan kendalian relawan Refugee Community Kitchen.
“Kami pergi ke gudang setiap hari dan kerja pengagihan diadakan kira-kira sekali atau dua kali seminggu. Disebabkan ia sebuah dapur, kebanyakan masa diperuntukkan menyiapkan makanan.
“Makanan yang disiapkan selalunya makanan etnik untuk memenuhi selera pelarian. Atas dasar logistik, kami perlu sediakan makanan yang mudah dimasak dalam kuantiti yang banyak, seperti nasi putih, kari dan dal,” kongsi beliau.
Antara ratusan pelarian yang berada di lokasi pengagihan makanan, pemuda itu mengimbas satu interaksi antara seorang relawan India dengan seorang pelarian Afghanistan.
“Melalui interaksi tersebut, saya sedar bahawa pelarian Afghanistan itu seorang graduan universiti dan beliau terpaksa berpindah ke Perancis disebabkan apa yang berlaku dengan kemelut politik di sana.
“Apa yang ketara ialah kita cenderung melukis stereotaip seorang pelarian yang tergolong daripada latar belakang yang kurang baik.
“Tetapi sebenarnya, ramai menjalani kehidupan yang normal seperti kami dan secara kebetulan, berada dalam keadaan sedemikian kerana kemelut politik yang berlaku di tanah air mereka,” ujar beliau, yang memulakan tugas di Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) di Jabatan Strategi Ekonomi dan Pelaburan. “Ia merupakan satu penghormatan yang luar biasa, dan saya gembira kerana berpeluang untuk berjaya sebagai seorang mahasiswa NUS dan warga antarabangsa.
“Ia sangat bermakna kerana hadiah ini disumbangkan oleh salah seorang pensyarah saya, Dr Mustafa Izzuddin, sebagai penghormatan kepada bapanya, Encik Izzuddin Taherally.
“Pandangan Dr Mustafa mengenai dialog antara agama di Kolej NUS sangat memberi inspirasi, dan impak kuliah beliau meningkatkan lagi kepentingan menerima hadiah ini,” ujar beliau.
Malah, beliau turut diiktiraf dengan Hadiah Rakyat Global Batul Izzuddin, yang juga disumbang Dr Mustafa Izzuddin sebagai tanda penghormatan kepada ibunya, Cik Femisa Fakhrudin, atau lebih dikenali sebagai Batul Izzuddin.
Dengan usaha beliau yang berterusan dalam menyumbang kepada masyarakat, Encik Kau merupakan graduan pertama untuk meraih kededua hadiah itu.
Naib Dekan (Hal Ehwal Akademik) Kolej NUS Profesor Loy Hui Chieh berkata:
“Hadiah ini mengukuhkan lagi misi kami untuk memupuk individu yang mempunyai pencapaian tinggi dan cemerlang yang menyumbang secara positif kepada masyarakat.
“Ia amat simbolik dan bermakna jika hadiah ini diwujudkan atas nama seorang pemimpin masyarakat mapan, Encik Izzuddin Taherally, berperanan sebagai sumber inspirasi.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg