Sekitar 36,000 pendidik MOE naik gaji 2-9% mulai 1 Okt
Demi gaji kekal berdaya saing, dapat terus tarik dan kekal pendidik yang baik
Sekitar 36,000 pendidik di bawah Kementerian Pendidikan (MOE) akan menerima peningkatan sebanyak 2 hingga 9 peratus kepada gaji bulanan mereka mulai 1 Oktober.
Dalam satu kenyataan MOE pada 16 Mac, kementerian itu berkata penyesuaian gaji itu akan melibatkan sekitar 33,000 pegawai pendidikan (EO), 1,700 pendidik bersekutu (AED) dan 1,100 pendidik tadika MOE (MKE).
Menurut laman MOE, AED adalah kakitangan yang bekerjasama dengan guru dan pegawai sekolah untuk menyediakan sokongan dan perkhidmatan khusus kepada pelajar. Ini termasuk kaunselor sekolah, pegawai keperluan pendidikan khas, pegawai kebajikan pelajar dan pendidik pengembaraan luar.
Penyesuaian itu, tambah kementerian itu, adalah bagi memastikan pakej gaji keseluruhan kakitangan MOE kekal berdaya saing, di samping usaha terus menarik dan mengekalkan pendidik yang baik.
“Guru merupakan teras sistem pendidikan kita. Selain penyesuaian gaji, MOE akan terus menyediakan peluang untuk pegawai belajar dan membangunkan kemahiran sepanjang kerjaya mereka,” jelas MOE.
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata penyesuaian gaji ini dilakukan memandangkan para pendidik merupakan tonggak dalam sistem pendidikan Singapura.
Dalam catatan Facebook pada 16 Mac, beliau berkata: “(Kementerian) menyemak gaji pendidik secara berkala bagi memastikan ia kekal berdaya saing agar kami dapat terus menarik dan mengekalkan pendidik bermutu tinggi serta komited mendidik pelajar kita.”
Beliau turut memberikan kata-kata perangsang kepada para pendidik dan memberi jaminan lebih banyak sokongan akan diberikan kepada pendidik.
Kali terakhir semakan gaji dibuat kepada pendidik MOE adalah pada Oktober 2022, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 5 hingga 10 peratus.
Kenaikan gaji ini sejajar dengan pengumuman semakan penyesuaian gaji pendidik yang dibuat Encik Lee di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MOE pada 3 Mac.
Sehubungan itu, Kesatuan Guru Singapura mengalu-alukan pengumuman MOE untuk meningkatkan gaji pendidik di bawah kementerian itu.
Dalam satu kenyataan susulan pada 16 Mac, kesatuan itu berkata semakan semula gaji guru secara menyeluruh itu “sudah lama dinanti-nantikan”.
“Walaupun penyesuaian 2 hingga 9 peratus merupakan satu pengiktirafan terhadap jurang dengan penanda aras terhadap pasaran, semakan gaji sahaja tidak mencukupi.
“MOE harus mengambil pandangan holistik terhadap jumlah pampasan – termasuk elaun, perkembangan kerjaya dan manfaat (sedia ada), untuk memastikan sektor pendidikan kekal sebagai kerjaya yang menarik dan mampan,” kata kesatuan itu.
Kesatuan tersebut turut menekankan perlunya usaha berterusan bagi meringankan beban pentadbiran bukan penting agar para pendidik dapat tumpukan sepenuhnya terhadap pembangunan pelajar.
Dalam pada itu, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MOE, Encik Lee mengumumkan bahawa tenaga kerja dan sumber dana tambahan akan disediakan kepada lebih banyak sekolah mulai 2026.
Ia sebagai sebahagian usaha pemerintah mengorak langkah ke arah pendidikan bersifat terangkum.
Ini termasuk memenuhi, antara lain, keperluan pelajar daripada golongan kurang bernasib baik dan lebih banyak sokongan untuk sekolah pendidikan khas (Sped), katanya.
Beliau berkata MOE akan bekerjasama dengan 157 sekolah kali ini – naik daripada 100 sekolah sebelum ini.
Kerjasama ini, tambah beliau, merangkumi usaha mengenal pasti pelajar daripada latar belakang yang kurang bernasib baik dengan lebih baik dan menyediakan sokongan tersuai dan terselaras sebagai titik permulaan.
Mulai Tahun Akademik 2026, MOE juga telah meningkatkan kriteria kelayakan dan jumlah bantuan kewangan bagi pelajar warga Singapura, sekali gus memanfaatkan tambahan 31,000 pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan.
Dengan ini, sekitar 133,000 pelajar akan meraih manfaat secara keseluruhan setiap tahun, ujarnya.
Berhubung Sekolah Pendidikan Khas (Sped), beliau berkata lebih banyak sekolah sedemikian akan dibina dalam tahun-tahun mendatang, dengan lebih banyak tempat di Sped akan disediakan, sejajar dengan permintaan yang kian meningkat.
Menukil laman MOE, tiga kampus Sped yang baru akan mula beroperasi antara separuh kedua 2026 dan awal 2030-an – sekali gus meningkatkan jumlah semasa Sped daripada 13 kepada 16.

