Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekolah Rendah Townsville, Damai akan pindah pada 2029

May 14, 2025 | 4:54 PM
Sekolah Rendah Townsville akan dipindahkan dari Ang Mo Kio Avenue 10 ke persimpangan Canberra Walk dan Canberra Crescent di Sembawang.
Sekolah Rendah Townsville akan dipindahkan dari Ang Mo Kio Avenue 10 ke persimpangan Canberra Walk dan Canberra Crescent di Sembawang. - Foto FACEBOOK TOWNSVILLE PRIMARY SCHOOL

Dua sekolah rendah akan dipindahkan pada 2029 bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan East Canberra dan Tampines North, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan pada 14 Mei.

Sekolah Rendah Townsville akan dipindahkan dari Ang Mo Kio Avenue 10 ke persimpangan Canberra Walk dan Canberra Crescent di Sembawang.

Dalam pada itu, Sekolah Rendah Damai akan dipindahkan dari Bedok Reservoir Crescent ke Tampines Street 64, bersebelahan dengan stesen MRT Tampines North yang bakal dibuka di Laluan Rentas Pulau (CRL).

Kedua-dua sekolah ini tidak akan terlibat dalam proses pendaftaran bagi kemasukan murid Darjah 1 dari 2025 hingga 2027. 

Sekolah-sekolah ini akan menerima kumpulan pertama murid Darjah 1 untuk 2029 di kampus baru masing-masing melalui proses kemasukan pelajar pada 2028, lapor The Straits Times (ST).

Bagi mengurangkan gangguan kepada murid sedia ada di kedua-dua sekolah, kampus mereka di Ang Mo Kio dan Bedok Reservoir akan terus beroperasi sehingga 2030.

Ini bermakna kedua-dua sekolah akan beroperasi di kampus lama dan baru serentak pada 2029 dan 2030. 

Ini dilakukan supaya murid sedia ada dapat menamatkan pengajian di lokasi di mana mereka memulakan persekolahan, manakala murid baru dapat memulakan persekolahan di lokasi baru.

Rancangan yang diumumkan pada 2022 untuk membuka Tadika MOE (MK) di kampus Sekolah Rendah Townsville di Ang Mo Kio tidak akan diteruskan kerana sekolah itu akan berpindah pada 2029. 

MOE memaklumkan bahawa terdapat bekalan tempat kosong bagi pendidikan prasekolah yang mantap di kawasan Sembawang.

Sebagai sebahagian rancangan yang diumumkan sebelum ini untuk membuka MK baru di Tampines North, MOE akan membuka MK@Damai di tapak baru Sekolah Rendah Damai di Tampines North pada 2029.

Selain itu, dua sekolah rendah baru akan ditubuhkan di Chencharu di Yishun, serta North Coast di Woodlands menjelang 2031 bagi menyokong keluarga yang akan berpindah ke kawasan perumahan tersebut dalam beberapa tahun akan datang. 

MOE berkata perincian lanjut akan dikongsi pada masa yang sesuai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg