Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekolah rendah baru di Canberra Timur, tambahan 1,000 tempat prasekolah di Sembawang

Ye Kung: Kemudahan bagi penuhi permintaan tinggi penduduk, menanti kelulusan MOE
Mar 23, 2025 | 1:55 PM
Menteri Kesihatan yang juga AP GRC Sembawang, Encik Ong Ye Kung, bergayut di tali balapan berhalangan di pelancaran kemudahan riadah Forest Gym dan Canberra Cove di Bukit Canberra pada 23 Mac.  Bersamanya ialah tiga lagi AP GRC Sembawang – Cik Mariam Jaafar (berbaju putih), Cik Poh Li San (kiri Cik Mariam) dan Dr Lim Wee Kiak (belakang Encik Ong).
Menteri Kesihatan yang juga AP GRC Sembawang, Encik Ong Ye Kung, bergayut di tali balapan berhalangan di pelancaran kemudahan riadah Forest Gym dan Canberra Cove di Bukit Canberra pada 23 Mac. Bersamanya ialah tiga lagi AP GRC Sembawang – Cik Mariam Jaafar (berbaju putih), Cik Poh Li San (kiri Cik Mariam) dan Dr Lim Wee Kiak (belakang Encik Ong). - Foto ZAOBAO

Penduduk Sembawang boleh menjangkakan sebuah sekolah rendah baru dibina di daerah Canberra Timur menjelang 2029.

Ini di samping tambahan 1,000 tempat di tiga prasekolah baru di daerah Sembawang dalam dua tahun akan datang bagi ibu bapa yang memerlukan khidmat penjagaan kanak-kanak.

Demikian diumumkan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, ketika berucap di pelancaran kemudahan riadah Forest Gym dan Canberra Cove di Bukit Canberra pada 23 Mac.

Beliau berkata sekolah rendah baru itu dirancang dibina di hadapan Pasar Raya Sheng Siong di 105 Canberra Street menyusuli permintaan meningkat bagi sebuah sekolah rendah dekat dengan rumah, dengan jarak antara satu dengan dua kilometer (km).

Encik Ong berkata meskipun terdapat sebilangan sekolah rendah di kawasan Sembawang dan bekalannya cukup sebelum ini, pada 2024 ramai penduduk perlu melalui proses pengundian hingga ke fasa lanjut 2C – terbuka kepada semua kanak-kanak, termasuk mereka yang tidak menetap pada jarak dekat satu km hingga dua km dari sekolah.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa saranan untuk membina sekolah rendah baru itu masih menantikan kelulusan Kementerian Pendidikan (MOE).

Bagi prasekolah pula, 300 tempat akan disediakan di setiap prasekolah baru di dua projek Bina Ikut Tempahan (BTO), Canberra Vista dan Sun Sails.

Lagi 400 tempat, katanya, akan ditawarkan di sebuah bangunan prasekolah tersendiri yang juga akan dibina di Canberra Timur.

“Prasekolah merupakan cabaran besar di Sembawang. Kami asyik bina prasekolah baru, menyepadukan prasekolah baru dalam BTO, namun bekalannya tidak pernah cukup bagi memenuhi permintaan.

“Ramai keluarga muda yang berpindah ke kawasan ini jadi permintaannya sangat tinggi justeru senarai menunggu sentiasa ada,” ujar beliau.

Selain pembangunan baru untuk keluarga, Encik Ong turut memberi perkembangan terbaru tentang pembangunan lain yang bakal dijalankan di daerah Sembawang.

Antaranya ialah tiga laluan berbumbung tinggi untuk menghubungkan penduduk dari kawasan kediaman ke stesen MRT Sembawang dan Admiralty, selain kemungkinan pusat beli-belah baru dengan pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) – sistem kereta api rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia yang dijadual siap pada penghujung 2026.

Selain itu, penduduk Sembawang kini boleh mengambil bahagian dalam kegiatan riadah bersama keluarga dengan pembukaan kemudahan luar Forest Gym dan Canberra Cove di Bukit Canberra, yang dilancarkan pada 23 Mac.

Forest Gym merupakan balapan berhalangan dalam persekitaran luar pertama oleh ActiveSG yang menyediakan ruang bagi penggemar kegiatan lasak mencabar diri mereka secara fizikal.

Encik Ong, yang hadir bersama tiga lagi AP GRC Sembawang – Cik Mariam Jaafar,  Dr Lim Wee Kiak dan Cik Poh Li San – sempat mencabar diri mereka dengan memanjat jaring, mengimbangi diri di kayu balak dan bergayut dari satu ke satu bulatan besi.

Canberra Cove pula merupakan ruang mandi-manda buat seisi keluarga dan sesuai bagi kanak-kanak disebabkan airnya yang cetek.

Ketua ActiveSG SportSG, Encik Tan Hock Leong, berkata: “Dengan menyepadukan alam semula jadi bersama kecergasan, kemudahan ini menunjukkan komitmen kami untuk mewujudkan ruang inklusif di mana semua orang, tidak kira usia atau kebolehan, dapat mendakap gaya hidup aktif.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg