Penduduk kelompok Marine Parade seperti, Cik Rahmah Abdullah dan Cik Normah Maurad, kini boleh mengunjungi pasar Geylang Serai, pusat makanan di Haig Road dan poliklinik tanpa perlu berjalan jauh atau menukar bas.
Ini menyusuli perkhidmatan bas ulang-alik, WeCare, yang baru dilancarkan.
Bagi Cik Rahmah, yang telah menetap di Kembangan selama 32 tahun, perkhidmatan bas itu amat dialu-alukan kerana ia mengurangkan masa perjalanan dari satu kemudahan ke kemudahan yang lain.
“Kalau saya naik pengangkutan awam dari rumah saya yang berdekatan dengan Kelab Masyarakat Kampong Kembangan untuk ke pasar Geylang Serai, saya terpaksa jalan jauh untuk ke perhentian bas.
“Apabila saya berhenti dan turun dari bas, terpaksa jalan lagi sebelum saya akhirnya tiba di pasar.
“Namun, dengan adanya bas ulang-alik yang percuma ini, ia akan berhenti betul-betul di hadapan pasar, jadi tak penat sangat,” kongsi Cik Rahmah, 75 tahun.
Di bawah daya usaha itu, ia menyediakan tujuh laluan perkhidmatan bas ulang-alik.
Ini berdasarkan maklum balas yang diterima daripada penduduk daripada pelbagai sesi penglibatan, termasuk perbincangan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore.
Antara laluan yang bakal tersedia adalah laluan Kembangan-Chai Chee yang akan menghubungkan penduduk dari kawasan Kembangan seperti Cik Rahmah, untuk ke kawasan Eunos.
Selain penduduk di kawasan Kembangan dan Chai Chee, kelompok Marine Parade turut merangkumi penduduk di Braddell Heights, Joo Chiat, Geylang Serai, Marine Parade serta Mountbatten dan MacPherson.
Tempat mengambil penumpang bermula dari sebelum perhentian teksi di stesen MRT Kembangan, langsung ke perhentian seterusnya iaitu perhentian bas di Blok 24, Chai Chee Drive, Poliklinik Eunos, pasar Geylang Serai dan perhentian terakhir, tempat letak kereta di hadapan stesen MRT Eunos.
Menurut Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, penduduk di kelompok Marine Parade menetap di flat HDB dan rumah privet, yang mempunyai keperluan berbeza.
“Sebilangan besar daripada penduduk di kawasan ini adalah masyarakat Melayu/Islam kita yang mengalu-alukan kemudahan sebegini.
“Ada yang berkongsi bahawa walaupun sebenarnya Poliklinik Eunos terletak berdekatan dengan rumah mereka, contohnya di Eunos Village, jarak perhentian bas sedia ada agak jauh dan mereka mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi mereka.
“Dengan perkhidmatan bas ulang-alik ini, saya berharap ia akan menyediakan wadah bagi penduduk Marine Parade untuk bertemu dan menjalinkan hubungan bersama,” kata Encik Fahmi kepada Berita Harian (BH) semasa pelancaran perkhidmatan bas ulang-alik masyarakat seluruh kelompok pertama di Singapura pada 30 Jun.
Seorang lagi penduduk kelompok Marine Parade, Cik Normah Maurad, turut berkongsi bahawa perkhidmatan itu akan memudahkan perjalanan beliau untuk ke Singapore Post (SingPost) dan pusat makanan Haig Road.
“Sekarang apabila teman-teman saya ajak keluar makan di pusat makanan Haig Road, saya boleh naik bas ulang-alik yang mengikut laluan Geylang Serai, hanya dua perhentian sahaja.
“Perkhidmatan ini juga mudah untuk digunakan dan saya telah daftar bagi mendapatkan kad percuma di kelab masyarakat. Bas ulang-alik ini pun senang dilihat dari jauh,” ujar penduduk kawasan Ubi yang berusia 73 tahun itu.
Sebahagian tempat yang boleh dikunjungi melalui khidmat bas ulang-alik, WeCare
Stesen MRT
Bartley, Dakota, Eunos, Kembangan, Marine Terrace
Poliklinik
Geylang, Eunos
Pasar & pusat makanan
Pusat Makan Haig Road, Pasar Geylang Serai, Pusat Makanan Dunman
Tempat beli-belah
Pusat SingPost, Joo Chiat Kompleks, Marine Parade Central
“
“Sebilangan besar daripada penduduk di kawasan ini adalah masyarakat Melayu/Islam kita yang mengalu-alukan kemudahan sebegini. Ada yang berkongsi bahawa walaupun sebenarnya Poliklinik Eunos terletak berdekatan dengan rumah mereka, contohnya di Eunos Village, jarak perhentian bas sedia ada agak jauh dan mereka mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi mereka. Dengan perkhidmatan bas ulang-alik ini, saya berharap ia akan menyediakan wadah bagi penduduk Marine Parade untuk bertemu dan menjalinkan hubungan bersama.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg