Syarikat 3M Singapore dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East telah bekerjasama dalam usaha menyokong kesaksamaan dan keterangkuman lebih luas, sebagai satu susulan daya usaha Melakar Hala Tuju Singapura, atau Forward SG.
Dengan kerjasama Runninghour, sebuah inisiatif sukan inklusif yang menggalak penyepaduan individu berkeperluan khas melalui sukan, lebih 100 sukarelawan dan benefisiari berlari sejauh tiga hingga lima kilometer dalam acara 3M Run for Inclusion pada 11 Jun di Hab Sukan Singapura.
Benefisiari itu termasuk individu yang mengalami palsi serebrum, autisme, dan orang buta serta pekak.
Pengarah yang juga Ketua Serantau Hal Ehwal Pemerintah dan Pasaran 3M, Encik Jannik Termansen, turut berlari bersama benefisiari syarikat itu untuk menunjukkan sokongannya kepada mereka.
“3M percaya akan kepentingan menyumbang kembali kepada masyarakat dan memupuk budaya inklusif secara aktif.
“Acara 3M Run for Inclusion adalah satu cara baik dan praktikal untuk menyokong keterangkuman sosial, bersama pekerja 3M kami dan anggota masyarakat.
“Kami berterima kasih kepada CDC South East dan Runninghour atas kerjasama mereka dalam menjayakan acara bermakna ini,” kata Encik Termansen mengenai usaha 3M – sebuah syarikat pengeluar pelbagai produk seperti peralatan menulis dan produk kesihatan.
Turut hadir menyokong acara tersebut ialah Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
Beliau berkongsi kebanggaan CDC itu kerana dapat memainkan peranan sebagai sebagai ‘social broker’, atau perantara, yang menyatukan antara individu atau kumpulan yang tidak berhubung secara langsung.
“Acara sukan inklusif ini selaras dengan semangat Melakar Hala Tuju Singapura dalam memupuk masyarakat lebih kukuh dan harmoni di Singapura.
“Saya menyaksikan lebih 100 benefisiari dan sukarelawan bersemangat mengambil bahagian hari ini dan ia merupakan bukti kukuh bahawa setiap orang mempunyai tempat mereka dan dapat menyumbang secara bermakna.
“Saya menggalak lebih banyak syarikat korporat agar menyertai kami dalam inisiatif berkesan ini,” tambah Encik Fahmi.
Sepanjang 10 tahun, CDC South East dan 3M telah bekerjasama dalam melancarkan beberapa projek.
Ia termasuk 3M Moves @ South East, iaitu 3M menyediakan alat tulis jenama 3M bernilai lebih $102,000 khusus buat 3,000 pelajar kurang bernasib baik; dan Cabaran Hijau 3M @ South East, dengan 3M menderma lebih $102,000 produknya kepada 3,000 keluarga rentan di kawasan CDC South East.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg