Penduduk Punggol, Cik Pang dan suaminya, sedang berjalan ke arah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru mereka di Northshore Drive awal September apabila mereka terserempak sekumpulan 12 monyet di laluan penghubung taman berhampiran.
Dua daripada haiwan itu, yang kelihatan lebih ganas, kemudian cuba merampas minuman teh limau yang dipegangnya.
Ejen hartanah berusia 25 tahun itu, yang enggan memberikan nama penuhnya, dapat melarikan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, beliau dan penduduk lain bagi projek BTO Punggol Point Crown, yang siap baru-baru ini, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa mereka semakin bimbang dengan kehadiran monyet di estet itu.
Penduduk yang mula mengambil kunci rumah mereka sejak April berkata mereka telah melihat berpuluh-puluh monyet jenis ekor panjang di sekitar estet perumahan tersebut.
Video yang disiarkan dalam kumpulan sembang penduduk menunjukkan kumpulan monyet itu memanjat blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan makan di kolong blok.
Kejadian bertembung dengan monyet itu mendorong beberapa penduduk memasang jaring di rumah mereka, ekoran bimbang haiwan tersebut akan memasuki flat mereka pula.
“Tinggal tunggu masa sahaja sebelum monyet-monyet itu cuba memanjat masuk ke rumah orang untuk mencari makanan, terutama di tingkat bawah,” kata Cik Pang, yang akan berpindah ke flat empat biliknya pada Oktober sebaik kerja pengubahsuaian selesai.
Apabila ditanya, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata pihaknya menyedari kehadiran sekumpulan monyet berekor panjang di sekitar Punggol Northshore.
Ia telah menerima 38 laporan mengenai haiwan itu setakat 18 September.
Semasa ST melawat Punggol Point Crown pada 17 September, kira-kira sedozen monyet kelihatan memanjat adangan pembinaan sebuah taman permainan yang belum siap.
Ini bukan kali pertama kumpulan monyet itu menimbulkan masalah di Punggol.
Pada Julai 2023, ST melaporkan bahawa haiwan itu telah mencuri perkakas sajian dan alas meja dari restoran di The Punggol Settlement.
Beberapa penduduk mengambil langkah untuk menghalang haiwan itu daripada memasuki rumah mereka.
Antaranya ialah Cik Pang, yang telah memasang tingkap di ruang membasuh dan menyidai pakaian di flatnya, selain merancang memasang jaring keluli tahan karat.
Menurut Pengarah Pengurusan Hidupan Liar NParks, Encik How Choon Beng, agensi itu bertindak terhadap maklum balas dengan menjalankan pengawalan monyet – membiasakan haiwan itu dari kawasan perumahan dan ke arah kawasan hutan – untuk meminimumkan pencerobohan.
Langkah lain yang diambil NParks termasuk memastikan pembuangan sisa yang betul, dan mengalihkan pokok buah-buahan dari kawasan yang sering dikunjungi manusia, kata Encik How.
Agensi itu juga sedang berusaha menjalankan pensterilan sebagai langkah mengawal populasi jangka panjang.
“Kami benar-benar menggesa orang ramai supaya tidak memberi makan kepada monyet kerana ia mengubah tingkah lakunya yang semula jadi untuk mencari makan dan membiasakannya dengan kehadiran manusia dan bergantung pada manusia sebagai sumber makanan yang mudah,” katanya.
Nasihat NParks
– Jika monyet menghampiri anda di tempat terbuka, bertenang dan berdiam diri, jangan lakukan sebarang pergerakan mengejut atau merenung ke arahnya.
– Pandang jauh dan berundur perlahan-lahan. Jauhi kawasan itu sehingga haiwan itu beredar.
– Monyet mengenali beg plastik sebagai petanda makanan dan akan cuba merampasnya apabila mereka melihatnya. Jauhkan beg plastik daripada pandangan haiwan itu.
– Hubungi Pusat Tindak Balas Haiwan 24 jam di 1800-476-1600 untuk isu berkaitan hidupan liar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg