Selama hampir setahun, penduduk blok HDB di Clementi telah berhadapan masalah dengan gangguan malam yang aneh — seorang lelaki menyalak “seperti anjing”.
Encik Huang, seorang jurusolek berusia 47 tahun dan penduduk yang sudah lama menetap di Blok 731 Clementi West Street 2, memberitahu akhbar Shin Min bahawa ia bermula dengan bunyi batuk dan jeritan kuat, namun bertukar menjadi ‘menyalak’ setiap malam.
“Kadang-kala, bunyinya seperti anjing menyalak selama beberapa minit,” kata Encik Huang, yang berkongsi rakaman audio bunyi aneh itu yang berterusan, berlangsung selama lima minit.
“Kalau tidak, orang itu menjerit di tengah malam, membuatkan saya tidak boleh tidur.”
Ibunya yang berusia 80 tahun, Cik Zhu, paling teruk terjejas akibat gangguan malam itu.
“Saya tidur di bilik tidur utama tetapi tidak tahan dengan bunyi bising itu. Saya terpaksa berpindah ke ruang tamu tetapi di sana pun, tidur saya terjejas,” katanya sambil menambah bahawa kekurangan rehat telah mula menjejas kesihatannya.
Seorang lagi jiran, yang enggan dikenali, berkata bunyi bising itu berterusan selama hampir setahun, memaksa beliau membelanjakan hampir $2,000 untuk masang tingkap kalis bunyi.
“Saya juga membeli langsir tebal tetapi ia tidak banyak membantu. Bunyi bising itu masih berterusan,” keluhnya.
Cik Primanti, seorang pembantu rumah berusia 39 tahun, berkata bunyi aneh itu berlaku bukan sahaja pada waktu malam, tetapi juga pada sebelah petang.
Penduduk lain menyuarakan kekecewaan yang sama, dengan salah seorang daripada mereka berkata:
“Anak perempuan saya menghadapi masalah menumpukan perhatian di sekolah kerana dia tidak dapat berehat secukupnya pada waktu malam.”
Penduduk mengenal pasti punca bunyi bising itu adalah seorang lelaki pertengahan usia yang dilaporkan tinggal bersama ibunya.
Menurut Encik Huang, salah seorang jiran pernah mendekati ibu lelaki itu untuk membincangkan isu tersebut tetapi beliau berkata anaknya tidak mahu mendapatkan bantuan perubatan.
Apabila akhbar itu melawat flat mereka, tiada siapa yang membuka pintu.
Encik Huang telah melaporkan isu itu kepada pihak berkuasa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg