Lorong koridor di blok flat sewa di Holland Close sedikit gelap. Mungkin kerana jarak antara pintu rumah agak rapat. Beberapa kerusi roda terlihat diikat ke tiang dekat pintu.
Cik Kamsiah Othman, 70 tahun, sudah tinggal di flat sewa itu selama 23 tahun bersama suami tersayang. Namun pada 2023, suaminya meninggal dunia.
Kehilangan teman hidup yang sudah dikenalinya sejak kecil adalah kehilangan terpahit dan terbesar buat Cik Kamsiah.
“Kami sebenarnya jiran sebelah rumah semasa kami membesar di rumah berek di Everton Park. Saya tidak sukakan beliau dulu sebab mukanya garang. Tapi sudah jodoh,” kata Cik Kamsiah.
“Kami bertunang sejak usia saya 15 tahun dan berkahwin pada usia 17 tahun. Pada masa itu beliau bekerja sebagai kelasi kapal dan saya pula sudah berhenti sekolah untuk membantu ibu bapa saya menjaga adik-adik…” tambah Cik Kamsiah yang bersekolah hingga darjah enam.
Hidup susah bukanlah perkara baru untuk Cik Kamsiah yang telah banyak berkorban untuk keluarganya yang hidup sederhana.
Mengimbau masa lampaunya, beliau berkongsi saat terpaksa berlari pulang ke rumah dari sekolah, hanya untuk berjimat wang.
Hanya air sejuk dari paip sahaja menjadi penyejuk tekak yang kehausan selepas pulang dari sekolah kerana belum ada peti ais pada waktu itu.
“Saya yang sulung. Selepas saya, ada lima lagi adik-beradik, jadi saya terpaksa berhenti sekolah untuk memberi laluan kepada adik-adik.
“Kami orang susah, saya ingat selepas pulang dari sekolah dulu, saya terpaksa berlari pulang, kosongkan beg sekolah supaya adik pula dapat menggunakan beg yang sama untuk sesi sekolah petang,” kata Cik Kamsiah.
Cik Kamsiah kini hidup bersendirian, menghidapi kegagalan ginjal dan memerlukan dialisis tiga kali seminggu.
Beliau juga pernah menghidap barah rahim dan pernah melalui pembedahan pada 2016.
Ibu tiga anak itu juga kehilangan anak keduanya pada tahun yang sama akibat barah.
“Tahun itu terlalu pahit untuk saya. Setelah melalui pembedahan, saya dapat tahu, suami saya juga menghidap barah limfoma, dan kemudian, anak saya pula meninggal dunia akibat barah paru-paru yang cepat merebak dan meragut nyawanya dalam masa enam bulan setelah didiagnos,” ujar Cik Kamsiah.
Dengan bantuan kewangan daripada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Dana Tabung Amal Aidilfitri (TAA Trust Fund) dan bantuan kewangan lain, Cik Kamsiah mendapatkan seorang pembantu rumah untuk membantunya dalam keperluan seharian.
“Kaki saya tak kuat. Saya cuma boleh berjalan perlahan-lahan di dalam rumah. Kalau keluar, saya perlukan kerusi roda. Sebelum pembantu rumah datang, saya terpaksa uruskan diri dengan menggunakan alat peranti mobiliti,” ujar wanita yang kelihatan lesu itu.
“Saya dan suami saya sangat rapat dan beliau orang yang sangat penyayang. Saya rindu bercakap-cakap dengannya.
“Kini saya seorang diri, saya tidak mahu ganggu anak-anak saya kerana mereka juga ada kehidupan sendiri, masalah sendiri. Lagipun arwah suami saya berpesan supaya saya tinggal sendiri dan jangan menyusahkan anak-anak.
“Ramai orang fikir beliau seorang yang garang dan tegas, sebenarnya dalam hatinya ada taman,” kata Cik Kamsiah tersenyum mengingat satu-satunya cinta hatinya itu.
Sakit yang dialaminya tidak sepedih hatinya yang masih rindukan arwah suaminya, Allahyarham Sulaiman Abdul Rahman, yang merupakan penguat semangatnya.
“Kini saya hanya dapat bercakap dengan Tuhan untuk mendengar isi hati saya yang kekosongan,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg