Beberapa penduduk telah dipindahkan daripada sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Sengkang selepas kebakaran tercetus di dapur sebuah rumah flat pada awal petang 18 Ogos.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), yang dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 408B Fernvale Road, Sengkang, pada sekitar 5 petang, berkata kebakaran itu melibatkan kandungan dapur di sebuah rumah pangsa di tingkat enam.

Sebaik tiba, pegawai SCDF terpaksa memecah masuk ke dalam rumah flat itu, yang tidak berpenghuni pada masa kejadian.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan menggunakan jet air dan tiada kecederaan dilaporkan, kata SCDF, sambil menambah bahawa sekitar 10 orang telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Punca kebakaran itu masih dalam siasatan.

Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Encik Victor Lye, yang berkhidmat untuk bahagian Buangkok-Fernvale South, berkata dalam satu hantaran Facebook pada lewat 18 Ogos bahawa beliau dimaklumkan mengenai insiden itu pada waktu petang ketika dalam perjalanan pulang ke Singapura daripada satu lawatan kerja di Kuala Lumpur.

“Panggilan kepada SCDF dibuat oleh seorang jiran apabila pembantu rumah jiran sebelah datang mengetuk pintu untuk meminta bantuan kerana terdapat asap keluar dari sebuah unit satu tingkat di bawah. 

SCDF terpaksa memecah masuk ke unit tersebut di mana asap sedang berkepul keluar. Tiada siapa berada di rumah ketika itu. Penghuni rumah dua tingkat di atas dan satu tingkat di bawah unit yang terjejas telah dipindahkan. Mujur, tiada sesiapa cedera dan hanya terdapat kerosakan sedikit pada dapur.”

Penduduk rumah flat yang terbakar itu memberitahu Encik Lye, yang melawat unit tersebut, bahawa mereka percaya litar pintas elektrik pada satu soket kuasa di dapur telah menyebabkan kebakaran itu.

Satu gambar dapur yang terbakar, yang dimuat naik di Facebook, menunjukkan dinding yang menghitam dan peralatan dapur yang cacat bentuknya. Serpihan bersepah di atas kaunter dapur, manakala jelaga kelihatan di lantai. 

Encik Lye berkata beliau menjalankan semakan pascatindakan (AAR) bagi insiden itu bersama pengurus majlis perbandaran dan pengerusi Rangkaian Penduduk.

“Kami mendapati protokol dalaman untuk pengurusan kecemasan berfungsi, tetapi akan memperbaikinya untuk penambahbaikan,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada pengurus majlis perbandaran, pekerja pembersihan dan penduduk atas bantuan mereka sepanjang insiden itu.

Encik Lye mengingatkan orang ramai supaya memastikan ahli keluarga dan pembantu rumah mereka mengetahui nombor kecemasan SCDF, serta bila untuk menghubungi mereka bagi mendapatkan bantuan.