Kebakaran di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Jurong East pada awal pagi 16 Ogos menyebabkan seorang maut dan 50 yang lain dipindahkan.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata di Facebook pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 339 Jurong East Avenue 1 pada 3.55 pagi.

Apabila SCDF tiba, asap hitam dilihat keluar dari sebuah unit di tingkat tiga. Kebakaran melibatkan barangan di ruang tamu flat itu.

Anggota bomba memecah masuk dan menemui seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di ruang tamu.

Polis berkata lelaki berusia 67 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang paramedik SCDF.

Polis tidak mengesyaki unsur jenayah dan siasatan masih dijalankan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Theng, 40 tahun, berkata beliau bergegas keluar dari rumahnya di tingkat empat pada awal pagi selepas dimaklumkan mengenai kebakaran oleh jirannya di tingkat tiga, tingkat yang sama dengan flat yang terbakar.

Beliau berkata beliau terdengar kira-kira tiga letupan kecil sebelum meninggalkan flatnya, sambil menambah kawasan sekitar flat yang terbakar telah dihadang.

Penduduk di tingkat lima, sembilan dan 12 berkata mereka tidur semasa kejadian dan hanya mengetahui mengenai kebakaran itu pada waktu pagi.

Seorang penduduk tingkat 12 yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Tan, 70 tahun, berkata suaminya percaya flat yang terbakar itu unit sewa, namun mereka tidak mengenali mangsa.

Anggota Parlimen (AP) Jurong Central, Encik Xie Yao Quan, yang melawat penduduk terjejas, berkata seorang penduduk tingkat lima menghubungi SCDF dan memaklumkan jiran lain.

Dalam hantaran Facebook pada sekitar 7 malam, Encik Xie meluahkan rasa amat sedih dengan kematian lelaki berusia 67 tahun itu.

“Jiran mengenangnya sebagai seorang yang baik dan prihatin. Semoga beliau disemadikan dengan tenang,” tulisnya.

Beliau berkata penduduk di tingkat terjejas masih terkejut, namun selamat dan “berada dalam keadaan baik”.

Encik Xie turut berterima kasih kepada seorang penduduk yang memaklumkan jiran dari rumah ke rumah tentang kebakaran dan meminta mereka berpindah.

“Tindakan pantas dan keberaniannya telah menyelamatkan nyawa. Saya gembira SCDF akan mengiktiraf dan menghargai tindakan serta semangatnya. Penduduk kita terhutang budi kepadanya,” katanya.

Ini sekurang-kurangnya kebakaran maut keempat yang dilaporkan melibatkan warga emas di flat HDB sejak 28 Julai.

Kebakaran di flat Blok 39 Circuit Road pada pagi 28 Julai mengorbankan seorang lelaki berusia 70 tahun.

Pada 31 Julai, kebakaran di flat tingkat lapan Blok 309 Clementi Avenue 4 mengorbankan seorang lelaki berusia 65 tahun dan mencederakan dua anggota bomba.

Pada 3 Ogos, kebakaran di unit tingkat lima Blok 684 Race Course Road, menyebabkan lima orang berusia antara 55 dengan 88 tahun dibawa ke hospital. Lelaki berusia 88 tahun itu meninggal dunia pada 5 Ogos.