Penduduk flat sewa Kampong Chai Chee nikmati iftar, terima baju kurung terpakai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk flat sewa Kampong Chai Chee nikmati iftar, terima baju kurung terpakai

Mar 2, 2026 | 1:55 PM

Penduduk flat sewa Kampong Chai Chee nikmati iftar, terima baju kurung terpakai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
MAEC, Kampong Chai Chee, iftar, habuan, buka puasa
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How (kanan) mengagihkan pek habuan berisi keperluan makanan asas kepada penerima sumbangan, Cik Rida Ar Rummi, sempena ‘Acara Buka Puasa Kampong Chai Chee (KCC)’. Bersama mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bagi acara tersebut, Encik Mohammad Dzarrin Alidin (kiri). - Foto MAEC KELAB MASYARAKAT KCC

Sekitar 200 penduduk, sebahagian besarnya masyarakat Melayu/Islam, yang menetap di lapan flat sewa di sekitar kawasan Kampong Chai Chee (KCC), dijamu juadah iftar dan dapat memilih baju kurung terpakai secara percuma sempena ‘Acara Buka Puasa KCC’ pada 28 Februari.

Ini adalah kali pertama penduduk berhimpun bersama sebegitu dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) yang baru, kata jurucakap Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee, selaku penganjur.

Kampong Chai Chee merupakan salah satu daerah yang diserap masuk ke GRC East Coast dari GRC Marine Parade, menyusuli penyusunan semula sempadan kawasan undi bagi Pilihan Raya Umum 2025.

Menurut Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, acara iftar sebegitu “menyatukan orang ramai daripada pelbagai latar belakang”.

Beliau, yang juga Penasihat Akar Umbi kepada Pertubuhan Akar Umbi GRC East Coast, hadir selaku tetamu kehormat bagi acara yang diadakan di City Sprouts @ Bedok itu.

Mengulas lanjut kepada Berita Harian (BH) sebelum menyertai hadirin beriftar, Encik Tan berkata:

“Semasa kita duduk (semeja bersama), berbuka dan berkongsi kisah sesama kita, ia membina kepercayaan dan persefahaman.

“Keharmonian diperkukuhkan melalui detik bersama seperti ini, yang berasaskan nilai saling hormat-menghormati,” ujarnya.

Mentelah bulan Ramadan, kata beliau, mengingatkan masyarakat agar kekal prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik atau yang sedang melalui kesukaran.

“Oleh demikian, sifat belas ihsan dan menyumbang kembali ini “mencerminkan masyarakat penyayang yang kita ingin terapkan di Singapura”, tambahnya.

Sifat masyarakat penyayang ini jelas terpancar dalam acara itu dengan penglibatan rakan kongsi dan sukarelawan pelbagai bangsa dan latar belakang, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bagi acara itu, Encik Mohammad Dzarrin Alidin.

Beliau, yang juga Setiausaha MAEC Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee, berkata sebahagian besar penduduk yang hadir merupakan warga emas dan keluarga muda yang memerlukan bantuan.

Acara seperti itu salah satu cara untuk berinteraksi dengan mereka dan menjalin ukhuwah antara satu sama lain, katanya.

“Acara ini melibatkan kerjasama merentas pelbagai generasi – sama ada yang muda mahupun yang sudah lanjut usia.

“Semua yang hadir hari ini datang dengan niat yang satu, iaitu saling bantu-membantu antara satu sama lain.

“Jadi, ini sesuatu yang sangat menyentuh hati saya,” kata beliau.

Salah satu rakan kongsi acara itu merupakan kumpulan sukarelawan belia, MudaSG, yang mengumpul dan menyediakan baju kurung terpakai kepada penduduk yang hadir.

Menukil jurucakap MudaSG, kumpulan itu berjaya mengumpulkan sekitar 4,000 baju kurung terpakai dan akan mengagihkannya ke empat lokasi – salah satunya di Kampong Chai Chee sempena ‘Acara Buka Puasa KCC’.

Salah seorang penduduk yang hadir, Cik Rida Ar Rummi, amat terharu dengan daya usaha yang dilakukan kerana nasib golongan sepertinya masih tidak dilupakan dan mendapat tempat dalam masyarakat.

Ibu tunggal empat orang anak lelaki berusia 58 tahun itu berkata: “Usaha sedemikian (seperti acara iftar ini) harus diteruskan agar ia boleh dijadikan contoh.

“Bukan sahaja ia dapat merapatkan jalinan antara penduduk, ia turut menyerlahkan semangat ingin menyumbang kembali,” katanya.

Selain juadah berbuka dan pemilihan baju kurung terpakai, penduduk turut diberikan pek habuan berisi keperluan makanan asas lebih sihat sumbangan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg