Bilangan penduduk Singapura meningkat 1.2 peratus dalam tempoh setahun, berbanding Jun 2024, dengan 6.11 juta penduduk menetap di negara ini sehingga Jun 2025.
Peningkatan itu terutamanya didorong oleh pertumbuhan bilangan penduduk bukan pemastautin seperti pemegang permit kerja dalam sektor pembinaan dan pembantu rumah, kata Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD).
NPTD telah menerbitkan laporan tahunan Sorotan Penduduk 2025 setebal 31 halaman pada 29 September.
Laporan itu turut menunjukkan penduduk negara ini terus menua dengan pesat, manakala lebih ramai warga Singapura kekal bujang.
Namun terdapat sedikit berita baik berkaitan kadar kelahiran.
Pada 2024, terdapat 29,237 kelahiran warga Singapura, merujuk kepada bayi yang sekurang-kurangnya ibu atau bapanya merupakan warga Singapura.
Bilangan ini meningkat 1.2 peratus berbanding 28,877 bayi sedemikian yang lahir pada 2023.
Jumlah kadar kesuburan (TFR) penduduk Singapura – yang mencapai paras terendah pada 2023 – kekal pada 0.97 sehingga Jun 2025.
Angka ini merujuk kepada purata bilangan bayi yang dijangka dilahirkan oleh setiap wanita sepanjang tempoh kesuburannya.
Sehingga Jun 2025, Singapura mempunyai 3.66 juta warganegara, meningkat sedikit daripada 3.64 juta yang dilaporkan pada Jun 2024.
Bilangan Penduduk Tetap (PR) kekal tidak berubah pada 0.54 juta.
Baki 1.91 juta penduduk terdiri daripada bukan pemastautin – dengan sekitar dua pertiga daripada kumpulan ini merupakan tenaga kerja asing, manakala sebilangan besar bakinya terdiri daripada pembantu rumah migran, tanggungan dan pelajar.
Dalam kalangan warganegara baru pada 2024, hampir dua daripada tiga penduduk atau 64.3 peratus, berasal dari Asia Tenggara.
Hampir satu daripada tiga penduduk, atau 32.8 peratus, pula berasal daripada negara Asia lain, manakala kurang 3 peratus berasal dari kawasan lain.
Semua golongan dewasa dalam kumpulan warganegara baru merupakan PR, kerana seseorang individu perlu memperoleh status PR sebelum mereka boleh memohon kewarganegaraan Singapura, menurut NPTD.
Sebilangan besar PR berumur antara 25 dengan 59 tahun, lapor The Straits Times (ST).
Kadar tahunan pertumbuhan penduduk Singapura sejak 2020 ialah 1.5 peratus, berbanding 0.5 peratus dalam tempoh 2015 hingga 2020.
Ini terutamanya disebabkan peningkatan bilangan pemegang permit kerja dalam sektor pembinaan bagi menyokong projek pembinaan prasarana utama seperti Terminal 5 Changi, serta usaha mempergiatkan pembekalan perumahan, menurut NPTD.
Penduduk bukan pemastautin Singapura meningkat 2.7 peratus dari Jun 2024 kepada 1.91 juta pada Jun 2025.
Penambahan seramai 34,000 pekerja asing dilaporkan antara Jun 2024 dengan Jun 2025, berbanding 39,000 antara Jun 2023 dengan Jun 2024.
Umur median warganegara meningkat kepada 43.7 tahun, berbanding 43.4 tahun pada Jun 2024.
Sementara itu, bilangan warganegara berumur 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 19.9 peratus pada 2024 kepada 20.7 peratus, menurut laporan terkini.
Kian berkurangan pula warga Singapura yang mendirikan rumah tangga pada 2024.
Terdapat 22,955 perkahwinan warganegara pada 2024, iaitu 5.7 peratus lebih rendah berbanding 24,355 perkahwinan sedemikian pada 2023.
Perkahwinan warganegara merujuk kepada perkahwinan yang melibatkan sekurang-kurangnya seorang warga Singapura. Dalam tempoh lebih panjang, purata bilangan perkahwinan warganegara turut menurun setiap tahun.
Antara 2020 dengan 2024, terdapat kira-kira 23,000 perkahwinan setahun, berbanding 23,600 setahun dalam tempoh antara 2015 dengan 2019.
Warganegara di sini juga didapati mendirikan rumah tangga pada usia lebih lewat – umur median perkahwinan pertama bagi lelaki ialah 30.8 tahun pada 2024, berbanding 30.1 tahun pada 2014. Bagi wanita, ia meningkat kepada 30.1 tahun, berbanding 27.9 tahun pada 2014.
Laporan itu turut menyatakan bilangan golongan bujang meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini – antara 2019 dengan 2024, peratusan bujang meningkat dalam hampir semua kumpulan umur bagi lelaki dan wanita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg