Seramai 21 anggota jemaah umrah dari Singapura telah terkandas apabila penerbangan mereka dari Madinah telah dibatalkan pada 10 Oktober, susulan serangan yang berlaku di lapangan terbang Riyadh.

Penerbangan yang membawa jemaah umrah daripada agensi Jalaluddin Travel & Services (JTS) yang sepatutnya berangkat pada 10 Oktober itu telah ditundakan ke 12 Oktober dan ditukar untuk berangkat dari Jeddah.

Namun, pada 11 Oktober pula, syarikat penerbangan Emirates sekali lagi telah membatalkan penerbangan pulang tersebut.

Mujur, kepulangan mereka tetap dapat diselenggarakan melalui penerbangan alternatif dengan syarikat penerbangan, Qatar Airways, dari Jeddah melalui Doha, Qatar.

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Pengarah JTS, Cik Noor Faizah Mustaffa, berkata kesemua 21 anggota jemaah tersebut terpaksa menetap selama dua malam lagi di Madinah sebelum dapat berangkat ke Jeddah.

Menurut beliau, mereka telah selamat menaiki penerbangan dari Doha dan kini dalam perjalanan ke Singapura, dan dianggarkan tiba pada 9.15 malam, 12 Oktober.

Walaupun perjalanan bagi penerbangan itu telah berubah, beliau berkata tempoh penerbangannya tidak mempunyai perbezaan yang ketara.

“Perkembangan situasi ini (serangan di Riyadh) telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan jemaah mengenai keselamatan dan kepastian jadual penerbangan untuk pulang ke Singapura.

“Jemaah risau tentang bila mereka dapat pulang serta kesannya terhadap urusan kerja dan keluarga.

“Kami memahami kebimbangan ini dan kami pun telah berusaha memberikan maklumat yang telah disahkan secepat mungkin kepada jemaah serta waris mereka berkenaan perkembangan penerbangan baharu.

“Alhamdulillah susulan pembatalan penerbangan itu, kami telah dapatkan penerbangan alternatif dari Jeddah melalui Doha, Qatar.

“Jemaah kini dalam perjalanan ke Singapura dan dijangka tiba pada 9.15 malam ini (12 Oktober),” kata Cik Faizah yang juga merupakan Penolong Setiausaha Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas).

Menurut beliau, buat masa ini, Amtas tidak mempunyai sebarang panduan nasihat buat ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) berikutan situasi di Riyadh.

Namun, mereka akan menyelaraskan maklumat penting untuk dikongsikan kepada GSA agar setiap ejen dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat.

Maklumat itu termasuklah laporan tentang ruangan udara atau penutupannya.

Pada 10 Oktober, satu serangan oleh kumpulan pemberontak Houthi telah dilancarkan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh dan menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan lebih 300 cedera.

Pada 11 Oktober pula, lapangan terbang itu telah sekali lagi diserang dan telah menyebabkan seorang warga Pakistan terbunuh dan 11 lagi cedera.

Serangan Houthi terhadap Riyadh yang telah dilancarkan sejak 8 Oktober itu telah menyebabkan gangguan penerbangan di ibu kota Arab Saudi itu.

Di tengah-tengah ancaman keselamatan di Timur Tengah itu, satu lagi rombongan jemaah JTS dijadualkan akan berangkat untuk menunaikan ibadah umrah pada 15 Oktober melalui Qatar Airways.

“Jemaah seterusnya akan berangkat ke Madinah melalui Qatar Airways pada 15 Oktober.

“Di JTS, kami tidak ada pakej yang mendarat di Riyadh.

“Buat masa sekarang, sebarang perubahan terhadap perjalanan umrah itu akan bergantung pada keadaan semasa dan status penerbangan yang akan dinaiki.

“Jika perlu, jadual atau laluan penerbangan akan disesuaikan dengan mengutamakan keselamatan dan kebajikan jemaah.

“Selain itu, antara langkah yang akan kami ambil ialah menyemak nasihat rasmi, mengesahkan status penerbangan dan menyediakan pelan alternatif.

“Namun, buat masa ini, tidak ada pembatalan penerbangan yang dikenakan bagi perjalanan umrah yang akan datang,” jelas Cik Faizah.

Satu lagi GSA yang akan membawa rombongan ke umrah dalam masa terdekat ialah Shahidah Travel and Tours, yang dijadualkan berangkat pada 22 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif Shahidah Travel and Tours, Encik Ayoob Angullia, berkata agensi itu sedang menunggu nasihat lanjut daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA) sama ada perjalanan tersebut dapat diteruskan.

Menurut beliau, setakat ini, tiada seorang pun dalam kalangan jemaah yang menarik diri daripada perjalanan umrah tersebut, dan penerbangan masih beroperasi seperti biasa.

Encik Ayoob berkata agensi itu akan menuruti nasihat MFA dan mengutamakan keselamatan para jemaah dalam menentukan sama ada perjalanan tersebut dapat diteruskan.

Agensi Shahidah Travel & Tours akan membawa rombongan umrah dan dijadualkan berangkat pada 22 Oktober. Menurut Pegawai Eksekutif Shahidah Travel and Tours, Encik Ayoob Angullia, agensi itu sedang menunggu nasihat lanjut daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengenai sama ada perjalanan tersebut dapat diteruskan. Namun, setakat ini, tiada seorang pun dalam kalangan jemaah yang menarik diri daripada perjalanan umrah tersebut, dan penerbangan masih beroperasi seperti biasa.
Agensi Shahidah Travel & Tours akan membawa rombongan umrah dan dijadualkan berangkat pada 22 Oktober. Menurut Pegawai Eksekutif Shahidah Travel and Tours, Encik Ayoob Angullia, agensi itu sedang menunggu nasihat lanjut daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengenai sama ada perjalanan tersebut dapat diteruskan. Namun, setakat ini, tiada seorang pun dalam kalangan jemaah yang menarik diri daripada perjalanan umrah tersebut, dan penerbangan masih beroperasi seperti biasa. - Foto SHAHIDAH TRAVEL & TOURS

Bagi Halijah Travels pula, seramai 18 anggota jemaah kini sedang berada di Madinah bagi menunaikan ibadah umrah dan dijadualkan pulang ke Singapura pada 21 Oktober.

Menurut Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, tiada sebarang masalah atau kerisauan yang timbul dalam kalangan jemaah susulan serangan di Riyadh itu.

Walaupun begitu, beliau akan tetap memantau sebarang pengumuman daripada syarikat penerbangan untuk memastikan kelancaran perjalanan pulang bagi jemaah.

“Buat masa ini, tiada sebarang masalah atau rasa panik dalam kalangan jemaah berkenaan kejadian di Riyadh.

“Malah, Makkah atau Madinah terletak agak jauh dari Riyadh, jadi tidak begitu terjejas.

“Namun, pihak kami akan terus memantau sebarang pengumuman daripada pihak penerbangan jika ada sebarang pembatalan,” jelas Encik Haffidz.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti