Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerbangan Scoot dibatal, 43 anggota jemaah haji S’pura kandas di Saudi

Jemaah Halijah Travels sepatutnya berlepas dari Jeddah pada malam 23 Jun, tiba di S’pura pada 24 Jun
Jun 23, 2025 | 4:14 PM
Scoot, jemaah haji, Singapura, terkandas
Scoot berkata penerbangan TR597 dari Jeddah, Arab Saudi ke Singapura pada 9.50 malam waktu tempatan bagi 23 Jun telah dibatalkan “disebabkan pertimbangan operasi”, menyebabkan 43 anggota jemaah haji Singapura terkandas di sana. - Foto fail

Dua penerbangan Scoot dibatal

Sekumpulan 43 anggota jemaah haji yang dijadual pulang ke Singapura pada 24 Jun kini terkandas di Madinah, Arab Saudi selepas penerbangan mereka dibatalkan, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Jemaah haji daripada Halijah Travels Pte Ltd itu dijadual menaiki penerbangan Scoot TR597 pada malam 23 Jun di Jeddah.

Penerbangan tersebut dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi pada tengah hari 24 Jun.

Namun penerbangan tersebut dibatalkan sebelum mereka berangkat ke Jeddah.

Ketika dihubungi, jurucakap Scoot memberitahu Berita Harian (BH) penerbangan TR597 dari Jeddah ke Singapura pada 9.50 malam waktu tempatan, 23 Jun telah dibatalkan “disebabkan pertimbangan operasi”.

Satu lagi penerbangan, TR596, dari Singapura ke Jeddah pada 4.05 petang, 23 Jun turut dibatalkan, kata jurucakap itu.

Semasa dihubungi BH, Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata kesemua jemaah yang terjejas itu dalam keadaan baik dan mereka akan tinggal satu malam lagi di Madinah, sementara menanti penerbangan baru.

“Halijah Travels sedang bekerjasama dengan Scoot untuk mengaturkan penerbangan bagi membawa pulang jemaah ke Singapura esok (24 Jun) dari Jeddah.

“Butiran lanjut tidak dapat dikongsi pada masa ini kerana ia masih disahkan,” kata beliau.

Scoot berkata ia sedang membantu untuk menempatkan semula penumpang yang terjejas ke dalam penerbangan berikutnya, jika sedia ada.

Secara alternatif, penumpang juga boleh memohon pembayaran balik penuh sekiranya mereka memilih untuk tidak meneruskan perjalanan.

“Scoot memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

“Keselamatan pelanggan dan kru adalah keutamaan kami.

“Kami akan terus memantau keadaan dan akan menyesuaikan jadual penerbangan kami, jika perlu,” kata jurucakap syarikat penerbangan itu.

Menjawab pertanyaan BH, Muis berkata Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) sedang memantau keadaan secara dekat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan untuk menangani isu itu.

“Kesejahteraan dan keselamatan jemaah adalah keutamaan kami dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan mereka dijaga semasa tempoh ini.

“Maklumat terkini akan diberikan sedang lebih banyak maklumat diperoleh,” kata Muis.

Perjalanan tergendala itu merupakan yang terkini dalam siri pembatalan penerbangan yang berlaku sejak beberapa hari lalu, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Timur Tengah berikutan konflik Israel-Iran.

Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) membatalkan dua penerbangan antara Singapura dengan Dubai pada 22 Jun, selepas penilaian keselamatan terhadap keadaan di Timur Tengah.

Muis berkata lagi 174 anggota jemaah – kumpulan jemaah haji yang terakhir pulang ke Singapura – tidak termasuk 43 anggota jemaah yang terjejas itu, dijadual kembali ke Singapura pada 25 Jun dengan menaiki penerbangan Saudia Airlines.

Antara agensi yang jemaahnya akan pulang pada 25 Jun itu ialah Hamidah Travel & Tours Pte Ltd.

Pengarahnya, Encik Badruzzaman Abdul Majid, berkata pihaknya telah berhubung dengan Saudia Airlines dan setakat ini, tiada berita tentang pembatalan penerbangan.

Saudia Airlines telah mengesahkan bahawa tiada penerbangan mereka yang dibatalkan. – Laporan tambahan Batrisyia Baharim, Siti Hajar Zainuddin

“Kesejahteraan dan keselamatan jemaah adalah keutamaan kami dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan mereka dijaga semasa tempoh ini. Maklumat terkini akan diberikan sedang lebih banyak maklumat diperoleh.”
Kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg