Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenerima bantuan AMP daripada aliran Normal (Teknikal) ke menara gading SUTD
Berkat kegigihan, tumpuan akademik, sokongan padu keluarga dan AMP, pelajar buktikan kegagalan awal bukan akhir sebuah impian
Penerima bantuan AMP daripada aliran Normal (Teknikal) ke menara gading SUTD
Keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang kurang memuaskan tidak menghalang Encik Muhammad Raziq Azman, daripada bangkit dan mencorak laluan pendidikan alternatif demi membina masa depannya.
Enggan membiarkan keputusan awal tersebut membatasi masa depannya, beliau tekad mengorak langkah demi merealisasikan cita-citanya sebagai seorang jurutera dan pencipta inovasi.
Daripada aliran Normal (Teknikal) (NT) ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan kini Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Encik Raziq terus melangkah, sekali gus membuktikan bahawa kegagalan bukan akhir sebuah impian.
KEGAGALAN BUKAN PENAMAT
Membesar dalam keluarga sederhana, bapa Encik Raziq bekerja sebagai pemandu dan merupakan pencari nafkah utama keluarga. Ibunya pula ialah suri rumah.
Melihat pengorbanan mereka, Encik Raziq, 26 tahun, sedar setiap peluang pendidikan amat berharga.
Minat pada robot dan teknologi, yang bermula daripada filem cereka sains, mendorongnya mendalami bidang kejuruteraan elektrik di ITE dan politeknik.
Kini, beliau sedang mengikuti pengajian ijazah Kejuruteraan Reka Bentuk Produk di SUTD.
Namun, perjalanan beliau tidak mudah. Semasa di aliran NT, Encik Raziq tidak berpeluang mempelajari mata pelajaran Fizik.
Oleh itu, beliau terpaksa berusaha lebih keras untuk mengejar subjek itu di universiti.
“Saya menetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang sebagai hala tuju.
“Sejak kecil, saya bercita-cita menjadi jurutera. Impian itu menjadi motivasi untuk terus berusaha, walaupun berdepan pelbagai cabaran,” kata Encik Raziq, anak sulung tiga beradik.
KERJA SAMBIL BELAJAR DEMI BERDIKARI
Menyedari beban kewangan yang ditanggung keluarganya, Encik Raziq memutuskan bekerja sambilan di Lapangan Terbang Changi bagi menampung keperluan sendiri.
Di sebalik jadual kuliah lima hari seminggu, beliau turut bekerja empat hari seminggu, termasuk mengambil syif malam, selepas kelas dan pada hujung minggu.
Bagi beliau, usaha tersebut bukan bagi mendapatkan wang sahaja, malah memastikan pengajiannya dapat diteruskan dan mengurangkan kebergantungan kepada ibu bapa.
PILIH KOMPUTER RIBA, LEPASKAN IMPIAN KE JEPUN
Salah satu pengorbanan terbesar Encik Raziq berlaku ketika komputer ribanya rosak semasa pengajian di politeknik.
Ketika itu, beliau terpaksa memilih antara membeli komputer baharu atau menyertai lawatan sekolah ke Jepun – negara impiannya sejak kecil.
Walaupun ibu menggalakkan beliau pergi, Encik Raziq memilih komputer riba demi pembelajaran dan tidak mahu membebankan ibu bapanya.
“Saya memang sedih kerana Jepun ialah negara impian saya. Tetapi, komputer riba merupakan keperluan pengajian, manakala peluang ke Jepun mungkin datang lagi pada masa hadapan,” jelasnya.
Keputusan itu bukan mudah, tetapi Encik Raziq tahu pendidikan harus diutamakan.
TERUS MELANGKAH, WALAUPUN PENAT
Mengimbangi kerja dan pengajian, selain tekanan untuk mengekalkan biasiswa bagi membayar yuran pengajian, pernah membuat Encik Raziq ingin menyerah.
Namun, beliau sentiasa menguatkan semangatnya.
“Saat anda ingin menyerah, ingatlah mengapa anda bertahan selama ini” merupakan satu petikan daripada sebuah rancangan televisyen kegemaran Encik Raziq, Fairy Tail, yang dijadikannya sebagai sumber motivasi.
Diilhamkan daripada watak adiwira Tony Stark, Encik Raziq bercita-cita menjadi pereka yang menghasilkan teknologi untuk menyelesaikan masalah masyarakat.
Beliau juga berharap dapat menyumbang semula kepada AMP Singapura dan membantu golongan lain, apabila tahap kewangannya mantap.
Dana Siap ke Sekolah (RFS) AMP Singapura turut meringankan beban beliau dengan membantu menampung perbelanjaan makanan, pengangkutan dan peralatan kejuruteraannya.
Sokongan tersebut memberi ruang kepada beliau untuk memberi tumpuan kepada pengajian.
SEKILAS
Bantuan AMP menerusi pelbagai program dan perkhidmatan merangkumi:
+ Sokongan pekerjaan dan pembangunan diri
+ Bantuan kewangan dan pengurusan hutang
+ Pemulihan dan penyepaduan semula ke dalam masyarakat
+ Sokongan kepada keluarga dan belia berkeperluan
+ Perkhidmatan sosial seperti kaunseling dan talian bantuan AMP
Cara menderma kepada AMP:
+ Portal Dalam Talian: Layari laman web, ampdonate.sg untuk memilih dana khusus
+ PayNow UEN: 199105100D.
+ Pindahan Bank: Pindahkan wang ke Akaun UOB: 125-304-515-4 (Kod Cawangan: 025).
+ Cek: Sediakan cek atas nama ‘AMP’ dan hantarkan ke 1 Pasir Ris Drive 4, #05-11, Singapura 519457. Sertakan nama penuh, nombor NRIC, dan maklumat hubungan untuk tujuan potongan cukai.
+ Kunjungi: Pejabat AMP di Pasir Ris Drive 4, #05-11, Singapura 519457 (Selasa-Khamis, 9 pagi-5 petang)