Kerjaya beliau sebagai karyawan pendidikan awal kanak-kanak dan penyelidik dalam bidang ini sejak lebih sedekad lalu telah mengukuhkan keyakinan Cik Nur Riduan bahawa lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk membantu pelajar Melayu/Islam meningkatkan pencapaian mereka dalam Bahasa Inggeris dan Matematik.
Cik Nur, 38 tahun, mendapati terdapat bilangan pelajar Melayu yang agak tinggi dalam Program Pembelajaran Sokongan (LSP), iaitu program yang menawarkan kelas tambahan kepada murid Darjah Satu dan Dua, yang menghadapi cabaran mempelajari bahasa Inggeris dan menghadam Matematik.
Justeru, beliau memilih untuk menjalankan kajian mengenai keibubapaan Melayu/Islam dan kesannya terhadap pembelajaran membaca kanak-kanak di Singapura, dengan matlamat meningkatkan hasil pendidikan awal kanak-kanak bagi keluarga Melayu/Islam.
Cik Nur merupakan salah seorang daripada tiga pelajar peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), yang menerima biasiswa sulung yang bertujuan memperkasa anggota masyarakat dalam meneruskan penyelidikan lanjutan mengenai keluarga, pendidikan dan isu sosial dalam masyarakat mereka sendiri.
Biasiswa Memupuk Masa Depan, Transformasi Bakat itu diberikan kepada mereka yang mengikuti pengajian PhD sepenuh masa di SUSS dan menjalankan penyelidikan bermutu tinggi serta mendalam mengenai isu pendidikan dan sosioekonomi yang relevan kepada masyarakat Melayu dan Islam.
Dalam satu wawancara diadakan di SUSS, apabila ditanya mengapa beliau memilih topik khusus ini sebagai bidang kajiannya, beliau menjelaskan: “Sebagai anggota masyarakat Melayu-Islam dan juga seorang profesional dalam bidang ini, saya melihat peluang untuk meneroka dengan lebih mendalam, terutamanya memandangkan masih kurang kajian tentang keibubapaan Melayu/Islam.
“Saya tidak beranggapan setiap keluarga mesti mendidik dengan cara yang sama, namun saya percaya ibu bapa boleh mendapat manfaat daripada lebih banyak kajian dan pendidikan tentang bagaimana kecelikan (membaca dan menulis serta angka) anak-anak mereka boleh diperkembangkan.”
Katanya lagi: “Apabila saya bekerja dengan kanak-kanak, pada mulanya mungkin kita tertanya-tanya ‘apa yang mereka lakukan?’, tetapi lama-kelamaan, dari Januari hingga hujung tahun, kita dapat melihat perkembangan yang menakjubkan. Perubahan yang berlaku pada kanak-kanak di bawah bimbingan saya jelas kelihatan. Sama ada besar atau kecil, ia tetap memberi kesan.”
Namun, ketika ditanya tentang dapatan awal penyelidikannya mengenai landskap pendidikan awal kanak-kanak bagi masyarakat Melayu/Islam, beliau berkongsi bahawa kajian awalnya menunjukkan wujud amalan dan kepercayaan tertentu dalam masyarakat Melayu/Islam yang mempengaruhi anak-anak mereka.
Beliau merujuk kepada satu kajian jangka panjang Britain, Projek “The Effective Provision of Pre-School Education” (EPPE) (“Peruntukan Pendidikan Prasekolah Yang Berkesan”), dan merumuskan bahawa “status sosioekonomi sesebuah keluarga tidak memberi kesan yang lebih besar terhadap perkembangan kanak-kanak berbanding cara ibu bapa itu sendiri berinteraksi dengan anak-anak mereka.”
Cik Nur turut menjelaskan bahawa kadangkala konteks khusus keluarga-keluarga tertentu kurang diberi perhatian.
“Saya berharap kajian ini dapat menyumbang kepada reka bentuk dasar yang lebih peka terhadap konteks budaya. Keterangkuman dalam dasar bermula dengan keterangkuman dalam pemahaman.
“Apabila kita mempunyai pemahaman yang terangkum, barulah ia boleh diterjemahkan secara dasar. Apa juga kerja yang saya lakukan, saya harap ia dapat merapatkan jurang bukan sahaja untuk masyarakat Melayu/Islam, tetapi juga untuk semua kelompok masyarakat di Singapura,” jelasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg