Bagi ramai orang, sambal hanyalah pencecah yang menambah rasa pada makanan.
Namun bagi Cik Muslihah Mujtaba, sambal adalah jendela kepada warisan bersama dan bahan yang menghubungkan diaspora Melayu kerana setiap masyarakat di mana-mana pun, mempunyai versi tersendiri pencecah pembuka selera.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), beliau menjelaskan tindakan mudahnya memuat naik perkongsian tentang sambal Melayu di media sosial telah menarik minat ramai untuk mengenali budaya Melayu dengan lebih dekat, sekali gus mewujudkan ruang bersama bagi anggota diaspora Melayu.
Perspektif ini selari dengan bidang pengajiannya dalam seni tradisional Melayu, di mana makanan, seni dan warisan, berfungsi sebagai titik sentuh budaya yang menghubungkan generasi dan masyarakat.
Sebagai seorang peserta dan mentor aktif dalam dunia seni tradisional Melayu, Cik Muslihah membesar dengan nyanyian, tarian dan teater sejak menyertai kumpulan seni tempatan pada usia lapan tahun.
Sejak itu, beliau terus aktif dalam penerbitan dan pengurusan persembahan, selain membimbing generasi muda dengan 20 tahun pengalaman yang dimilikinya dalam dunia seni.
Kini, pada usia 31 tahun, Cik Muslihah telah dianugerahkan Biasiswa Possiswazah Berprestij Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) 2025 dan sedang melanjutkan pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Birmingham di Britain, dalam bidang Warisan Budaya.
Pada 19 September, beliau merupakan antara penerima Biasiswa LBKM yang diraikan di Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa LBKM ke-16 di Furama City Centre, dengan kehadiran Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
LBKM menyampaikan jumlah rekod biasiswa iaitu sebanyak 43 biasiswa bernilai $285,000 keseluruhannya.
Ini termasuk 16 biasiswa merit, juga jumlah rekod diberikan.
Memandangkan Cik Muslihah berada di Britain, ibu mentuanya, Cik Aminah Jaafar, 65 tahun, menerima anugerah tersebut bagi pihaknya.
Cik Muslihah berharap dapat meneroka cara menggunakan teknologi sebagai medium untuk menyampaikan ilmu penggiat seni tradisional kepada golongan muda.
Baginya, teknologi bukan untuk mengubah bentuk seni warisan, tetapi untuk menjadikannya relevan dan lebih mudah dimanfaatkan generasi muda.
“Adalah penting untuk menurunkan ilmu daripada para veteran mengenai inti pati sesuatu seni, yang melangkaui sekadar pergerakan fizikal tarian.
“Mereka juga mempunyai pengetahuan tentang sejarah dan asal-usul seni tradisional ini untuk dikongsi,” tambah beliau.
Apabila ditanya tentang kepentingan memelihara seni tradisional Melayu, beliau berkongsi:
“Dalam tarian, terdapat kehalusan pada setiap gerakan.
“Biasanya, kita hanya melihat lapisan luaran tarian itu, tetapi sebenarnya ia sarat dengan nilai dan perasaan yang pada saya, merupakan inti pati seni yang sering terlepas pandang.
“Orang ramai mungkin tidak menyedarinya, namun apabila kita mendalami sesuatu seni, termasuk muzik sekali pun, ia bukan sekadar rentak.
“Ada perasaan yang terkandung, seperti dalam bangsawan, teater atau wayang kulit dan terdapat juga sejarah lisan serta tradisi di sebaliknya.”
Semasa di Darjah Satu, Cik Muslihah menyertai pancaragam sekolah.
Pada usia lapan tahun, ibunya mendaftarkan beliau dan adiknya di Sri Warisan yang diasaskan penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Cik Som Said.
Di sinilah beliau mula terdedah kepada pelbagai bentuk seni tradisional, termasuk tarian, nyanyian, teater dan dikir barat.
Dari masa ke masa, Cik Muslihah turut terlibat dalam aspek belakang tabir seni persembahan, termasuk sebagai penerbit dan pengurus pentas.
“Saya sejak dulu memang cenderung kepada bidang seni dan menuntut di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).
“Sahabat di Sri Warisan sudah saya anggap macam keluarga, mereka tiada gantinya.
“Jika bukan kerana orang-orang di situ (Sri Warisan), saya mungkin tidak akan kekal dalam industri ini selama 20 tahun sehingga menjadi tenaga pengajar.
“Seni memberi saya kebebasan. Tarian, khususnya, adalah cara untuk mengekspresikan diri.
“Ada kalanya kita tidak mampu meluahkan dengan kata-kata, tetapi melalui gerak tari tertentu, kita dapat merasakan perasaan yang terpendam dan dilepaskan,” katanya.
“
“Dalam tarian, terdapat kehalusan pada setiap gerakan. Biasanya, kita hanya melihat lapisan luaran tarian itu, tetapi sebenarnya ia sarat dengan nilai dan perasaan... dan terdapat juga sejarah lisan serta tradisi di sebaliknya.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg