Dalam apa jua yang diceburi Encik Mohammed Aizam Abd Rahman, beliau berpegang pada dua prinsip hidup.
Pertama, terus senyum, dan kedua, kekal berjasa kepada keluarga dan masyarakat.
Prinsip itu secara tidak langsung mendorongnya memburu kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam, kata Encik Aizam, 25 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Beliau adalah antara 54 penerima baru Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) bagi kohort 2024. Mereka menerima anugerah itu dalam sebuah majlis di Pusat Konvensyen dan Expo Sands pada 17 Julai.
Di bawah biasiswa PSC, Encik Aizam bakal mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam Sastera Liberal di Universiti Northwestern di Evanston, Illinois, di Amerika Syarikat bermula September. Beliau akan menuntut di sana selama empat tahun.
Encik Aizam berkata pada awalnya beliau sukar menerima berita mengenai biasiswanya.
“Saya duduk bersama ibu bapa saya dan kami berbual secara tenang dan berterus terang mengenai apa maksud biasiswa ini, apa yang terkandung di dalamnya...,” kata Encik Aizam, lulusan Diploma dalam Pengurusan Perniagaan di Politeknik Nanyang (NYP).
“Bagi saya, ia adalah peluang untuk berkhidmat kepada Singapura dan warga Singapura. Saya benar-benar teruja untuk berbuat sedemikian,” tambah anak tunggal itu.
Encik Aizam memegang beberapa peranan utama semasa menuntut di NYP dari 2019 hingga 2022. Beliau merupakan presiden kelab perkhidmatan masyarakat di politeknik itu.
“Semasa saya di NYP berlaku Covid-19. Jadi, saya berpeluang melihat pelbagai warga Singapura, terutama belia, tampil bersama melakukan pelbagai inisiatif.
“Pengalaman itu membuka peluang untuk menyatukan orang ramai dan saya sedar ia adalah sesuatu yang saya gemar lakukan,” ujar beliau.
Sebagai pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan, Encik Aizam terdedah kepada pertandingan kes kajian berkaitan perniagaan.
Beliau berpeluang bekerjasama dengan perusahaan sosial dan syarikat pemula.
“Ini membangunkan sifat empati dalam diri saya, kerana anda perlu memahami isu yang dihadapi untuk menghasilkan penyelesaian yang bermakna atau jawapan kepada masalah yang anda cuba selesaikan,” jelasnya.
Encik Aizam juga ahli panel dalam Panel Penyeliaan Reach, iaitu unit maklum balas pemerintah. Beliau mewakili perspektif belia mengenai pelbagai isu.
“Bagi saya, perkhidmatan awam membolehkan saya bekerjasama dengan kumpulan yang berbeza dan mendengar perspektif dan kisah yang berlainan.
“Setiap orang ada pandangan yang ingin mereka kongsi. Ini sebahagian besarnya memberi saya inspirasi untuk memasuki perkhidmatan awam,” tambah Encik Aizam.
Biasiswa PSC turut mencerminkan dedikasi dan ketabahannya.
Laluan pendidikan Encik Aizam boleh dianggap lebih panjang berbanding kebanyakan penerima Biasiswa PSC lain. Selepas tamat peperiksaan GCE peringkat ‘N’ di sekolah menengah, beliau melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebelum ke Politeknik Nanyang dan kini akan ke menara gading.
“Ia sememangnya perjalanan yang panjang tetapi saya bersyukur dapat berada di tahap ini,” kongsi beliau.
“Bahkan, perjalanan ini sebenarnya yang membolehkan saya berhubung dan mendengar dengan lebih baik sentimen orang ramai dan perspektif belia, serta tahu mengenai apa yang berlaku di Singapura dan isu melibatkan pelbagai dasar…
“Sokongan mereka di setiap langkah inilah yang sentiasa mengingatkan saya untuk meneruskan perjuangan saya,” kata beliau.
Memandang ke hadapan, Encik Aizam berazam terus menjadi jambatan antara pelbagai perspektif dan kumpulan daripada latar belakang berbeza.
“Saya ingin menjadi suara dan menyedia wadah untuk mereka yang takut bersuara atau tampil untuk memulakan sesuatu,” ujarnya.
“Saya berharap saya dapat memperkasa lebih ramai belia untuk tampil dan lebih terlibat dalam proses penggubalan dasar,” tambah Encik Aizam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg