Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerima biasiswa tekad ubah tanggapan tangani isu global

Oct 2, 2024 | 2:56 PM
Encik Muhammad A’rash Noor Effendi adalah antara empat pelajar yang terima Biasiswa Tenaga-Industri (EIS).
Encik Muhammad A’rash Noor Effendi adalah antara empat pelajar yang terima Biasiswa Tenaga-Industri (EIS). - Foto MUHAMMAD A’RASH NOOR EFFENDI

Lazimnya, permainan video adalah hiburan kanak-kanak, tetapi ia berbeza bagi Encik Muhammad A’rash Noor Effendi semasa beliau kecil. 

Encik A’rash, 21 tahun, gemar permainan video dan malah lebih menggemari bahagian teknikal komputer.

Beliau suka teroka komponen komputer dan papan kekuncinya, memahami dengan teliti cara setiap bahagian berfungsi.

Diberi komputer pejabat asas oleh bapanya untuk bermain permainan video, Encik A’rash sering mengalami ketidakpuasan terhadap prestasinya yang lemah.

Daripada terus menerima kualiti sedemikian, beliau bina komputer baru bagi meraih pengalaman permainan yang lebih baik.

Dengan minat yang mendalam itu, beliau tidak ragu-ragu untuk ceburi bidang kejuruteraan elektrik di peringkat diploma di Politeknik Ngee Ann (NP).

Keghairahan beliau semakin terbukti dengan beliau adalah antara empat pelajar yang terpilih menerima Biasiswa Tenaga-Industri (EIS).

Anugerah tersebut khusus untuk sektor tenaga yang ditawarkan dengan kerjasama Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan rakan-rakan kongsi industri.

Anak sulung dua beradik itu berkata:

“Saya tidak minta komputer baru, malah saya mengambil keputusan membina komputer permainan saya sendiri. Saya mula menyelidik cara binanya, menonton pelbagai tutorial YouTube dan menabung untuk membeli bahagian komponennya. 

“Dengan sedikit bantuan kewangan daripada ibu bapa, saya berjaya bina komputer permainan sendiri yang berprestasi tinggi. Keluarga saya amat kagum dengan kemahiran teknikal saya,” katanya yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Encik A’rash bakal bertugas di syarikat Eigen Energy yang menaja pengajiannya selepas tamat NS pada Julai 2025.

Biasiswa itu bukan sahaja memberinya sokongan kewangan malah membuka pintu kepada pengalaman yang tidak ternilai dalam sektor tenaga.

“Biasiswa tersebut beri saya peluang mendalami sektor tenaga dan ia membuka pintu kepada pelbagai peluang seperti hadiri Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura. 

“Acara sedemikian menjadi wadah bagi saya bertemu dan membina rangkaian dengan karyawan serta meraih pemahaman yang lebih mendalam, pelajari tentang perkembangan dan cabaran terkini dalam industri tersebut,” kongsi beliau yang yakin dengan keputusannya untuk berkecimpung dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Walaupun keluarganya terkejut dengan pilihannya itu kerana tidak seorang pun dalam keluarga mempunyai latar belakang dalam bidang itu, mereka tetap menyokongnya.

Encik A’rash percaya bahawa tangani cabaran global seperti perubahan iklim dan peningkatan paras laut memerlukan usaha kolektif, dan menekankan “kepentingan mendidik orang ramai, terutama generasi muda, tentang mengurangkan jejak karbon dan beralih kepada sumber tenaga bersih.” 

Baginya, walaupun tindakan terkecil seperti menjimat elektrik di rumah, jika diamalkan setiap isi rumah, ia akan hasilkan perubahan ketara... sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit.

Memandang ke hadapan, Encik A’rash berharap dapat menyumbang secara bermakna kepada sektor tenaga, sama ada melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah atau terus bekerja sepenuh masa dalam sektor tersebut.

Encik A’rash bertekad mengubah pemikiran dan sikap masyarakat, terutama dalam kalangan rakan sebayanya, yang kebanyakannya mempersoalkan keperluan mengambil berat tentang kemampanan. 

“Itulah sebabnya kita perlu ubah mentaliti. Jika kita semua melakukan bahagian dan peranan masing-masing, kita boleh buat perubahan yang nyata dan berkesan,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg