Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Datuk bantu pupuk minat dalam baiki barang elektrik

Selain jadi Duta Tenaga, pelajar Politeknik NP kini teruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik
Oct 2, 2024 | 3:46 PM
Cik Zaphia Arisha Solomon Dona Jr, 20 tahun, ditawarkan menjadi Duta Tenaga pada 2021, di bawah Program Duta Tenaga (EAP) yang dikendalikan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA). Program itu berlangsung selama dua tahun.
Cik Zaphia Arisha Solomon Dona Jr, 20 tahun, ditawarkan menjadi Duta Tenaga pada 2021, di bawah Program Duta Tenaga (EAP) yang dikendalikan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA). Program itu berlangsung selama dua tahun. - Foto ZAPHIA ARISHA SOLOMON DONA JR

Apabila datuk Cik Zaphia Arisha Solomon Dona Jr memintanya membaiki mesin basuh yang tidak berfungsi, Cik Zaphia teragak-agak seketika.

Ia bukanlah satu tugas yang lazim dilakukan kaum hawa, tetapi Cik Zaphia, 20 tahun, menyahut cabaran itu.

Datuknya, Encik Zaini Mahamod, 63 tahun, bekas pekerja luar pesisir marin, sering luangkan masanya membaiki dan mengajar cucu perempuannya itu cara membaiki barangan elektrik – kemahiran yang Cik Zaphia tajamkan lagi ketika beliau ceburi bidang kejuruteraan elektrik di Nitec Lanjutan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat dari 2021 hingga awal 2023.

Semasa beliau menyingsing lengan bajunya untuk membaiki mesin basuh itu, Cik Zaphia sedar bahawa minatnya terhadap kejuruteraan elektrik adalah luar biasa bagi seorang gadis seusianya dalam sektor yang dikuasai kaum Adam.

Namun demikian, ia tidak hambatnya daripada menceburi bidang tersebut.

Lebih mengagumkan, beliau ditawarkan untuk menjadi Duta Tenaga pada 2021, di bawah Program Duta Tenaga (EAP) yang dikendalikan oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Program itu antara lain bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan belia tentang isu berkaitan tenaga dan mencetus minat mereka untuk memberi sumbangan kepada sektor tenaga.

“Datuk saya sentiasa menjadi inspirasi terbesar bagi saya. Walaupun beliau bekerja dalam bidang yang berbeza, Datuk mempunyai kemahiran dan ilmu menukang, membaiki, dan mendawai.

“Ada sesetengah wanita tidak mahu mengotorkan tangan mereka. Walaupun saya seorang wanita, Datuk tidak teragak-agak menyuruh saya melakukan kerja pembaikan,” jelas anak sulung tiga beradik itu.

Sebagai anak sulung kepada ibu tunggal, Cik Zaphia memikul tanggungjawab melakukan kerja pembaikan di rumah – tugas yang lazimnya diuruskan seorang bapa.

Semasa menuntut di ITE pula, Cik Zaphia adalah salah seorang daripada enam pelajar perempuan yang ada dalam kelas seramai lebih 20 pelajar.

“Ia adalah persekitaran yang dikuasai lelaki tetapi saya jadikannya sebagai satu motivasi untuk mencabar diri saya,” ujar Cik Zaphia.

Beliau telah meminta nasihat dan sokongan daripada guru, keluarga dan rakan kelas perempuan lain untuk cekalkan diri meneruskan pengajian tersebut.

Beliau yakin dan percaya bahawa kemahiran dan keazamannya sama berharga dengan orang lain. 

Selama dua tahun beliau menjadi Duta Tenaga dari 2021 hingga 2023, Cik Zaphia berpeluang membina rangkaian dengan karyawan industri dan rakan pelajar, berkongsi pengetahuan dan menyokong amalan penjimatan tenaga. 

“Saya berpeluang meluaskan pandangan tentang sektor tenaga melalui interaksi dengan pelbagai pakar di acara rangkaian yang saya sertai.

“Mendengar pengalaman mereka membangkitkan minat dan dorongan untuk terus menceburi bidang ini.

“Saya juga turut serta dalam beberapa lawatan pembelajaran, di mana saya pelajari perkembangan terkini sektor tenaga – sesuatu yang mungkin sukar untuk sekolah saya tawarkan,” kongsi beliau yang menyertai program tersebut semasa tahun pertamanya di ITE. 

Cik Zaphia meluahkan pendapatnya tentang keupayaan golongan muda melakukan sumbangan bermakna kepada sektor tenaga, terutama dengan kemajuan pesat dalam teknologi.

Cik Zaphia, kini pelajar tahun kedua Politeknik Ngee Ann (NP) yang masih meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik itu, berkata:

“Dengan sentiasa mendapat maklumat tentang perkembangan global, belia berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk berinovasi dan memperkenalkan idea baru untuk menggalakkan amalan penjimatan tenaga.

“Peranan mereka adalah penting dalam memacu kesedaran dan menggalak tingkah laku yang lebih mampan, terutama melalui platform dalam talian di mana mereka boleh menjangkau khalayak yang lebih luas.”

Memandang ke hadapan, Cik Zaphia berharap dapat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang yang sama.

Beliau bercita-cita untuk menjadi pekerja elektrik berlesen kelak.

“Jika tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian, saya mahu bekerja sepenuh masa dalam sektor tenaga.

“Pada skala yang lebih besar, saya berharap dapat menyumbang kepada usaha global dalam melestarikan tenaga bersih, terutama membantu Singapura menyesuaikan diri dengan inisiatif hijau,” kongsi beliau.

Beliau percaya bahawa menyelesaikan cabaran perubahan iklim dan kecekapan tenaga memerlukan usaha kolektif, dan beliau berazam untuk memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih mampan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg