Berdiri di atas landasan berhampiran pesawat C-130 Hercules di Kawasan Latihan Shoalwater Bay, Australia, saya dapat rasakan kehebatan pengangkutan yang dijadikan penggerak misi bantuan kemanusiaan di kawasan bencana atau konflik.
Saya berpeluang menaiki pesawat tersebut semasa latihan penerbangan dan pengguguran udara atau airdrop mission yang dijalankan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Dari dalam pesawat itu, suasananya jauh berbeza daripada pesawat komersial yang dinaiki untuk mengembara atau melancong secara santai.
Ruangnya agak sempit dan sarat kabel, suis dan paip yang mendedahkan fungsi teknikalnya.
Deruman enjin yang berterusan juga membuatkan komunikasi antara saya dengan kru pesawat hanya boleh dilakukan dengan isyarat tangan.
Muatan bersaiz serupa dan seberat seperti yang digunakan dalam misi sebenar telah dimasukkan terlebih dahulu ke dalam ruang kargo pesawat tersebut.
Sebelum berlepas, kru pesawat telah menjalankan pemeriksaan prapenerbangan secara menyeluruh.
Ini termasuk memeriksa tali pengikat, kunci palet, serta sistem keselamatan bagi memastikan muatan kekal mantap dan selamat sepanjang penerbangan.
Apabila pesawat berlepas dan mencapai ketinggian udara yang ditetapkan, gegaran logam mula terasa di bawah tapak kaki.
Bahagian belakang pesawat dibuka apabila tiba di kawasan sasaran, membolehkan udara dingin memasuki ruang kabin.
Mata saya melihat pancaran cahaya matahari dari luar. Telinga pula terdengar bunyi deruman enjin yang kuat.
Tiba-tiba, fikiran saya menerawang bak memikirkan tentang perjalanan pesawat seperti ini ke kawasan bergolak seperti Gaza – tempat Singapura menyalurkan bantuan kemanusiaan sekurang-kurangnya sembilan kali untuk membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada mereka yang memerlukan.
Di tengah suasana itu, saya sedar latihan itu bukan sekadar tentang misi ketenteraan.
Ia menyemai dalam diri disiplin, ketepatan dan kepercayaan antara anggota misi bantuan, namun pada masa sama, menggambarkan semangat kemanusiaan yang murni lagi tinggi nilainya.
Inilah yang mengukuhkan kerjasama antara RSAF dengan SAF, yang seiringan memastikan setiap misi dijalankan dengan selamat dan berkesan.
Namun, adalah penting untuk menekankan hubungan erat antara Singapura dengan Australia, yang turut memainkan peranan penting dalam membolehkan latihan seperti ini dilaksanakan.
Ini disebabkan, di bumi Australia yang jauh lebih besar dari Singapura ini, para anggota tentera kita dapat berlatih, memperkukuh kemahiran dan meningkatkan kesiapsiagaan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Lantas, kita tidak boleh memandang remeh hubungan erat yang sedia ada, bukan sahaja antara Singapura dengan Australia, bahkan juga dengan negara lain agar Singapura dapat terus memperkukuh kewibawaannya di persada dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg