Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Latihan Wallaby di Australia uji teknologi baru SAF, gabung latihan tentera udara, darat

Lebih 5,200 anggota SAF sertai latihan dari 7 Sep hingga 2 Nov
Oct 25, 2025 | 6:00 PM
Helikopter serangan AH-64 Apache dilihat terbang di ruang udara di atas helikopter Chinook semasa Latihan Wallaby (XWB) di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia dari 7 September hingga 2 November 2025, edisi ke-35 latihan tersebut.
Helikopter serangan AH-64 Apache dilihat terbang di ruang udara di atas helikopter Chinook semasa Latihan Wallaby (XWB) di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia dari 7 September hingga 2 November 2025, edisi ke-35 latihan tersebut. - Foto ST



Sekitar 4,000 kilometer dari Singapura, lebih 5,200 anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang menyertai Latihan Wallaby (XWB) di Kawasan Latihan Shoalwater Bay, Australia.

Latihan tahunan luar negara ini kali ini menandakan edisi ke-35 dan berlangsung dari 7 September hingga 2 November.

XWB 2025 menampilkan penggunaan Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi, atau Himars, yang akan digunakan buat julung kalinya di kawasan latihan tersebut, dan penglibatan lebih menyeluruh antara unit Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dengan SAF.

Timbalan Ketua SAF bagi XWB, Kolonel Andy Quek, berkata kawasan latihan di Australia memberi peluang kepada SAF untuk menguji teknologi baru, di samping menunjukkan keupayaannya beroperasi pada skala besar merentas pelbagai bidang.

“Kawasan Latihan Shoalwater Bay di Queensland, Australia, yang dikatakan lima kali lebih besar daripada Singapura memberi ruang luas untuk SAF menguji keupayaannya dalam pelbagai keadaan tempur,” tambah beliau.

“Ruang sebesar ini memberi peluang besar kepada SAF – khususnya bagi Tentera Udara dan Tentera Darat dalam latihan tahun ini – untuk menjalankan operasi berskala besar, terutamanya dalam latihan tembakan sebenar,” ujar Kolonel Quek.

Pengarah Udara bagi Rangka Ketiga XWB, Kolonel Woo Sin Boon, turut sependapat.

Menurutnya, latihan bersepadu sebegini membolehkan kedua-dua cabang angkatan tentera beroperasi dengan lebih selaras dan berkesan.

“Biasanya, Tentera Darat dan Tentera Udara mempunyai objektif latihan masing-masing dan melaksanakan latihan secara berasingan,” katanya.

“Namun, bagi Latihan Wallaby tahun ini, kami telah berjaya mengintegrasikan reka bentuk serta senario latihan supaya objektif kedua-dua cabang dapat diselaraskan dan dijalankan secara serentak.

“Pendekatan ini merupakan yang pertama seumpamanya, dan kami percaya ia penting dalam memastikan Tentera Darat dan Tentera Udara dapat beroperasi dengan lancar – sepertimana yang diharapkan dalam situasi tempur sebenar,” kata beliau.

Dalam beberapa hari akan datang, kerjasama bakal dipaparkan melalui satu pertunjukan tembakan Himars yang disertai sokongan pesawat pejuang F-16, helikopter Apache AH-64D, dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

Dalam pada itu, lebih 20 teknologi baru seperti robotik, kecerdasan buatan (AI), sistem menentang pesawat udara tanpa pemandu, serta ketersambungan generasi baru digunakan dalam latihan XWB tahun ini.

Ini merupakan hasil kolaborasi antara SAF dengan jurutera dan pakar teknologi daripada Komuniti Teknologi Pertahanan (DTC), kata Mindef dalam satu kenyataan.

Ini termasuk Direktorat Sistem dan Teknologi Masa Hadapan (FSTD) di bawah Mindef, Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) serta Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO).

Kerjasama ini, kata Mindef, akan menjadi satu titik penting bagi DTC dalam usahanya untuk terus menguji dan menambah baik teknologi baru bagi kegunaan operasi SAF pada masa depan.

Dalam menjawab pertanyaan media mengenai aspek keselamatan, Kolonel Quek akui risiko yang muncul akibat latihan sebegini, namun menegaskan bahawa keselamatan tidak pernah diambil ringan oleh pihak SAF.

Soalan tersebut muncul susulan insiden pada 2024 apabila 12 anggota SAF dibawa ke hospital di Australia selepas satu kemalangan melibatkan kenderaan tempur berperisai (AFV) Hunter semasa latihan XWB.

Insiden itu berlaku sekitar 7.40 malam (waktu tempatan) pada 2024 ketika kenderaan tersebut sedang bergerak pulang ke pangkalan di Shoalwater Bay.

Mengulas lebih lanjut, Kolonel Quek berkata setiap kejadian seperti itu dijadikan pengajaran penting untuk memperkukuh langkah keselamatan bagi edisi seterusnya.

“Kami telah melaburkan masa untuk perancangan, persediaan dan menyediakan sumber bagi memastikan setiap latihan dijalankan dengan selamat.

“Setiap edisi Latihan Wallaby juga berbeza. Kami sentiasa belajar daripada pengalaman lalu dan menambah baik pendekatan kami,” ujar beliau.

Dengan itu, Kolonel Quek menambah setiap pengajaran daripada latihan tahun-tahun sebelumnya telah diterapkan dalam peringkat perancangan, perbincangan, serta sesi taklimat keselamatan bagi semua anggota SAF di setiap peringkat.

“Paling penting, kami mahu setiap anggota SAF, termasuk yang di barisan depan, fahami risiko keselamatan yang wujud dalam latihan besar di luar negara, khususnya di Kawasan Latihan Shoalwater Bay,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg