Semakin seseorang memerlukan bantuan orang lain, semakin penting untuk memastikan mereka masih mempunyai ruang membuat pilihan sendiri.

Prinsip itu mula dihayati Ustazah Siti Raudhah Ramlan, 30 tahun, ketika beliau menjadi penjaga utama arwah neneknya.

Apabila kesihatan dan keupayaan fizikal neneknya semakin merosot, Ustazah Siti Raudhah mula memikirkan cara untuk terus menyokong kesejahteraan emosi dan rohani neneknya selain memenuhi keperluan hariannya.

Beliau masih mengingati persoalan yang timbul ketika itu, antaranya bagaimana dapat membantu neneknya meneruskan perkara-perkara yang dekat di hatinya meskipun semakin lemah dari segi fizikal.

“Sebagai contoh, bagaimana saya boleh membantunya terus beribadah dengan selesa dan sesuai dengan keupayaannya? Bagaimana saya boleh mengimbangi tanggungjawab menjaganya dengan menghormati kehendaknya sendiri, terutama apabila beliau semakin bergantung kepada kami?

“Selain memenuhi keperluan fizikalnya, apa lagi boleh saya lakukan untuk menyokong kesejahteraan emosi dan rohaninya?

“Ketika itu, saya belum mempunyai jawapan yang jelas. Namun, apabila mengimbau pengalaman tersebut, saya sedar bahawa menjaga warga emas bukan sekadar uruskan keperluan fizikal.

“Ia juga bermakna memahami perkara yang penting bagi mereka, menghormati maruah mereka serta mengiktiraf keperluan dan pilihan masing-masing,” katanya apabila dihubungi Berita Harian (BH).

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Pengalaman itu mendorong Ustazah Siti Raudhah melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Gerontologi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), bagi mendalami pelbagai pengalaman berkaitan proses penuaan, termasuk bagaimana keimanan dan kerohanian membentuk kehidupan warga emas.

Gerontologi merupakan bidang pelbagai disiplin yang mengkaji proses penuaan bukan sahaja dari sudut perubahan fizikal, malah turut merangkumi aspek psikologi, kognitif, sosial dan kerohanian.

Ustazah Siti Raudhah merupakan antara empat penerima Biasiswa Rangkaian Profesional dan Sukarelawan Asatizah (APVN) Pergas yang disampaikan semasa Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Pergas 2026 pada 28 November di PARADISE@PERGAS di Changi Road.

Biasiswa itu menyokong asatizah yang melanjutkan pengajian pascasiswazah bagi membina kepakaran dalam bidang profesional tertentu, sekali gus melengkapi penguasaan ilmu agama dengan kemahiran dan pengalaman dalam sektor khusus.

Minat mendalam untuk memahami individu yang berdepan pelbagai keterbatasan turut tercermin menerusi tugas Ustazah Siti Raudhah sebagai Felo Penyelidik Muda bagi Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS).

Kajian beliau meneliti bagaimana asatizah dan penggerak komuniti memahami isu ketidakupayaan dalam usaha membentuk ekosistem yang lebih inklusif buat golongan kurang upaya dalam masyarakat Islam Singapura.

“Walaupun penuaan dan ketidakupayaan merupakan dua bidang yang berbeza, saya melihat adanya persoalan yang sama berkaitan maruah, rasa diterima dalam masyarakat, kebolehcapaian dan penyertaan sosial.

“Saya berharap pengalaman mempelajari kedua-dua bidang ini dapat meluaskan pemahaman saya tentang pelbagai pengalaman dan keperluan individu,” ujarnya.

Persoalan sedemikian kian mendesak sedang Singapura melangkah ke arah status masyarakat sangat tua (super-aged), apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas terus meningkat.

Bagi Ustazah Raudhah, keadaan ini menuntut masyarakat menilai semula pendekatan dalam menyokong golongan warga emas.

“Apabila jangka hayat semakin panjang, kita perlu melihat melangkaui aspek kesihatan dan penjagaan semata-mata, dengan turut mengiktiraf pilihan, aspirasi serta sumbangan berterusan warga emas dalam keluarga dan masyarakat.

“Sebagai seorang Muslim Singapura, saya tertarik memahami bagaimana keimanan berkait rapat dengan fasa penuaan kerana bagi sesetengah warga emas, agama menjadi sumber ketenangan dan kekuatan dalam mendepani perubahan kesihatan serta kehidupan,” katanya.

Menerusi pengajiannya dalam bidang terebut, Ustazah Raudhah berharap dapat membantu institusi agama serta penggerak masyarakat menyesuaikan bentuk sokongan mengikut perubahan keupayaan warga emas, termasuk memudahkan mereka terus beribadah.

Walaupun semakin bergantung kepada bantuan orang lain, warga emas tetap perlu diberi ruang untuk membuat pilihan sendiri, berpegang pada kepercayaan mereka dan menjalani kehidupan dengan bermaruah.