Satu kejadian kebakaran di kolong sebuah blok berdekatan rumahnya di Blok 24 Bendemeer Road sekitar 18 tahun lalu masih jelas di ingatan Encik Mohamad Ibrahim Seman.
Pada ketika itu, beliau saksikan sendiri bagaimana longgokan sampah terbakar dalam sekelip mata sejurus selepas seorang budak lelaki bermain dengan pemetik api.
Disebabkan enggan melihat kejadian sedemikian berulang, beliau, yang kini berusia 24 tahun, mengambil keputusan untuk menyertai satu kumpulan sukarelawan yang akan memberikan respons pantas sekiranya berlaku kecemasan serta mencegah risiko kebakaran.
“Ketika kejadian kebakaran yang saya saksikan itu 18 tahun lalu, ramai yang panik kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan, sehingga seorang individu turun dari blok tersebut dan segera memadamkan api.
“Lama kelamaan, saya sedar peri pentingya untuk semua orang tahu langkah yang perlu diambil semasa berlakunya kecemasan kebakaran sedemikian,” kongsi anak kedua empat adik-beradik itu.
Pelajar tahun kedua Diploma Pengurusan Kemudahan di Politeknik Singapura (SP) itu merupakan antara empat individu yang menyertai inisiatif Sukarelawan Keselamatan Cegah Kebakaran Jalan Besar, atau Jalan Besar Fire Safety Kakis – yang mana kesemua sukarelawan itu merupakan penduduk GRC Jalan Besar – dengan hasrat membantu jiran, terutamanya warga senja.
Penubuhan kumpulan tersebut merupakan salah satu daripada dua inisiatif keselamatan cegah kebakaran yang dilancarkan pada Hari Ketahanan Masyarakat Jalan Besar pada 1 Mac berdekatan Stesen MRT Boon Keng.
Satu lagi inisiatif yang dilancarkan adalah Pemeriksa Keselamatan Kebakaran Rumah (HFSC) Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) – yang merupakan laman yang mendidik penduduk tentang potensi bahaya kebakaran.
Laman ini membantu penduduk menilai langkah keselamatan cegah kebakaran, serta menawarkan bimbingan mengenai perlindungan daripada kebakaran di rumah.
Menurut satu kenyataan media Pejabat Kawasan Undi Jalan Besar pada 27 Februari, kedua-dua inisiatif sedemikian bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan cegah kebakaran dalam kalangan penduduk di kawasan itu, dengan kerjasama Jawatankuasa Kecemasan dan Pendekatan Masyarakat (C2E) Persatuan Rakyat (PA), dan sukarelawan Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat (Cert).
“Sukarelawan Keselamatan Cegah Kebakaran Jalan Besar akan mengadakan lawatan rumah di kawasan-kawasan tertentu untuk menunjukkan kepada penduduk tentang HFSC. Ini bagi menilai tahap kesedaran keselamatan mereka.
“Mereka juga akan mengukuhkan mesej itu menerusi sesi susulan di blok-blok yang mempunyai kesedaran keselamatan kebakaran yang rendah. Ini bagi menitikberatkan langkah-langkah keselamatan utama dan mendidik penduduk mengenai teknik pencegahan kebakaran,” kata kenyataan tersebut.
Melancarkan kedua-dua inisiatif tersebut, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Jalan Besar (Kreta Ayer-Kim Seng), Cik Josephine Teo, menekankan bahawa inisiatif baru ini memupuk semangat kampung yang kukuh dengan memberi kuasa kepada penduduk untuk saling mengambil berat antara satu sama lain, serta mengambil langkah proaktif dalam keselamatan cegah kebakaran.
“Inisiatif-inisiatif ini mewakili lebih daripada sekadar langkah-langkah keselamatan cegah kebakaran – mereka menerapkan semangat kampung yang menjadikan masyarakat kita istimewa.
“Dengan kadar penduduk warga emas yang tinggi, kami mewujudkan peluang untuk jiran-jiran saling menjaga satu sama lain, memupuk budaya penjagaan dan kewaspadaan,” ujar Cik Teo.
Bersama beliau menghadiri acara tersebut ialah penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Jalan Besar yang lain, seperti Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua; dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Jalan Besar (Kolam Ayer), Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Berucap kepada penduduk GRC Jalan Besar yang hadir di acara itu, Dr Wan Rizal juga mengalu-alukan penyertaan mereka dalam usaha meningkatkan kesedaran mencegah kebakaran dalam kalangan masyarakat.
“Kami memperkenalkan inisiatif Sukarelawan Keselamatan Kebakaran Jalan Besar di mana sukarelawan tampil untuk membantu masyarakat menghadapi isu-isu kecemasan.
“Jadi, jika berminat, sila hampiri sukarelawan kami di sini untuk mengetahui bagaimana anda boleh membantu dalam usaha mencegah kebakaran dan apa yang boleh dilakukan dalam situasi kecemasan,” kongsi beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg