Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wan Rizal ingin jadi contoh baik demi orak perubahan

Perjuang kesihatan mental di Parlimen; pergiat kegiatan jasmani selepas sertai politik
Feb 15, 2025 | 5:30 AM
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah berkata beliau kini lebih peka mengawal emosi dan telah menjadi lebih sabar berbanding dengan dirinya sebelum melibatkan diri dalam arena politik.
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah berkata beliau kini lebih peka mengawal emosi dan telah menjadi lebih sabar berbanding dengan dirinya sebelum melibatkan diri dalam arena politik. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mendengar rintihan hati dan keprihatinan yang dikemukakan penduduk setiap kali mereka bertemu kini sudah menjadi lumrah untuk Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Ini termasuk ketika beliau, yang mewakili penduduk di kawasan undi Kolam Ayer, melakukan kunjungan rumah ke rumah.

Tidak hairan, Dr Wan Rizal kini lebih peka apabila mendengar keluhan penduduk supaya dapat mengenal pasti isu sebenar agar huraian boleh dikecapi.

Secara tidak langsung, pengalaman ini memupuk kesabaran dalam dirinya – sifat yang Dr Wan Rizal akui bukanlah tonggak paling menyerlah baginya sebelum menceburi bidang politik.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH) dalam satu wawancara untuk Siri Bersama AP menjelang Pilihan Raya Umum (GE) 2025, Dr Wan Rizal, bapa empat orang anak berusia 46 tahun itu berkata:

“Sebelum ini, saya tidaklah begitu penyabar sangat. Tetapi dengan cabaran yang saya hadapi dalam melaksanakan tanggungjawab ini, memang perlu ada kesabaran.

“Ini penting kerana saya perlu mendengar rintihan penduduk dan tidak mahu mereka rasa seperti saya lebih tahu daripada mereka… (dari situlah) saya dapat berikan bantuan (secara lebih berkesan).”

Dr Wan Rizal menjelaskan beliau sebenarnya lebih cenderung “mencari jalan penyelesaian secara pantas” tetapi akur untuk benar-benar menghuraikan sesuatu, ia memerlukan kesabaran demi memahami perkara secara menyeluruh.

Sifat ini jelas menyerlah tatkala beliau menegur sapa penduduk apabila BH berpeluang mengikutinya dalam sesi lawatan rumah ke rumah – yang menurut beliau kerap dilakukannya setiap minggu – di Blok 56 Geylang Bahru sejurus selesai sesi wawancara.

Beliau meluangkan lebih kurang 10 minit dalam hampir setiap rumah untuk menanyakan khabar dan mengenal pasti sebarang isu yang dialami mereka.

Namun, empati yang disampaikan bukan sahaja sehala dari Dr Wan Rizal, malah daripada penduduk untuknya juga.

Ada juga sebahagian penduduk menegur beliau apabila berat badannya kelihatan lebih susut berbanding apabila beliau mula melibatkan diri dalam politik, ujarnya.

Dr Wan Rizal merupakan salah seorang daripada empat AP – termasuk Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Encik Heng Chee How dan Cik Denise Phua – bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memenangi GE 2020 bagi GRC Jalan Besar.

GRC Jalan Besar merangkumi kawasan undi Kolam Ayer, Kreta Ayer-Kim Seng, Kampong Glam dan Whampoa.

Dr Wan Rizal mengambil alih kerusi di Kolam Ayer yang dikosongkan Dr Yaacob Ibrahim, mantan menteri dan AP veteran, yang bersara daripada arena politik setelah lebih 23 tahun berkhidmat.

Cik Teo pula menggantikan tempat mantan AP, Dr Lily Neo, yang bersara selepas 22 tahun berkhidmat untuk penduduk Kreta Ayer-Kim Seng.

Pilihan raya pada 2020 itu menyaksikan pasukan PAP ini mendapat 65.36 peratus undi berbanding parti Suara Rakyat (PV) dengan 34.64 peratus undi.

INGIN JADI CONTOH BAIK

Mengulas mengenai berat badannya yang kini lebih susut, Dr Wan Rizal berkata ia bukanlah kerana tekanan tanggungjawab yang digalas sepanjang penggal pertamanya menjadi AP, malah usaha beliau sendiri untuk menurunkan berat badan ke arah yang lebih sihat.

Mentelah tambahnya, sebagai pakar pendidikan jasmani, adalah lebih baik untuk beliau membuktikan bahawa penurunan berat badan boleh sahaja dicapai dengan cara yang mudah, jika ada tekad dan usaha kukuh.

“Ketika pandemik Covid pada 2020, memang banyak masa terluang di rumah (disebabkan rantaian pemutus litar), jadi saya banyak makan dan banyak rehat.

“Saya rasa tidak begitu sihat dan apabila saya periksa berat badan (ketika itu) sudah naik tinggi sangat kepada 80 kilogram,” ujarnya, yang mempunyai ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan pendidikan jasmani.

Beliau kini merupakan Pensyarah Kanan di Sekolah Sukan, Kesihatan dan Riadah di Politeknik Republic (RP).

Justeru, beliau memutuskan untuk menjaga pemakanan dan kerap berjalan sekitar lima kilometer. Hasilnya – berat badan beliau turun 13 kilogram sejak beberapa tahun lalu.

Sebenarnya, keinginan menjadi contoh baik yang tersemat dalam jiwanya itu adalah sifat yang dipengaruhi arwah neneknya, seorang guru ngaji, kata Dr Wan Rizal.

Beliau menyifatkan arwah neneknya itu “seperti penghulu kampung” kerana arwah neneknya menjadi tumpuan kanak-kanak mahupun golongan dewasa berhimpun bagi meraih ilmu.

Sebelum ini dalam sesi Podcast NoTapis BH pada 2021, Dr Wan Rizal pernah berkongsi bahawa dari kecil lagi, beliau tinggal bersama arwah neneknya di sebuah kampung di daerah Kembangan.

Arwah neneknya itu adalah individu penting dalam hidupnya, katanya.

Bahkan arwah nenek beliaulah yang mendesaknya untuk mengambil kesempatan menjadi sukarelawan masjid suatu ketika dahulu.

Ia menjadi titik permulaan penglibatan serius dalam kerja kemasyarakatan, dengan beliau aktif menyumbang sebagai pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Islah di Punggol dari 2010 hingga 2015, sebelum menyandang jawatan pengerusi Masjid Al-Islah dari Mac 2015 hingga Oktober 2016.

PERJUANG KESIHATAN MENTAL

Selain kerja kemasyarakatan yang dilakukan Dr Wan Rizal, antara isu nasional yang lantang dikemukakannya sebagai AP adalah berkenaan kesihatan mental.

Dalam satu hantaran video di Facebook PAP pada Oktober 2024, Dr Wan Rizal menjelaskan beliau sangat lantang dengan isu kesihatan mental kerana “terdapat kepentingan lebih mendalam terhadap kesihatan mental”.

“Belia hari ini benar-benar memahami kepentingan kesihatan mental dan mereka ingin pastikan perkara tersebut ditangani,” ujarnya.

Malah dalam sidang Parlimen pada 6 Februari 2024, beliau membentangkan usul untuk mengiktiraf kepentingan kesihatan mental sebagai isu kesihatan, sosial dan ekonomi.

Ini di samping mengesahkan kepentingan ekosistem kesihatan mental negara yang teguh dan perlunya usaha holistik dalam pelaksanaan strategi negara untuk meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan di sini.

Semasa membentangkan usul itu, beliau memberi penekanan bahawa kesihatan mental “bukanlah isu terasing” tatkala warga Singapura mengharungi kerumitan dunia moden, tetapi ia membentuk “sebahagian daripada kewujudan (kehidupan) harian”.

“(Ia) mempengaruhi keupayaan kita untuk belajar, bekerja dan menjalin hubungan yang bermakna.

“Ia memberi kesan kepada komuniti dan tempat kerja kita, membentuk nadi bagi produktiviti dan keharmonian sosial negara,” tambah beliau.

Usul yang dibentangkan beliau diterima sebulat suara di Parlimen pada 7 Februari.

Susulan itu pada November 2024, pemerintah melancarkan Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Kebangsaan – isyarat jelas bahawa kesihatan mental sudah menjadi isu kesihatan dan sosial yang penting di sini.

BERPEGANG TEGUH PADA PRINSIP

Ketekunan Dr Wan Rizal dalam mengetengahkan isu kesihatan mental boleh dirumuskan kepada prinsip yang menyokong tekadnya melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya, tidak kira sama ada sebagai AP, guru atau ketua keluarga.

Menurut beliau, tidak kira peranan yang digalas, ia saling terkait antara satu sama lain.

Beliau menjelaskan: “Ramai yang beranggapan bahawa kehidupan politik (sebagai AP) ini berbeza dengan kehidupan sebagai seorang ayah, pensyarah atau pengerusi masjid.

“Tetapi sebenarnya, ia saling melengkapi antara satu sama lain kerana individu yang menerajuinya sama. Apa yang menyatukan peranan ini adalah nilai yang dipegang demi berkhidmat kepada masyarakat,” ujar beliau.

Beliau menyifatkan prinsip kejujuran yang telah sekian lama dipegangnya menjadi teras yang membimbingnya baik dari segi kerjaya mahupun perkhidmatan kepada masyarakat kerana impaknya boleh dilihat dan dirasakan orang lain.

“Kita perlu jujur dalam apa yang kita lakukan. Apa yang saya lakukan, apa yang saya utarakan (sebagai AP)… orang dapat lihat (dan nilai).

“Inilah pentingnya nilai kejujuran dalam berkhidmat (untuk rakyat),” ujarnya sambil tersenyum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg