Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengamat: Faktor kewangan bukan penentu tarik individu kaliber libat dalam politik
Pengamat: Faktor kewangan bukan penentu tarik individu kaliber libat dalam politik
Pertimbangan kewangan bukan satu-satunya faktor yang menentukan sama ada individu berkeupayaan dan berpengalaman memilih untuk menceburi bidang politik, demikian pandangan beberapa pemerhati yang dihubungi Berita Harian (BH).
Meskipun begitu, gaji yang kompetitif penting bagi memastikan ia tidak menghalang seseorang untuk menyumbang kepada arena politik.
Zamil Utama dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas–Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata perkara itu penting kerana khidmat politik melibatkan pengorbanan, termasuk dari segi privasi yang lebih terhad serta pendedahan lebih besar kepada pandangan dan kritikan masyarakat.
“Tambahan, seseorang mungkin boleh mendapat gaji lebih besar di sektor lain seperti perbankan, guaman perniagaan dan sebagainya, dan mungkin tidak berminat untuk masuk politik,” ujarnya.
Beliau memberi responsnya menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Parlimen pada 8 September bahawa pemerintah menerima cadangan untuk menyemak semula gaji pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP).
Ini termasuk menerima cadangan jawatankuasa untuk mengemas kini tanda aras gaji menteri peringkat permulaan gred MR4 daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP), Encik Aslam Sardar, pula berkata keseimbangan perlu dicapai dengan menyedari bahawa gaji penting, tetapi tidak mencukupi untuk menarik dan mengekalkan bakat yang diinginkan.
Individu yang mempertimbangkan peralihan kerjaya besar pada peringkat senior juga akan mengambil kira faktor seperti tujuan dan matlamat, kesan, nilai, kepimpinan, peluang untuk menyumbang kepada negara, serta mutu pasukan dan persekitaran yang bakal disertai.
“Perlu ada keseimbangan bagi memastikan pertimbangan kewangan tidak menjadikan khidmat awam satu pilihan yang tidak realistik atau terlalu sukar, terutama bagi individu yang sudah mempunyai kerjaya kukuh di peringkat senior dalam sektor swasta,” kata Encik Aslam.
“Pendekatan sedia ada yang menggunakan tanda aras pasaran dengan memberikan potongan gaji bagi khidmat awam, di samping komponen berubah-ubah yang dikaitkan dengan prestasi dan hasil untuk negara, mencapai keseimbangan yang wajar,” jelasnya lagi.
Encik Aslam menambah, matlamat berkenaan adalah untuk memastikan gaji tidak dilihat sebagai penghalang kepada individu berkeupayaan untuk tampil berkhidmat, sementara tujuan dan tanggungjawab khidmat awam kekal menjadi keutamaan.
Menyentuh tentang mekanisme penetapan gaji, Pengarah Urusan Black Dot Pte Ltd, Encik Nicholas Fang, pula berkata pemerintah perlu menerangkan dengan lebih jelas faktor, mekanisme, rasional dan prinsip di sebalik rangka kerja tersebut kepada masyarakat.
Beliau merujuk kepada ucapan Encik Wong di Parlimen yang menyatakan bahawa gaji pemegang jawatan politik merupakan “isu yang sukar dan boleh menimbulkan emosi”, memandangkan jumlah yang terlibat juga lebih tinggi daripada pendapatan kebanyakan rakyat Singapura.
Encik Fang berpendapat prinsip di sebalik rangka kerja dan cadangan jawatankuasa tersebut mencerminkan usaha Singapura untuk menarik pemimpin berkaliber tinggi yang mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk menangani isu dasar negara yang kompleks, di samping mempunyai komitmen untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.
“Oleh itu, meskipun sesetengah aspek teknikal rangka kerja mungkin rumit, adalah penting bagi setiap rakyat Singapura untuk mengetahui sebanyak mungkin mengenainya, serta memahami prinsip dan rasional di sebaliknya, agar dapat mengadakan perbincangan yang bermaklumat dan berasas mengenai isu tersebut.
“Perbahasan di Parlimen akan menjadi langkah penting dalam meningkatkan pemahaman dan kesedaran yang lebih meluas mengenai isu ini,” jelas beliau.
“
“Tambahan, seseorang mungkin boleh mendapat gaji lebih besar di sektor lain seperti perbankan, guaman perniagaan dan sebagainya, dan mungkin tidak berminat untuk masuk politik.”