Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenganalisis: Perjalanan umrah ketika ini bawa risiko lebih tinggi; keadaan mungkin cepat berubah
Penganalisis: Perjalanan umrah ketika ini bawa risiko lebih tinggi; keadaan mungkin cepat berubah
Ketegangan di Timur Tengah tingkat kemungkinan lapangan terbang ditutup, jemaah terkandas akibat serangan
Penganalisis: Perjalanan umrah ketika ini bawa risiko lebih tinggi; keadaan mungkin cepat berubah
Jemaah yang sedang membuat persiapan untuk menunaikan ibadah umrah hujung 2026 kini berdepan dengan dilema sama ada mahu meneruskan perjalanan meskipun terdapat risiko keselamatan, atau membatalkan tempahan dan menanggung kerugian kewangan susulan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah.
Antara risiko yang mungkin dihadapi termasuk penutupan lapangan terbang, serangan berterusan dan pembatalan penerbangan.
Penganalisis pertahanan utama dan penulis di firma perisikan pertahanan global, Jane’s, Encik Ridzwan Rahmat, berkata perjalanan umrah pada ketika ini membawa risiko yang lebih tinggi dengan kemungkinan keadaan akan berubah dengan pantas.
Risiko yang kian meningkat ini didorong oleh keadaan keselamatan serantau di samping kemungkinan berlakunya gangguan perjalanan yang serius.
“Dalam beberapa minggu akan datang, saya menjangkakan ketidaktentuan akan terus berlanjutan dan keadaan tidak akan kembali pulih seperti biasa dengan serta-merta.
“Operasi mungkin kembali stabil antara setiap insiden yang berlaku, tetapi satu serangan atau percubaan serangan sahaja sudah cukup untuk mencetuskan sekatan ruang udara, penutupan lapangan terbang, serta penggantungan penerbangan dengan segera,” kata Encik Ridzwan ketika dihubungi Berita Harian pada 27 Oktober.
Menurut laporan berita pihak berkuasa Arab Saudi melanjutkan penutupan lapangan terbang antarabangsa Riyadh sehingga 5 pagi pada 18 Oktober (waktu Singapura).
Ini selepas pihak Houthi mengaku menyerang lapangan terbang itu dengan peluru berpandu balistik pada 12 Oktober.
Ini berlaku sejurus selepas Arab Saudi juga berkata ia memintas dan memusnahkan satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan itu ke arah Riyadh.
Pada 25 Oktober pula, Arab Saudi sekali lagi memintas gelombang serangan peluru berpandu dan dron ketika berlakunya pertempuran dengan Houthi.
Mengulas lebih lanjut, Encik Ridzwan berkongsi kebimbangannya akan kemungkinan berlakunya serangan peluru berpandu atau dron terhadap lapangan terbang.
Meski peluru atau dron berjaya dipintas, ia mungkin mendatangkan bahaya sampingan seperti serpihan yang jatuh.
Justeru, kesan kepada kebanyakan penumpang ialah gangguan operasi penerbangan, dan bukan pesawat yang terkena serangan secara langsung, tambah beliau.
Apabila dihubungi, Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) dan beberapa ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA), berkongsi persiapan bagi tempoh sibuk ibadah umrah yang bakal tiba pada November dan Disember.
GSA yang dihubungi menambah perancangan akan diteruskan, melainkan Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengeluarkan larangan perjalanan.
Jika itu berlaku, semua perjalanan umrah akan dihentikan, kata mereka.
“Kami akan menunggu MFA mengumumkan larangan perjalanan sebelum mengambil tindakan sewajarnya seperti menghentikan rancangan ibadah umrah.
“Buat ketika ini, segala perjalanan umrah akan berlangsung seperti dirancang, termasuk bagi rombongan yang bakal bertolak pada 19 November,” kata Pengarah Urusan Shahidah Travel and Tours, Encik Ayoob Angullia.
Dalam satu kenyataan pada 14 Oktober, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menasihatkan rakyat Singapura supaya mematuhi nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh MFA pada 13 Oktober, yang mengesyorkan penangguhan semua perjalanan ke negara Timur Tengah itu selepas peningkatan serangan peluru berpandu dan dron di sana.
Bagi jemaah yang kurang selesa untuk meneruskan perjalanan, Amtas menasihatkan mereka supaya membuat pertimbangan sewajarnya dengan memahami segala implikasi yang mungkin timbul, termasuk kemungkinan kehilangan wang yang telah dibayar.
Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata sekiranya syarikat penerbangan tidak membatalkan penerbangan dan pihak berkuasa Arab Saudi tidak melarang kemasukan jemaah umrah, pembatalan perjalanan oleh jemaah bermakna mereka mungkin tidak mendapat bayaran balik tiket penerbangan atau terpaksa menanggung kos pembatalan.
“Tempahan hotel telah dibuat, visa umrah atau pelancong telah dikeluarkan, manakala tiket kereta api bagi sebahagian jemaah juga telah dibeli.
“Semua urusan ini melibatkan kos dan pembatalan perjalanan akan mengakibatkan kerugian kewangan,” jelas Encik Haffidz.
Selain beliau, Setiausaha Kehormat Amtas, Ustazah Juyda Noor Mohamad, menasihati sekiranya jemaah ingin membatalkan perjalanan, mereka perlu memahami situasi semasa dan menghubungi agensi pelancongan masing-masing kerana setiap agensi mungkin mempunyai prosedur operasi yang berbeza.
“Bukan ejen pelancongan enggan memberikan bayaran balik, tetapi penyedia perkhidmatan mereka mungkin keberatan untuk berbuat demikian kerana masih menerima jemaah dari dalam dan luar negara.
“Nasihat perjalanan itu bertujuan membantu jemaah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi.
“Jika mereka bimbang untuk meneruskan perjalanan, mereka juga perlu memahami kesan pembatalan, termasuk implikasi kewangan jika perjalanan dibatalkan pada saat-saat akhir,” kata Ustazah Juyda, yang juga Pengarah Noor Mohamad Services & Travel.
Dalam pada itu, para peguam berpendapat tindakan agensi pelancongan meneruskan tawaran pakej umrah meskipun terdapat nasihat perjalanan tidak semestinya menyalahi undang-undang, kerana nasihat perjalanan berbeza daripada larangan perjalanan.
Bagaimanapun, ejen itu perlu menjelaskan dengan terang syarat pembatalan kepada pelanggan serta mengelakkan sebarang jaminan mengelirukan mengenai keselamatan perjalanan, kepastian penerbangan atau perlindungan insurans, kata peguam dan pemilik firma guaman A Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip.
Isu utama bukan sama ada agensi pelancongan boleh meneruskan tawaran pakej umrah atau sebaliknya, tetapi sama ada jemaah telah dimaklumkan sepenuhnya mengenai risiko yang terlibat, kongsi Encik Amrun Hisyam, peguam daripada Crescent Law Chambers LLC.
Oleh itu, untuk melindungi diri sendiri, Encik Rohim berkata terdapat beberapa saluran undang-undang bagi jemaah, seperti mendapatkan bantuan daripada Persatuan Pengguna Singapura (Case), atau melaporkannya kepada Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Tuntutan yang memenuhi syarat boleh dibawa ke Tribunal Tuntutan Kecil, bagi jumlah sehingga $20,000, atau $30,000 jika kedua-dua pihak memberikan persetujuan bertulis, yang perlu difail dalam tempoh dua tahun.
“
“Operasi mungkin kembali stabil antara setiap insiden yang berlaku, tetapi satu serangan atau percubaan serangan sahaja sudah cukup untuk mencetuskan sekatan ruang udara, penutupan lapangan terbang, serta penggantungan penerbangan dengan segera.”“
“Jika mereka bimbang untuk meneruskan perjalanan, mereka juga perlu memahami kesan pembatalan, termasuk implikasi kewangan jika perjalanan dibatalkan pada saat-saat akhir.”