Pemegang jawatan awam di Singapura mesti memegang standard kewibawaan dan kelakuan yang tertinggi kerana piawaian etika tinggi bertindak sebagai pencegah terhadap rasuah, salah laku jenayah dan penyalahgunaan kuasa, kata penganalisis politik.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) susulan peletakan jawatan politik mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, penganalisis berkata standard lebih tinggi diperlukan bagi memastikan mereka yang memimpin negara mempunyai perwatakan baik serta tidak mengeksploitasi atau menyalahgunakan kuasa demi keuntungan peribadi.

Namun, mereka turut memberi perhatian bahawa satu keseimbangan yang baik perlu dicapai, memandangkan penelitian yang keterlaluan dan tindakan yang bersifat menghukum boleh menghalang individu berkebolehan daripada menceburi bidang politik.

Dalam kes Dr Faishal, penganalisis berkata ia telah menimbulkan persoalan tentang di manakah letaknya had batasan antara kesilapan peribadi dengan kepentingan awam, terutama apabila kesilapan yang berlaku tidak melibatkan unsur jenayah, rasuah atau penyalahgunaan kuasa yang disyaki.

Pada 20 Julai, diumumkan bahawa Dr Faishal telah melepaskan semua jawatan politik berikutan satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita.

Ia dilaporkan bahawa sebahagian besar interaksi beliau dan wanita itu berlaku melalui mesej dalam talian dan mereka juga bertemu di luar acara awam, namun hubungan fizikal antara mereka tidak pernah wujud.

PERLU STANDARD TINGGI TETAPI DI MANAKAH BATASNYA?

Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, berkata kes salah laku politik baru-baru ini, termasuk kes Dr Faishal, mengukuhkan prinsip Singapura bahawa pemegang jawatan awam mesti memenuhi standard kewibawaan tertinggi.

Meskipun tiada kesalahan jenayah berlaku, pemerintah akan melepaskan pegawai yang kelakuan peribadinya tidak memenuhi penanda aras etika, dan tindakan ini diperlukan untuk melindungi kepercayaan orang ramai terhadap institusi pemerintah.

Namun, Dr Faizal berkata peletakan jawatan tersebut telah mencetuskan perdebatan awam tentang di manakah letaknya had batasan itu.

Dalam kes Dr Faishal, isunya melibatkan mesej dalam talian dan bukannya dakwaan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku jenayah.

“Ramai penganalisis memandang peletakan jawatan yang pantas ini sebagai bukti bahawa pemimpin dipertanggungjawabkan secara tegas atas tingkah laku mereka, yang menunjukkan bahawa moral peribadi dan batasan profesional adalah sama pentingnya dengan undang-undang rasmi.

“Namun, tindakan meneliti kelakuan peribadi, terutamanya interaksi dalam talian, memaksa sebilangan masyarakat untuk mempertimbangkan sejauh mana pengawasan pemerintah sepatutnya melangkaui kehidupan peribadi dan digital penjawat awam,” ujar beliau.

Profesor Madya Chong Ja Ian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) pula berkata pemegang jawatan awam perlu mematuhi standard tertinggi yang dituntut jawatan mereka.

Namun, dalam kes Dr Faishal, kurangnya maklumat terperinci membuka ruang persoalan tentang sejauh manakah kehidupan peribadi seseorang tokoh awam harus dijadikan bahan penilaian umum.

“Situasi peribadi, termasuk hubungan kekeluargaan dan rumah tangga, boleh menjadi rumit.

“Ia sering kali merupakan urusan individu terbabit, hati nurani mereka, serta keluarga mereka.

“Perkara sedemikian sukar difahami orang luar, apatah lagi untuk dihakimi oleh awam,” kata beliau.

Pemerhati politik bebas yang juga pensyarah Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Felix Tan, berpendapat meskipun pemegang jawatan awam perlu mematuhi standard tertinggi, apa yang sama penting adalah standard tersebut diterapkan secara konsisten dan seimbang.

Berhubung kes Dr Faishal, beliau berkata sekiranya mesej teks yang didakwa itu dianggap cukup serius hingga mewajarkan peletakan jawatan seorang menteri, maka adalah munasabah untuk bertanyakan sama ada tanda aras sama harus digunakan bagi kesemua pemegang jawatan awam lain.

“Walaupun saya bersetuju bahawa kata-kata itu penting, sebarang penilaian juga harus mengambil kira sifat, konteks, dan tahap keseriusan komunikasi tersebut.

“Tanpa kejelasan lanjut mengenai apa yang sebenarnya telah dikatakan, adalah sukar untuk menilai sama ada tindakan yang diambil itu adalah seimbang atau sebaliknya,” jelas beliau.

KOD PANDUAN, STANDARD SALAH LAKU BERBEZA DIPERLUKAN

Pada masa sama, Dr Tan berkata reaksi orang ramai terhadap kes Dr Faishal menunjukkan bahawa jangkaan terhadap tingkah laku menteri – sama ada dalam komunikasi awam mahupun peribadi – telah menjadi semakin ketat.

Ini boleh mengukuhkan asas wajar bagi mewujudkan kod etika atau panduan lebih jelas yang mengawal standard profesional yang diharapkan daripada pemegang jawatan awam, terutama dalam interaksi mereka dengan anggota masyarakat, kata beliau.

Dr Chong menambah, perlu ada pembezaan standard bagi pelbagai jenis salah laku, sepertimana orang ramai secara umumnya menerima bahawa terdapat tahap hukuman berbeza bagi pelbagai jenis tingkah laku.

“Bagi mereka yang memegang jawatan awam, salah satu soalan pertama adalah sama ada sesuatu perbuatan itu berpotensi menghalang keupayaan mereka untuk melaksanakan tugas mereka dengan menjejas pertimbangan, ketegasan, keadilan, dan keupayaan mereka untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa,” kata beliau.

KESEIMBANGAN PERLU DICAPAI

Bagaimanapun, beberapa penganalisis menarik perhatian bahawa standard yang terlalu ketat boleh menjejas usaha menarik bakat baharu ke dalam arena kepimpinan politik.

Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata penelitian yang terlalu mendalam terhadap kehidupan peribadi serta ketiadaan privasi boleh menimbulkan “kesan pelembapan” (dampening effect) ke atas usaha Parti Tindakan Rakyat (PAP) menarik bakat politik.

Ini kerana individu mungkin berasa mereka perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada mereka benar-benar ‘bersih sebersih-bersihnya’.

“Keseimbangan yang lebih baik perlu dicapai.

“Memang benar, setiap kes salah laku bergantung kepada fakta kes itu sendiri, dan kita tidak boleh menetapkan syarat secara tegar tentang bila seseorang pemegang jawatan awam mesti meletak jawatan.

“Namun, kejelasan lebih lanjut amat diperlukan untuk orang awam.

“Rakyat Singapura tidak mengharapkan ahli politik menjadi insan yang suci daripada dosa atau lambang kesempurnaan moral. Mereka juga sedar bahawa ahli politik hanyalah manusia biasa yang turut mempunyai kelemahan,” ujar beliau.

Zamil Penyelidik Kanan di IPS, Dr Teo Kay Key, berkata pendekatan ‘bersih sebersih-bersihnya’ ibarat pedang bermata dua kerana walaupun hukuman berat mampu mencegah penyalahgunaan kuasa, ia juga berisiko menakutkan individu berkebolehan daripada menceburi bidang politik akibat penelitian yang keterlaluan.

“Oleh itu, ia boleh menyebabkan usaha menarik calon baharu menjadi jauh lebih sukar kerana mereka semua perlu diyakinkan bahawa mereka mampu memenuhi standard yang tinggi ini secara berterusan.

“Bagi pihak pengundi pula, walaupun wujud jaminan bahawa salah laku tidak boleh ditoleransi, sesetengah segmen masyarakat mungkin mula meneliti setiap tindakan semua ahli politik dan menetapkan standard yang lebih ketat daripada parti politik itu sendiri.

“Ini boleh mencetuskan kitaran di mana pihak parti terpaksa bertindak balas terhadap isu-isu tertentu pada skala yang jauh lebih besar daripada yang sepatutnya,” kata beliau. – Laporan tambahan ANWAR SALEH

“Ramai penganalisis memandang peletakan jawatan yang pantas ini sebagai bukti bahawa pemimpin dipertanggungjawabkan secara tegas atas tingkah laku mereka, yang menunjukkan bahawa moral peribadi dan batasan profesional adalah sama pentingnya dengan undang-undang rasmi. Namun, tindakan meneliti kelakuan peribadi, terutamanya interaksi dalam talian, memaksa sebilangan masyarakat untuk mempertimbangkan sejauh mana pengawasan pemerintah sepatutnya melangkaui kehidupan peribadi dan digital penjawat awam.”
Dr Faizal Yahya, Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS).

“Keseimbangan yang lebih baik perlu dicapai. Memang benar, setiap kes salah laku bergantung kepada fakta kes itu sendiri, dan kita tidak boleh menetapkan syarat secara tegar tentang bila seseorang pemegang jawatan awam mesti meletak jawatan. Namun, kejelasan lebih lanjut amat diperlukan untuk orang awam. Rakyat Singapura tidak mengharapkan ahli politik menjadi insan yang suci daripada dosa atau lambang kesempurnaan moral. Mereka juga sedar bahawa ahli politik hanyalah manusia biasa yang turut mempunyai kelemahan.”
Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

“Situasi peribadi, termasuk hubungan kekeluargaan dan rumah tangga, boleh menjadi rumit. Ia sering kali merupakan urusan individu terbabit, hati nurani mereka, serta keluarga mereka. Perkara sedemikian sukar difahami orang luar, apatah lagi untuk dihakimi oleh awam.”
Profesor Madya Chong Ja Ian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).