Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasyarakat kenang sumbangan Faishal
Masyarakat kenang sumbangan Faishal
Masyarakat kenang sumbangan Faishal
Rakyat Singapura terus memberikan penghargaan mereka susulan berita tentang peletakan jawatan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai penjawat politik pada 20 Julai.
Mereka menyifatkan Dr Faishal sebagai seorang wira berjiwa rakyat yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam menghulurkan bantuan.
Menurut mereka, sentuhan manusiawi dan kemesraan beliau bersama masyarakat pastinya akan diingati.
Usaha dan sumbangan Dr Faishal tidak hanya terbatas kepada masyarakat Melayu/Islam semata-mata, tambah mereka ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Setiausaha Majlis Jawatankuasa Kegiatan Melayu (MAEC) Nee Soon South, Cik Siti Roziah Pauzan, 60 tahun, berkata Dr Faishal sebagai seorang ‘wira’ yang sentiasa mencari jalan untuk memastikan inisiatif masyarakat dapat diteruskan demi manfaat penduduk.
Bimbingan dan sokongan Dr Faishal dalam menghubungkan sukarelawan dengan sumber geran yang sesuai telah meringankan beban kewangan mereka.
Ini sekali gus membolehkan pelbagai program kejiranan diteruskan demi manfaat masyarakat seperti sambutan Hari Kebangsaan, sesi senaman, sambutan hari jadi warga emas dan aktiviti pelbagai kaum, katanya.
“Dulu kami banyak guna duit sendiri untuk buat program. Selepas Dr Faishal nampak usaha kami, beliau bantu rujuk kepada pihak yang sesuai supaya kami dapat memohon geran,” ujar Cik Siti.
Seorang penduduk Nee Soon dan juga ketua kariah di Blok 607, Encik Shariff Ahmad, 72 tahun berkata Dr Faishal kerap membantu mempercepatkan proses penggunaan kolong blok bagi solat tarawih.
“Apabila dengar beliau meletakkan jawatan, saya sedihlah kerana beliau sangat bagus, apa-apa beliau tolong,” kata Encik Shariff.
Turut melalui pengalaman baik dengan Dr Faishal ialah pemilik bersama kedai kopi Mak Itam’s Corner di Yishun, Encik Roslan Panick, 65 tahun.
Walaupun Dr Faishal dipindahkan ke GRC Marine Parade-Braddell Heights selepas Pilihan Raya Umum 2025, beliau tidak pernah benar-benar meninggalkan Nee Soon, kata Encik Roslan.
“Walaupun beliau sudah berpindah, beliau masih datang. Lepas solat Jumaat dan tarawih, beliau singgah di kedai kopi, berbual dengan penduduk. Kami anggap beliau macam keluarga,” katanya.
Pada 20 Julai, Dr Faishal telah meletak jawatan daripada semua jawatan politik termasuk sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Ia susulan insiden ‘kesilapan pertimbangan’ melibatkan interaksi dalam talian antara beliau dengan seorang wanita.
Berikutan pengunduran beliau, beberapa rakyat Singapura lain turut melahirkan penghargaan terhadap usaha dan perkhidmatan Dr Faishal selaku pemimpin masyarakat Melayu/Islam sebelum ini.
Presiden Perikatan Kampong Gelam (KGA), Encik Zaki Ma’arof, berkata:
“Beliau merupakan seorang perwira, tokoh yang menunjukkan perhatian apabila berinteraksi, berjiwa masyarakat dan bersungguh-sungguh apabila membantu.
“Kemajuan yang kita lihat di Kampong Gelam sekarang adalah hasil kerja keras dan arahan beliau yang selalu terlebih dahulu menanyakan hal ehwal keadaan.”
Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abdul Malik Hassan, pula berkata Dr Faishal aktif mendorong dewan itu bekerja lebih rapat dengan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan meluaskan rangkaian kepada perniagaan Muslim, India dan Cina.
Encik Abdul Malik mengakui rasa terkejut dan kecewa apabila mendapat tahu tentang berita peletakan jawatannya itu.
“Saya akan mengingati sifat rendah hati dan cara beliau menghormati insan daripada pelbagai latar belakang,” tambahnya.
