Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ComfortDelGro, SBS Transit akan pindah dari Braddell Rd apabila pajakan tamat 2026

Jun 18, 2025 | 6:43 PM
Kakitangan yang terjejas akan dipindahkan secara bertahap dari Oktober ke lokasi lain, bergantung pada jenis pekerjaan.
Kakitangan yang terjejas akan dipindahkan secara bertahap dari Oktober ke lokasi lain, bergantung pada jenis pekerjaan. - Foto COMFORTDELGRO

Syarikat pengangkutan gergasi, ComfortDelGro dan anak syarikatnya SBS Transit, akan berpindah dari ibu pejabat mereka di Braddell Road apabila pajakan premis itu tamat pada Ogos 2026.

The Straits Times difahamkan bahawa kakitangan yang terjejas akan dipindahkan secara bertahap mulai Oktober ke lokasi lain syarikat, bergantung pada jenis tugas mereka.

Selain ibu pejabat Braddell, hartanah ComfortDelGro yang lain di sini termasuk depoh bas di Bedok dan Bukit Batok, bengkel kenderaan di Ubi, Loyang, Senoko dan Pandan Road, pusat pemeriksaan di Yishun dan Changi, serta premis di Sin Ming.

SBS Transit pula mempunyai pejabat pentadbiran di beberapa depoh bas dan kereta api yang dibina dan dimiliki oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). Ia termasuk Depoh Rel Sengkang dan Depoh Bas Sengkang West yang baru dibina.

Menurut laporan tahunan 2024 ComfortDelGro, pajakan semasa ibu pejabat di Braddell Road itu adalah untuk tempoh 36 tahun dan 10 bulan.

Ini didahului oleh pajakan awal yang bermula pada 1974 oleh syarikat yang kemudian dikenali sebagai Perkhidmatan Bas Singapura, menurut laporan tahunan dari 1980-an.

Pengendali bas itu kemudian menjadi anak syarikat DelGro Corporation, dan dijenamakan semula pada 2001 sebagai SBS Transit.

DelGro Corporation kemudian bergabung dengan syarikat teksi Comfort Group pada 2003 untuk membentuk ComfortDelGro yang ada kini.

Diminta mengulas, ComfortDelGro, tidak menyatakan mengapa ia tidak melanjutkan atau memperbaharui pajakan di tapak Braddell. Ia juga tidak menjawab pertanyaan tentang lokasi ibu pejabat korporat barunya.

Ibu pejabat syarikat itu sekarang terletak di atas sebidang tanah seluas 66,441 meter persegi di 205 Braddell Road. Saiznya setara dengan sembilan padang bola.

Tapak itu menempatkan kemudahan ruang pejabat, bengkel, pam diesel dan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).

SBS Transit juga ditempatkan di Braddell, tempat ia menyimpan dan menyelenggara bas awam.

Jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu, berkata pengendali pengangkutan awam itu telah berada di Braddell sejak 1980.

Menjelang akhir 2025, SBS Transit akan memindahkan kakitangan pejabatnya ke Depoh Rel Sengkang dan Depoh Bas Sengkang Barat, kata Cik Wu.

Sementara itu, operasinya akan dipindahkan ke Depoh Bas Hougang. Ini akan melibatkan pemindahan kira-kira 200 bas ke depoh di Defu Avenue 1.

Cik Wu menambah: “Ia akan berjalan seperti biasa tanpa kesan yang dijangkakan pada operasi harian kami.”

Bagi pemandu teksi, ComfortDelGro berkata bengkel penyelenggaraannya di premis Braddell Road akan terus memberi perkhidmatan kepada pemandu teksi di kawasan tengah, sehingga hab automotif lima tingkat yang baru di Ubi dibuka pada suku pertama 2026 untuk menggantikannya.

Pembinaan hab itu dimulakan pada Oktober 2024, di alamat yang sama dengan bengkel penyelenggaraan sebelumnya di Ubi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg