Siasatan awal terhadap gangguan perkhidmatan kereta api di Laluan MRT Timur Laut (NEL) dan sistem LRT Sengkang-Punggol (SPLRT) pada 12 Ogos telah memberi lebih banyak petunjuk berkaitan punca gangguan itu.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam catatan Facebook pada 13 Ogos, berkata lonjakan elektrik telah merosakkan satu daripada dua papan suis di sebuah pencawang di depoh NEL di Sengkang, yang menyalurkan kuasa ke sistem rel yang terjejas.
Pada masa yang sama, lonjakan elektrik juga mencetuskan ciri keselamatan yang bertujuan untuk melindungi papan suis kedua daripada kerosakan, menyebabkan ia juga ditutup, kata LTA.
Papan suis mengagihkan kuasa daripada sumber elektrik kepada beberapa litar yang lebih kecil.
Pihak berkuasa berkata kedua-dua papan suis itu lazimnya bertindak sebagai sandaran antara satu sama lain, maka kuasa boleh terus dibekalkan sekiranya satu terputus.
Tetapi pada 12 Ogos, bekalan kuasa dari Depoh Sengkang terputus sepenuhnya akibat kedua-dua papan suis terganggu.
Oleh kerana itu, SBS Transit terpaksa menyambungkan papan suis berfungsi kedua secara manual kepada sumber kuasa sandaran di Dhoby Ghaut, bagi memulihkan perkhidmatan kereta api secara progresif.
Sementara LTA terus menyiasat kejadian itu, yang merupakan gangguan perkhidmatan kedua yang lama melanda rangkaian rel Singapura dalam masa dua minggu, pihak berkuasa dan SBS Transit juga sedang mengkaji cara untuk menjadikan sistem kuasa lebih berdaya tahan, katanya.
Disebabkan gangguan bekalan elektrik pada 12 Ogos, sebilangan penumpang terpaksa berjalan di sepanjang landasan NEL untuk ke stesen terdekat, kerana kereta api yang bergerak antara 11 stesen NEL, Farrer Park dengan Punggol Coast, terhenti.
Gangguan di NEL berlangsung sekitar tiga jam, selepas 11 pagi hingga 2.10 petang, apabila perkhidmatan kereta api dipulihkan sepenuhnya.
SPLRT terjejas teruk, dengan perkhidmatan kereta apinya disambung semula sepenuhnya 10 jam kemudian pada sekitar 9.20 malam.
Ketua Eksekutif Kumpulan SBS Transit, Encik Jeffrey Sim, sebelum ini berkata kegagalan papan suis kuasa di pencawang Depoh Sengkang telah menyebabkan pelepasan elektrik yang tidak diingini dalam peranti yang digunakan untuk mengawal bekalan kuasa.
Ini mengakibatkan gangguan kuasa yang melumpuhkan NEL dan SPLRT.
Peranti ini, dipanggil pengubah voltan, menukar voltan tinggi kepada tahap yang lebih rendah dan lebih selamat.
Encik Sim berkata pengubah voltan yang rosak tidak dapat dibaiki serta-merta selepas gangguan kuasa, lantas SBS Transit memutuskan untuk menarik kuasa dari pencawangnya yang lain di Dhoby Ghaut.
LTA berkata pada 13 Ogos bahawa jurutera LTA dan SBS Transit kemudiannya bekerja sepanjang malam untuk memulihkan bekalan kuasa ke pencawang depoh NEL dan memastikan keselamatan sistem tersebut.
Di samping itu, sekitar 350 kakitangan LTA dan SBS Transit, di samping kakitangan stesen biasa, telah dikerahkan ke stesen yang terjejas untuk membantu penumpang semasa kerosakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg