Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jeffrey Siow: Gangguan jejas sistem kereta api mengecewakan

Sektor pengangkutan awam “boleh dan akan berusaha lebih baik” susulan gangguan
Aug 6, 2025 | 4:25 PM
SMRT mengumumkan perkhidmatan kereta api disambung semula pada sekitar 11 pagi selepas mengalami gangguan selama lima jam di Laluan Timur-Barat pada 6 Ogos.
SMRT mengumumkan perkhidmatan kereta api disambung semula pada sekitar 11 pagi selepas mengalami gangguan selama lima jam di Laluan Timur-Barat pada 6 Ogos. - Foto ST

Siri gangguan yang menjejas sistem kereta api Singapura sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah “mengecewakan”, dan industri pengangkutan awam “boleh dan akan berusaha lebih baik”, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

Dalam satu hantaran Facebook pada 6 Ogos selepas perkhidmatan MRT di Laluan Timur-Barat disambung semula berikutan gangguan perkhidmatan selama lima jam, Encik Siow berkata gangguan tersebut telah berlaku di pelbagai laluan dan ia tidak saling berkait.

“Saya faham akan kekecewaan para penumpang setiap kali berlaku kelewatan atau gangguan perkhidmatan kereta api, kerana ia mengganggu rutin harian dan merosakkan perancangan mereka.

“Meskipun begitu, masalah itu tidak dapat dihapuskan sepenuhnya dan akan berlaku dari semasa ke semasa,” kata beliau. 

Malah, perkara yang boleh diperbaiki ialah cara maklumat disampaikan kepada penumpang semasa berlaku kelewatan, serta membantu mereka mencari laluan alternatif ke destinasi masing-masing, tambah beliau. 

Encik Siow turut berkata bahawa pengumuman mengenai tambahan masa perjalanan hanyalah sebagai anggaran, dan masa perjalanan sebenar penumpang bergantung pada lokasi mula dan destinasi mereka.

“Kini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan terus bekerjasama dengan pengendali kereta api untuk menjalankan latihan secara lebih kerap bagi meningkatkan sokongan kepada penumpang dalam pelbagai senario gangguan perkhidmatan,” ujar beliau.

Sebelum itu, diumumkan bahawa perkhidmatan kereta api di Laluan Timur-Barat telah disambung semula pada sekitar 11 pagi hari tersebut.

Dalam hantaran Facebook pada 11.20 pagi, pengendali rel SMRT menjelaskan bahawa jurutera telah turun ke landasan selepas waktu sibuk pagi untuk menjalankan siasatan dan berjaya membaiki masalah tersebut.

Lebih ramai kakitangan turut dikerah untuk membantu penumpang dan mengawal orang ramai di stesen-stesen yang terjejas.

Dengan itu, perkhidmatan bas biasa percuma dan bas pengantara telah dihentikan, kata SMRT pada hari yang sama.

Gangguan tersebut telah menyebabkan para penumpang mengalami kelewatan dalam perjalanan mereka seawal 6 pagi.

Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, berkata kerosakan pada mesin titik landasan berlaku berhampiran stesen Jurong East ketika perkhidmatan bermula pada pagi 6 Ogos yang menyebabkan kereta api terpaksa dipandu pada kelajuan 18 kilometer sejam (km/j) bagi memastikan operasi selamat.

Kereta api biasanya bergerak pada kelajuan antara 60 km/j dengan 80 km/j, lapor The Straits Times (ST).

Antara stesen yang terjejas termasuk Boon Lay dan Clementi, dengan SMRT menggesa orang ramai agar menggunakan pilihan perjalanan alternatif antara stesen-stesen tersebut.

SMRT kemudian melanjutkan makluman kelewatan itu sehingga ke stesen Buona Vista.

Ini bermakna stesen Dover turut terjejas, dengan tempoh perjalanan meningkat sekurang-kurangnya kepada 25 minit.

Meskipun begitu, para penumpang pada waktu pagi telah melaporkan di Facebook bahawa mereka mengalami tempoh menunggu sehingga 45 minit di stesen-stesen terjejas yang menyebabkan mereka lewat tiba di tempat kerja.

Ada juga yang melaporkan terpaksa menunggu lebih lama di stesen-stesen Laluan Utara-Selatan seperti di Marsiling, Admiralty dan Kranji.

Sebelum ini, para penumpang di laluan itu turut mengalami gangguan perjalanan selama enam hari akibat kerosakan kepada sebuah kereta api Kawasaki Heavy Industries (KHI) generasi pertama, yang telah beroperasi lebih 35 tahun.

Ia mengalami kerosakan pada sekitar 9 pagi pada 25 September ketika dalam perjalanan ke arah Timur di EWL berhampiran stesen Clementi.

Menurut LTA dan SMRT, kereta api itu kemudian diarah kembali ke Depoh Ulu Pandan dan dalam perjalanannya ke sana, kotak gandar gerabak ketiga dari enam-gerabak kereta api itu tercabut dan jatuh.

Ini menyebabkan roda bogi – struktur di bawah kereta api yang menyokong dan membantu kereta api bergerak dengan lancar di atas rel – terputus keluar dari rel, sekali gus merosakkan peralatan landasan dengan teruk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg