Sekitar separuh daripada caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang terlepas bayar telah dilunaskan menerusi peranti unit dalam kenderaan atau on-board unit (OBU) pada September - iaitu tempoh ciri peranti canggih itu dilancarkan.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata pada 19 Oktober bahawa kira-kira 19,800 daripada 40,200 caj ERP yang terlepas bayar itu diselesaikan melalui OBU, lapor The Straits Times.
Lapan daripada 10 pembayaran yang tidak dilunaskan itu telah diselesaikan dalam tempoh tangguh lima hari, meningkat daripada lebih enam daripada 10 sebelumnya.
LTA berkata pada Ogos lalu yang sekitar 15,400 kes, atau lebih 60 peratus daripada caj ERP terlepas bayar bulanan, telah dilunaskan dalam tempoh lima hari.
Sejak pemasangan OBU dalam kenderaan baru dan sedia ada bermula pada November 2023, LTA telah memperkenalkan ciri baru untuk memenuhi keperluan pemandu.
Ini termasuk menyediakan makluman trafik masa nyata, ketersediaan tempat letak kereta di bangunan utama dan penutupan jalan untuk acara penting, serta fungsi untuk menggantung OBU buat sementara waktu apabila pemandu mempunyai kupon letak kereta percuma.
Dalam perancangan adalah ciri-ciri untuk membayar lesen penggunaan kereta hujung minggu, tol di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas serta tempat letak kereta di tepi jalan.
Encik Mohamed Salahudeen, 52 tahun, adalah antara pemandu yang melunaskan caj ERP yang terlepas bayar pada September dengan menggunakan paparan skrin sentuh OBU.
Kad nilai tersimpan jurutera itu tidak dimasukkan dengan betul dalam OBU apabila beliau melepasi gantri ERP di Ekpreswe Kallang-Paya Lebar dalam perjalanan ke tempat kerja.
Beliau segera dimaklumkan tentang caj yang tidak dibayar dan dapat menyelesaikannya ketika berada dalam keretanya.
Sebelum ini, beliau pernah terlepas bayar menerusi surat pemberitahuan yang dihantar ke rumahnya dan didenda $70.
“Kali ini lebih mudah,” tambahnya.
Pemandu kenderaan boleh terlepas membuat pembayaran ERP apabila wang dalam kad nilai tersimpan tidak mencukupi atau tiada kad dalam OBU atau dimasukkan secara salah.
Pembayaran caj ERP dengan OBU telah diperkenalkan pada 1 September di samping menerusi laman web OneMotoring LTA dan stesen pembayaran AXS.
Apabila pemilik kereta mempunyai caj ERP yang belum dilunaskan, ikon merah dan putih akan muncul pada skrin paparan OBU.
Pembayaran boleh dibuat melalui paparan skrin sentuh apabila kenderaan tidak bergerak, dengan jumlahnya ditolak daripada kad nilai tersimpan dalam OBU.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg