HONG KONG: Keputusan Singapura mengenakan levi untuk meningkatkan penggunaan bahan api jet yang lebih hijau mungkin mempunyai “kesan melembapkan perjalanan udara”, dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) mungkin tidak mengesyorkan dasar sedemikian di tempat lain, kata pegawai badan itu.
Bagaimanapun, memandangkan kekangan tanah Singapura dan kapasiti terhad dalam menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), levi – yang akan disalurkan kepada dana untuk mendapatkan bahan api itu – lebih sesuai untuk negara itu, kata Dr Marie Owens Thomsen, naib presiden kanan bagi kelestarian dan ketua ekonomi Iata.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di Simposium Kelestarian Dunia Iata pada 22 Oktober.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), pada 14 Oktober, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang untuk mengenakan levi tetap ke atas semua penerbangan berlepas mulai 2026 bagi menyokong penggunaan SAF oleh syarikat penerbangan.
Sasarannya adalah bagi bahan api tersebut membentuk satu peratus daripada semua bahan api jet yang digunakan di Lapangan Terbang Changi dan Seletar pada 2026 dan akan menaikkannya kepada tiga hingga lima peratus menjelang 2030.
Anggaran awal pihak berkuasa ialah penumpang kelas ekonomi mungkin dikenakan levi tambahan $3 untuk penerbangan jarak dekat, $6 untuk penerbangan jarak sederhana dan $16 untuk penerbangan jarak jauh.
Bahan api penerbangan mampan, kebanyakannya diperbuat daripada minyak masak terpakai, telah dianggap sebagai cara paling praktikal untuk menyahkarbonkan industri penerbangan.
Ini kerana ia boleh diadun dengan bahan api jet dan digunakan pada pesawat sedia ada serta sistem pengisian bahan api tanpa sebarang pengubahsuaian yang mahal.
Iata – persatuan perdagangan untuk syarikat penerbangan – lebih memihak kepada insentif pemerintah untuk meningkatkan penggunaan SAF, seperti di Amerika Syarikat, yang menawarkan kredit cukai dan pembiayaan kepada pengeluar bahan api hijau.
Ia menentang dasar SAF yang mewajibkan penggunaan peratusan tertentu bahan api hijau oleh syarikat penerbangan apabila bekalan bahan api tersebut masih terhad.
Mandat sedemikian - yang telah dilaksanakan di Kesatuan Eropah dan Britain sejak awal 2025 - telah menaikkan harga bahan api sedemikian dan menyebabkan syarikat penerbangan dikenakan penalti kerana tidak memenuhi campuran apabila bekalannya rendah, kata Iata lagi.
Bagaimanapun, persatuan itu mendapati pendekatan Singapura berbeza dan kreatif, berdasarkan keadaannya.
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan menubuhkan dana untuk mendapatkan dan mengurus bahan api hijau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg