Isi rumah terlepas agihan baucar pengangkutan boleh mohon dari 20 Jan
Isi rumah terlepas agihan baucar pengangkutan boleh mohon dari 20 Jan
Fasa kedua bermula bagi skim bantuan Baucar Pengangkutan Awam Dis 2025 bernilai $60
Isi rumah yang terlepas daripada menerima pengagihan automatik Baucar Pengangkutan Awam (PTV) pada Disember 2025, kini boleh memohon skim bantuan ini apabila mulanya fasa kedua pengagihan ini.
Permohonan akan dibuka pada 20 Januari bagi baucar tersebut yang bernilai sebanyak $60 setiap satu.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah untuk membantu isi rumah yang berpendapatan rendah dalam menghadapi perubahan ke atas tambang pengangkutan awam.
Sewaktu fasa pertama pengagihan ini pada Disember 2025, surat pemberitahuan telah dihantar secara automatik kepada anggaran 300,000 isi rumah yang telah menerima baucar ini pada 2024 dan yang masih menepati kriteria kelayakan pendapatan.
Kriteria kelayakan pendapatan kekal sama sejak fasa yang pertama iaitu pendapatan isi rumah bulanan setiap orang yang tidak melebihi $1,800.
Bagi isi rumah yang telah menerima baucar ini pada Disember 2025, mereka tidak layak untuk menerima lagi pada fasa kedua ini.
Fasa kedua pengagihan baucar akan dibuka dari 20 Januari hingga 31 Oktober 2026.
Isi rumah yang menepati kriteria kelayakan pendapatan tetapi tidak menerima baucar ini pada fasa pertama boleh memohon secara dalam talian atau di kelab masyarakat (CC) berdekatan mereka.
Bagi isi rumah yang memerlukan bantuan tambahan termasuklah yang tidak menepati kriteria kelayakan pendapatan, mereka masih boleh membuat permohonan secara dalam talian atau di kelab masyarakat juga.
Baucar PTV ini boleh digunakan untuk menambah nilai kad tambang atau membeli pas bulanan.
Bagi isi rumah yang telah menerima surat pemberitahuan, mereka boleh mengikuti arahan yang terdapat dalam surat tersebut untuk mendapatkan baucar.
Baucar tersebut dapat diraih melalui aplikasi atau kios SimplyGo, kios tambah nilai, kios perkhidmatan bantuan, pejabat tiket SimplyGo ataupun pusat perkhidmatan tiket SimplyGo.
Baucar ini sah digunakan sehingga 31 Mac 2027.

