Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jetstar Asia tutup selepas 31 Julai, lebih 500 kakitangan terjejas

Jun 11, 2025 | 9:03 AM
Pesawat Jetstar yang baru berlepas dari Lapangan Terbang Changi, dalam gambar pada awal 2025 ini.
Pesawat Jetstar yang baru berlepas dari Lapangan Terbang Changi, dalam gambar pada awal 2025 ini. - Foto ST

Jetstar Asia akan menghentikan operasi selepas 31 Julai ini, langkah yang dikatakan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Singapura itu sebagai ‘penstrukturan semula strategik’.

Lebih 500 kakitangan terjejas akibat penutupan itu, dengan syarikat penerbangan tersebut berkata ia akan menawarkan sokongan kepada kakitangannya, termasuk pampasan pemberhentian kerja dan peluang pekerjaan baru, dalam satu kenyataan pada 11 Jun.

Jetstar Asia berkata ia akan meneruskan operasi penerbangan bagi tujuh minggu akan datang, tetapi dengan jadual penerbangan yang dikurangkan secara berperingkat bagi rangkaian antarabangsa penerbangan jarak dekat dari Singapura menjelang hari terakhir operasi pada 31 Julai 2025.

Syarikat penerbangan itu ialah anak syarikat Qantas Group dan Qantas Group berkata 16 penerbangan antara negara Asia terjejas akibat penutupan Jetstar Asia. Khidmat penerbangan Jetstar Airways (JQ) dan Jetstar Japan (GH) ke Asia tidak terjejas.

“Semua perkhidmatan penerbangan antarabangsa keluar masuk Australia yang dikendalikan Jetstar Airways tidak berubah,” kata Qantas dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu berkata pelanggan yang telah menempah tiket penerbangan dan terjejas akibat pengumuman itu akan dihubungi secara langsung dan diberi pilihan menerima kembali bayaran yang telah dilaksanakan atau tiket bagi penerbangan lain, apabila ini mampu dilakukan.

“Bagi pelanggan dengan tempahan sebelum 31 Julai 2025, ada sedikit perubahan kepada jadual biasa Jetstar Asia dan kami akan menghubungi pelanggan yang terjejas secara langsung untuk memberi mereka pilihan penerbangan lain atau mengembalikan bayaran sepenuhnya,” kata syarikat tersebut.

“Pelanggan yang mempunyai tempahan selepas tarikh penutupan itu, kami akan mengembalikan bayaran sepenuhnya.”

Jetstar Asia telah membangunkan laman web khas untuk kegunaan pelanggan, termasuk menerusi laman Travel Alert yang mengemas kini makluman terkini daripada syarikat tersebut.

Jetstar Asia berkata keputusan untuk menghentikan operasi diambil selepas ia mengadakan reviu, berlatar cabaran yang dihadapi beberapa tahun kebelakangan ini, seperti kos pembekal yang terus melonjak, bayaran lapangan terbang dan caj penerbangan selain persaingan daripada syarikat penerbangan lain di rantau ini.

Pesawat Jetstar di Lapangan Terbang Changi. Syarikat penerbangan itu akan menghentikan operasi selepas 31 Julai 2025.
Pesawat Jetstar di Lapangan Terbang Changi. Syarikat penerbangan itu akan menghentikan operasi selepas 31 Julai 2025. - Foto SPH

Syarikat penerbangan itu melihat kos terus bertambah di masa depan, yang dijangka menjejas keupayaannya untuk menawarkan tambang kos rendah - model perniagaan asas - kepada penumpang.

“Jetstar Asia telah menjadi sebahagian keluarga Jetstar selama lebih 20 tahun dan ini adalah hari yang amat sukar dan sedih bagi kita semua, pelanggan dan keseluruhan Jetstar Group,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jetstar Group, Cik Stephanie Tully.

CEO Jetstar Asia, Encik John Simeone berkata:

“Malangnya, walaupun kami telah berusaha sedaya mungkin, keadaan pasaran telah menjejas keupayaan kami untuk terus menawarkan tambang rendah harian yang terkandung dalam DNA kami.”

Qantas Group akan menyediakan sokongan kepada Jetstar Asia untuk terus memenuhi tanggungjawabnya semasa operasi dikurangkan menjelang penutupan operasi.

Selain pampasan pemberhentian kerja, Jetstar Asia berkata kakitangan yang terjejas akan ditawarkan peluang pekerjaan dalam Qantas Group dan juga di syarikat penerbangan lain dan rakan kongsi penerbangan di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg