Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keandalan MRT merosot pada 2025 kecuali Laluan Circle

Laluan Downtown catat prestasi paling baik
Jan 16, 2026 | 5:07 PM
Rangkaian rel Singapura didapati kurang andal pada 2025 berbanding 2024, akibat prestasi empat laluan MRT yang lebih buruk.
Rangkaian rel Singapura didapati kurang andal pada 2025 berbanding 2024, akibat prestasi empat laluan MRT yang lebih buruk. - Foto ST

Rangkaian rel Singapura kurang andal pada 2025 berbanding 2024, akibat prestasi empat laluan MRT yang lebih buruk.

Daripada lima laluan MRT, hanya Laluan Circle (CCL) yang mencatatkan prestasi jauh lebih baik berbanding 2024.

Laluan Thomson-East Coast (TEL) tidak disertakan sama kerana baru beroperasi.

Pada 2025, kereta api di rangkaian MRT menempuh jarak 1.606 juta kilometer (km) sebelum kelewatan berlaku berbanding 1.982 juta km pada 2024.

Ini kekal melebihi sasaran keandalan rel Singapura – diukur dengan purata kilometer sebelum gangguan berlaku (MKBF) – iaitu satu juta kilometer untuk keseluruhan rangkaian MRT.

MKBF, yang mencerminkan sejauh mana perjalanan kereta api sebelum mengalami kelewatan lebih daripada lima minit, merupakan kaedah mengukur keandalan rel.

Namun, ia tidak mencerminkan tahap keseriusan sebarang gangguan.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberikan butiran tersebut dalam satu laporan keandalan rel bulanan terkini pada 16 Januari.

Buat kali pertama, laporan itu juga merangkumi data sementara untuk Disember, dan bukan hanya sehingga November seperti yang dijangkakan.

Ini bagi memberikan maklumat terkini tentang keandalan rel, kata LTA.

Sejak Oktober 2025, LTA meningkatkan kekerapan laporan dan mulai November 2025, merangkumi petunjuk keandalan selain daripada angka MKBF.

Angka LTA adalah berdasarkan purata bergerak tempoh 12 bulan MKBF.

Dengan ukuran ini, Laluan Downtown (DTL) mencatatkan 2.787 juta km pada 2025, merosot daripada 8.131 juta km pada 2024.

Namun, laluan yang dikendalikan oleh SBS Transit (SBST) adalah yang paling andal.

Laluan kedua tertinggi ialah CCL yang dikendalikan oleh SMRT, yang mencatatkan 2.464 juta km pada 2025, naik daripada 919,000 km pada 2024.

Ia mengatasi Laluan Timur Laut (NEL) kendalian SBST, yang mencatat purata 2.198 juta km, turun daripada 4.101 juta km pada 2024.

Di belakang NEL ialah Laluan Timur-Barat (EWL), yang dikendalikan oleh SMRT dengan 1.265 juta km pada 2025, turun daripada 1.687 juta km pada 2024.

Di tempat terakhir ialah Laluan Utara-Selatan (NSL) SMRT, yang mencatatkan penurunan daripada 2.485 juta km pada 2024 kepada 1.099 juta km pada 2025.

Terdapat tujuh kelewatan perkhidmatan di lima laluan MRT pada 2025 yang berlangsung lebih daripada 30 minit – sama seperti pada 2024.

Pada 2025, EWL, CCL dan CTL masing-masing mengalami dua kelewatan utama dan NEL mengalami satu. Tiada gangguan besar yang dilaporkan di NSL pada 2025.

LTA juga menyertakan bagaimana laluan tersebut berfungsi dari segi ketepatan masa dan kadar perkhidmatan kereta api yang beroperasi mengikut jadual.

Pada 2025, 99.84 peratus kereta api MRT menyelesaikan perjalanan berjadual dalam tempoh dua minit daripada waktu yang ditetapkan, meningkat daripada 99.78 peratus pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg