Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA: Keandalan rel naik bagi semua laluan kecuali CCL pada Okt

Laluan Downtown (DTL) tunjuk prestasi paling cemerlang
Dec 12, 2025 | 7:00 PM
Singapore, LTA, MRT
Gambar menunjukkan penumpang menanti kereta api di stesen MRT Outram Park di Laluan Thomson-East Coast (TEL) pada 17 September – hari laluan itu mengalami gangguan. Memandangkan TEL masih menjalani kerja-kerja pembinaan dan peluasan, pihak LTA menjangkakan prestasi TEL menjadi stabil dan bertambah baik selepas ia dibuka sepenuhnya pada 2026. - Foto ST

Keandalan rangkaian MRT naik sedikit dalam tempoh 12 bulan lalu yang berakhir pada Oktober, kecuali bagi Laluan Circle (CCL).

Ini selepas kemerosotan dua bulan berturut-turut, menurut data Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang dikeluarkan pada 12 Disember.

Secara purata, rangkaian MRT mencatat 1,673,000 kilometer (km) perjalanan sebelum ia mengalami kelewatan melebihi lima minit dalam tempoh tersebut – naik sedikit daripada 1,671,000 km perjalanan pada September.

Bagi CCL, ia mencatatkan 1,486,000 km perjalanan sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit pada Oktober, turun sedikit daripada 1,489,000 km perjalanan pada bulan sebelumnya.

“Semua laluan menunjukkan kenaikan dalam Purata Kilometer Antara Gangguan (MKBF) sejak hujung September, kecuali penurunan sedikit bagi CCL.

“Tiada kelewatan yang melebihi 30 minit pada rangkaian MRT pada Oktober 2025, satu peningkatan daripada dua kejadian kelewatan pada September 2025,” kata LTA dalam kenyataannya.

Dua kejadian itu merujuk kepada gangguan kereta api yang berlaku antara stesen Marina Bay dengan Promenade di CCL pada 1 September; dan antara stesen Aljunied dengan Tanah Merah di Laluan Timur-Barat (EWL) pada 16 September.

Menurut data, Laluan Downtown (DTL) merupakan laluan paling cemerlang dalam rangkaian MRT sepanjang 12 bulan lalu sehingga Oktober.

Ia mencatat 2,775,000 km perjalanan sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit, naik berbanding 2,768,000 km pada September.

Ini diikuti dengan Laluan Timur Laut (NEL) dengan 2,174,000 km perjalanan; EWL dengan 1,694,000 km perjalanan; dan CCL dengan 1,486,000 km perjalanan.

Di tempat terakhir ialah Laluan Utara-Selatan (NSL), dengan 1,236,000 km perjalanan, sama seperti September.

Buat julung-julung kalinya, data bagi Laluan Thomson-East Coast (TEL) turut diterbitkan.

TEL mencatat 299,000 km perjalanan sebelum ia mengalami kelewatan melebihi lima minit dalam tempoh 12 bulan lalu sehingga Oktober – meningkat daripada 287,000 km perjalanan pada September.

Data terkini turut menunjukkan ketepatan waktu kereta api pada rangkaian MRT secara keseluruhannya meningkat pada Oktober, dengan 99.32 peratus kereta api tiba tepat pada masanya berbanding 99.16 peratus pada September.

Namun, jika dilihat pada laluan kereta api secara individu, NSL, EWL dan CCL mencatat kemerosotan pada Oktober berbanding bulan sebelumnya.

Ukuran ketepatan waktu kereta api melengkapi MKBF dengan memantau ketekalan operasi rel dan kebolehramalan perjalanan dan masa menunggu.

Ia mengukur peratusan perjalanan yang diselesaikan dalam tempoh dua minit dari masa yang dijadual, yang bermakna ia merakam kesan keadaan luar kebiasaan operasi, seperti kerusi roda yang tersekat di antara pintu kereta api.

Bagi NSL, 99.6 peratus kereta api tiba tepat pada waktunya pada Oktober, turun daripada 99.61 peratus pada September.

Bagi EWL, ia turun kepada 98.68 peratus daripada 99.2 peratus, dan bagi CCL pula merosot kepada 99.1 peratus daripada 99.38 peratus dalam tempoh yang sama.

TEL turut menyaksikan kemerosotan, dengan 98.75 peratus kereta api di laluan itu tiba tepat pada waktunya pada Oktober, turun daripada 99.36 peratus pada September.

Laluan terbaru itu mengalami tiga kelewatan yang melebihi 30 minit sepanjang 12 bulan lalu.

Kejadian tersebut dianggarkan menjejas secara purata sehingga 5 peratus penumpang harian di sepanjang laluan tersebut, kata LTA.

Namun, pihak berkuasa menambah oleh sebab TEL masih menjalani kerja-kerja pembinaan dan peluasan, “kami menjangkakan prestasi TEL menjadi stabil dan bertambah baik selepas ia dibuka sepenuhnya pada 2026”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg